Sebuah bicara tentang kehidupan.


Bismillah


Dalam kehidupan ini, kita takkan dapat apa saja yang kita inginkan. Namun, kena berusaha mendapatkan apa yang kita inginkan. Terkadang, bukan  kehidupan ini tidak adil pada kita, tapi kerana kita yang tidak adil pada diri sendiri. Keadilan Allah Yang Maha Adil wajib diyakini tanpa syak dan ragu. 


Ramai yang hidupnya bagaikan hanyut oleh arus sungai tanpa mahu berenang ke tepi untuk tidak terus dihanyutkan. Mereka tidak memiliki keberanian untuk berenang kerana telah diikat oleh adat, budaya dan sistem yang telah ditetapkan. Ramai yang memberontak dalam kehidupannya namun mereka tidak berdaya dan terus hidup dalam pemberontakan.


Pendidikan, ibu bapa, keluarga, sahabat, guru dan suasana banyak membentuk pemikiran kita. Jika ia dalam lingkungan yang lemah, maka kita menjadi orang yang lemah. Jika ia kuat, maka kita menjadi kuat. Ramai anak-anak tidak bersetuju dengan pemikiran dan kehendak ibu bapa mereka namun mereka tidak berdaya untuk berkata "tidak", lalu mengatakan ia adalah takdir yang ditentukan. 


Manusia suka menutup kelemahan mereka dengan takdir sedangkan hakikatnya takdir yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w telah membawa bangsa Badwi padang pasir menjadi pemimpin dunia. Takdir yang diimani oleh para sahabat r.a telah membawa mereka menguasai separuh dunia.


Allah telah memberi segala pada kita atas sifatNya Yang Amat Penyayang. Bagaikan sang ayah atau ibu yang menyediakan segala keperluan untuk anak kesayangannya demi kebaikan kehidupan. Bagaimana mungkin Allah membiarkan sang hamba berlayar di alam ini tanpa menyediakan segala keperluan yang cukup sebagai bekalan. Hanya tinggal kita, bagaimana mahu kemudikannya. Sampan tersedia dan pengayuh ditangan kita, hanya perlu kita berkayuh sahaja. Namun amat malang sekali, ramai yang tak pandai berkayuh dan akhirnya hanyut oleh arus.


Sifat tidak puas hati, jika dihalakan pada Allah adalah biadap. Namun, jika ia dihalakan pada diri kita sendiri, amat bagus kerana kita rasa bersalah dengan nikmat yang Allah telah bekalkan, kita tidak manfaatkan dengan sebaiknya. Ia membawa dorongan untuk kita lebih maju kehadapan.


Hati ibarat diri, akal ibarat pengayuh, anggota ibarat perahu, kehidupan ibarat sungai.


Jika kita berkayuh dengan baik, kita akan dapat sampai destinasi dan tidak akan dibawa arus. Namun, jika kita tidak mahu berkayuh atau tidak pandai berkayuh, maka kita memilih takdir untuk menjadi sampan, kita akan dibawa arus dan mungkin tenggelam. Adakah Allah tidak adil kepada kita atau kita sendiri yang tidak adil pada diri kita sendiri.


Apakah bezanya orang yang berjaya, gagal atau lemah, orang kaya atau miskin, adakah akal mereka berbeza? Jawapannya bukan akal yang berbeza kerana Allah itu Maha Adil. Namun yang membezakan mereka adalah cara berfikir.  Untuk menjadi orang yang paling bahagia, ubahlah cara berfikir. Andai banyak berfikir untuk menilai kelemahan diri orang lain, kita takkan mampu untuk melihat dan menilai kelemahan diri sendiri dan memajukan diri. Andai banyak berfikir tentang masalah tanpa berfikir bagaimana mahu keluar dari masalah tersebut, maka kita akan terus hidup dalam neraka masalah. Kita boleh mengubah penderitaan kita dengan melihat bahawa dengan masalah yang kita hadapi, Allah mahu memberi ilmu dan peluang untuk kita menjadi lebih berjaya. 


Banyak kesilapan yang berlaku bukan kerana takdir Allah, tetapi takdir yang diciptakan oleh manusia sendiri akibat salah menggunakan nikmat yang diberi. 


"Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur." (As-Saba;13), itu adalah kalam Allah yang ditujukan buat diri kita, bukan pada gunung, malaikat atau makhluknya yang lain. Bersyukur adalah dengan kita menggunakan segala bekalan yang disediakan dengan sebaik mungkin.


Allah tidak pernah menzalimi kita dalam kehidupan ini. Bahkan dihantarkan para Rasul-RasulNya untuk mengajarkan manusia tentang kehidupan yang benar, berjaya dan bahagia. Belajar bersyukur dengan apa yang dianugerahkan Allah dengan meletakkan diri kita sebaik mungkin. Manusia yang paling baik adalah mereka yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia sama ada melalui pemikiran, pendidikan, ilmu, harta, tenaga dan lainnya.


Hati diciptakan untuk berzikir dan bermuraqabah pada Allah kerana ia diciptakan untuk merasai dan syuhud pada Allah. Akal perlu berfikir kerana ia memang diciptakan untuk berfikir. Mata, telinga dan mulut perlu berperanan sebagai pintu untuk mendapatkan ilmu.



Dengan tauhid dan kasih sayang yang benar, kita akan mendapat kebahagiaan di dunia ini. Belajar mengubah kehidupan dengan sebuah senyuman.



---
Antara kompilasi kalam guru saya beberapa tahun yang lalu, semoga mendapat manfaat.

Comments