"If you love reading, we are already a lover."


Bismillah




Kita adalah apa yang kita baca. Setiap buku yang kita baca hakikatnya akan membentuk pemikiran kita dan sedikit sebanyak membina peribadi diri kita sendiri. Saya sering mengandaikan membeli buku itu umpama memilih sahabat. Dan saya jenis orang yang suka berkawan dengan semua orang. Maka dalam memilih bahan bacaan, saya tidak me`limit`kan untuk satu  genre semata-mata. Baik sastera, ilmiah, agama, fakta mahupun biografi. Setiap satu ada ilmu yang disampaikan dan dipelajari walaupun dengan gaya penulisan dan bahasa yang berbeza.

Kepelbagaian bahan bacaan sebenarnya mampu membentuk pemikiran kita agar lebih `terbuka`. Andai kita hanya memilih satu genre kesukaan kita sahaja, maka tahap pemikiran kita hanya setakat itu sahaja. Begitu juga dalam bersahabat. Untuk menjadi ahli masyarakat, kita perlu belajar untuk berkawan dengan semua orang tanpa perlu membuang identiti dan peribadi diri sendiri. Tanpa perlu mengambil kira perbezaan fikrah mahupun agama. Jangan terlalu terikat dengan `bentuk` kita semata-mata. Berkawanlah sekadar untuk mengenal, berkongsi pandangan serta meneladani segala yang baik pada diri mereka. Dan andai kita benar-benar mengenal dan memahami, orang-orang yang dipandang buruk itu juga tetap ada kebaikannya yang kita boleh pelajari dan jadikan teladan buat diri sendiri. Kerana mereka juga hakikatnya manusia biasa yang fitrahnya inginkan Tuhan dan kedamaian. Cuma mungkin, tersilap dan keliru  dalam memilih jalan hidup yang benar.

Salah seorang senior saya pernah berpesan bahawa hidup jangan terlalu terikat dengan biah semata-mata. Kerana tiada siapa yang dapat menjanjikan kita akan selama-lamanya berada dalam lingkungan biah solehah (lebih-lebih lagi dalam bidang perguruan). Mungkin satu hari nanti kita akan diletakkan di suatu tempat yang mana komuniti Islam sangat sedikit. Andai jiwa kita tidak kuat, kita mungkin tidak mampu untuk bertahan. Belajar untuk lebih bersikap `terbuka`. Santuni orang-orang yang berbeza dengan diri kita. Agar nanti, andai dicampak di mana-mana kita boleh `masuk` dengan semua orang dan menjadi ahli masyarakat. Yang perlu diutamakan adalah memupuk dan memperkuatkan hubungan rohani dengan meletakkan Tuhan ke dalam hati kita. Kerana hati mereka yang memiliki Tuhan, andai dicampak ke laut akan menjadi pulau, andai dibaling ke langit akan menjadi bintang.



"We may not encounter a person different from us in our daily busy lives, but we can learn about them between the pages of a book and in that instance any other-izing or dehumanizing of a race or a faith that media and adults may try to do- vanishes.Yes, books are that powerful."

- Aisha Saeed.


Kadangkala kebenaran hidup itu tidak semestinya kita perlu pelajari melalui karya ilmiah yang berbentuk fakta. Nilai dan pembelajaran juga tidak semestinya datang dari hal-hal yang deep, bukan juga dari hal-hal yang buat jiwa sentap, tapi cukup dari hal-hal  sederhana yang hakikatnya tersimpan makna dan pembelajaran yang luar biasa. Asalkan kita adalah orang-orang yang mencari dan berfikir, bukan sekadar membaca.


"No matter what books you read, as long as you love reading, we are already a lover. Have a nice day and, keep reading!" :)



---
Tetaplah menjadi perempuan `tertutup` yang sangat terbuka dalam pemikiran, pergaulan dan pekerjaannya. Mudah didekati tetapi sangat menjaga diri.

Comments

  1. Replies
    1. Zarif, all the best interview ipg. Boleh bah kalau kau! Nak juga wish kat sini...haha :)

      Delete
    2. InsyaAllah. Terima kasih kak. Okay bah. Haha :D

      Delete

Post a Comment