Kokoro.

Bismillah



"Loneliness is the price we have to pay for being born in this modern age, so full of freedom, independence, and our own egoistical selves."


Membaca Kalbu umpama menyelusuri sendiri jiwa sunyi seorang Soseki Natsume. Karya beliau yang satu ini jelas menunjukkan kematangan dan `dalam` bentuk penulisannya, berbeza sekali dengan cerita Botchan yang lebih santai dan penuh dengan unsur kecindan. Namun, kedua-duanya sememangnya membawa mesej yang berguna buat pembaca.

Diterjemahkan daripada karya asal, Kokoro, yang menurut Thaiyibah Sulaiman dalam prakata buku tersebut;  "merupakan satu perkataan yang agak sukar untuk diterjemahkan. Dilihat dari sudut maksud tulisannya, kokoro itu bermakna `hati`, `pemikiran`, `perasaan`, `kalbu`, `niat` dan beberapa lagi makna yang lebih luas. Namun, `Kalbu` dirasakan paling hampir dengan maksud perkataan tersebut kerana ia membawa maksud yang lebih dalam daripada `hati` atau `perasaan`."

Persamaan kebanyakan karya-karya penulis Jepun seperti Haruki Murakami sendiri banyak menyentuh dan memberi gambaran realiti kepada pembaca bahawa arus  pemodenan tidak akan dapat mengisi kekosongan jiwa. Bahkan, ia sedikit demi sedikit melunturkan nilai kasih sayang, adab, budaya dan sopan santun sesebuah masyarakat sepertimana yang berlaku kepada negara Jepun hari ini. Dan dalam karya ini, penulis menggambarkan kesunyian watak utama, Sensei dalam mengharungi zaman pemodenan yang dianggapnya penuh dengan kebebasan, kemerdekaan dan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri.



(i)

Apa agaknya perasaan kita  tatkala menemukan orang asing yang cukup membuatkan kita tertarik untuk lebih mengenal diri mereka walaupun ianya hanya bermula dengan komunikasi singkat? Bagaimana agaknya kita tertarik dengan orang asing yang hakikatnya tidak berminat sekali untuk diajak berbicara, seorang yang berahsia dan tidak suka untuk berkawan rapat dengan orang lain apatah lagi diajak untuk bercerita perihal diri mereka? Mungkin kerana keindahan pemikiran yang jauh berbeza dengan pemikiran orang-orang kebanyakan membuatkan mereka sangat sesuai diajak berbicara. Dan mungkin, apabila wujud hubungan kejiwaan, itulah yang membuatkan kita lebih tertarik dengan mereka.  Ya, mungkin itulah sebabnya.

"...Sensei yang aku dampingi bukan disebabkan hiburan, mampu memberikan aku kepuasan intelektual sebagai seorang rakan. Mungkin aku tidak sepatutnya menggunakan perkataan `intelektual` kerana kedengaran seperti sesuatu yang dingin atau tidak dipengaruhi perasaan. Aku sepatutnya menyebut `kejiwaan` dan bukan `intelektual`."
- Aku; Aku dan Sensei - ms. 69 



(ii)

Apa agaknya perasaan kita tatkala kita hidup di zaman moden di mana segulung ijazah belum menentukan kita mampu mempunyai pekerjaan? Oh, rasanya yang satu ini kita faham benar rasanya bagaimana, kerana bukankah ini yang dialami oleh kebanyakan mahasiswa mahasiswi hari ini. Namun, apa agaknya pula perasaan kita apabila ibu bapa merasakan anak-anak semakin jauh apabila semakin tinggi pendidikan mereka? Mungkin itulah yang membuatkan seorang ayah menyuarakan;

"Kau tahu, ada baiknya dan tidak baiknya mempunyai anak yang terpelajar. Kita bersusah payah memberikan mereka pelajaran dan apabila mereka berjaya, mereka akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Malah kita boleh mengatakan bahawa pelajaran adalah satu cara untuk memisahkan anak daripada kedua-dua orang tuanya."
- Ayah; Aku dan orang tuaku - ms. 133 



(iii)

Apa agaknya perasaan kita tatkala orang yang kita sayangi, hormati dan percaya, ternyata merekalah pelakon terhebat yang hanya berbaik-baik dengan diri kita bukan kerana cinta tetapi kerana mahukan harta pusaka peninggalan orang tua? Ternyata, sekali kita dikhianati seseorang, kemungkinan ia membuatkan kita semakin sukar untuk mempercayai orang lain, kan?

"Aku tidak tahu sama ada kau benar-benar jujur. Disebabkan apa yang telah terjadi pada diriku, aku memandang setiap orang dengan sangsi. Sebenarnya, aku juga meraguimu. Ini mungkin kerana kau terlalu lurus. Sebelum aku mati aku mahu mempunyai seorang sahabat yang benar-benar boleh dipercayai. Aku tidak tahu sama ada kau orangnya. Adakah kau benar-benar jujur?"
- Sensei; Aku dan Sensei - ms. 95 



(iv)

Apakah agaknya perasaan kita tatkala pertama kali mengenal cinta? Dan apa sebenarnya yang membuatkan kita tertarik pada seseorang? Pasti, setiap orang ada jawapannya tersendiri, kan?


Sensei; Sensei dan Wasiatnya - ms. 216



(v)

Apa pula perasaan kita (lelaki) tatkala sahabat yang kita sayangi juga memiliki perasaan yang sama terhadap gadis yang kita cintai? Apakah pula perasaan kita sebagai seorang sahabat apabila sahabat yang kita percayai, yang mendengar luahan hati kita berkenaan gadis yang kita cintai, ternyata orang yang sama telah mengkhianati kita apabila dia terlebih dahulu bertemu orang tuanya dan melamar gadis yang kita cintai itu? Apakah kita, lelaki yang berjaya merampas kekasih sahabat layak untuk merasakan kejayaan atas pengkhianatan terhadap cinta sahabat sendiri?
"Melalui kepintaran aku telah menang. Tetapi sebagai seorang lelaki, aku telah kalah."
 - Sensei; Sensei dan Wasiatnya - ms.322




Mungkin, Sensei tidak akan dihantui dengan perasaan bersalah seumur hidupnya, seandainya dia jujur dalam menyatakan perasaan dan jujur dalam persahabatan. Namun, kadangkala sememangnya sukar untuk menyatakan kejujuran, kan? Apatah lagi jika ia melibatkan perasaan orang-orang yang kita sayangi. Tapi, kata Paulo Coelho; 'telling the truth and making someone cry is better than telling a lie and making someone smile.'



----
p.s: Ternyata cerita yang menarik tak semestinya kena guna bahasa yang cool dan terkini. ;)

Comments

  1. Anonymous1.4.15

    Salam wbt dimana ya boleh dapatkan kalbu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaikumsalam anon, buku ni buku lama. Mungkin susah dah nak cari kat kedai buku. Kalau kat M`sia, selalunya buku lama macam ni boleh cari kat perpustakaan awam sebab kat sana senang nak dapatkan buku-buku terjemahan dewan bahasa dan pustaka. :)

      Delete
  2. sy pernah ada buku ni....12 kali sy baca....tpi syg rumah kami terbakar...

    ReplyDelete

Post a Comment