Diam itu adalah lebih baik.



Kadangkala kita sememangnya perlu menimbulkan isu untuk dibahaskan, agar kebenaran sesuatu perkara dapat dizahirkan. Kebiasaannya seseorang individu itu cenderung untuk menolak dan membenci sesuatu perkara apabila mereka `tidak tahu`. Maka, bagi mereka yang mengetahui akan kebenaran sesuatu perkara perlulah menyampaikan kepada yang tidak tahu secara berhikmah.

Namun, seandainya menegakkan kebenaran hanya membawa kepada pertelingkahan dan perbalahan, maka diam itu adalah lebih baik. Guru saya pernah berpesan,"Sampaikanlah kebenaran pada masa yang benar, tempat yang benar dan orang-orang yang benar." Kesilapan yang dilakukan sesetengah pihak apabila cuba menegakkan kebenaran dan hujah tanpa memikirkan kesesuaian keadaan yang melibatkan ketiga-tiga perkara tersebut hingga akhirnya menimbulkan perbalahan dan permusuhan.



m.s 53; Beginilah Rasulullah Mengajari Kami.



Menyelusuri kisah-kisah Rasulullah s.a.w. ketika menyampaikan dakwah cukup mempamerkan keindahan akhlak dan jiwa Baginda yang penuh dengan kecintaan. Nabi memerangi kejahilan bukan dengan emosi namun cinta. Banyak sirah-sirah yang menceritakan bagaimana Nabi tetap menyebarkan cinta walaupun pada orang-orang yang memusuhinya. Keindahan sifat Nabi inilah yang diceritakan oleh Syeikh Abdullah Bin Bayyah berkenaan sifat orang yang berilmu. Kata beliau;

"Orang yang berilmu itu sifatnya pemadam kebakaran. Tugasnya adalah memadamkan api, bukan menyalakannya."
Maka tidak cukup sekiranya kita hanya mempunyai ilmu tetapi perlu juga memiliki sifat orang yang berilmu iaitu sabar dan tidak terbawa-bawa dengan emosi ketika berhadapan dengan kejahilan. Barulah kebenaran akan tersebar bukan dengan mata pedang tetapi cinta dan kasih sayang.






Comments