Dan seandainya.


Bismillah


Biasanya perasaan manusia itu menyukai hal-hal yang baik-baik. Cenderung pada sesuatu yang matang, terjaga dan sedikit sekali mahu menerima risiko. Termasuklah dalam hal memilih pasangan. Seringkali kita membangun sebuah rumah dalam fikiran sendiri dan berfikir kelak, kita akan menempatkan seseorang yang soleh/solehah, datang dari keluarga yang baik-baik, sudah cukup sempurna pengetahuannya, yang hari-harinya sudah tersusun rapi. Memang selalu kan, bahkan memang digalakkan. Memang tiada salahnya kerana setiap orang berhak menentukan yang terbaik sebagai pilihannya.


Tapi, pernahkah kita terfikir bagaimana andai kelak, Allah mempertemukan kita dengan seseorang yang belum soleh/solehah, tidak sebagus kita mungkin dalam hal membaca Al-Quran, yang cara berpakaiannya belum cukup sempurna, atau mungkin seorang muallaf yang tidak tahu banyak tentang agama ini. Mungkin tiada satu pun kriteria tersebut wujud dalam fikiran kita sebelum ini. Dan Allah mengamanahkan seseorang seperti itu di tangan kita, untuk saling menguat, saling berbincang dalam membuat keputusan. 


Andai ia benar-benar terjadi, adakah kita akan cukup sabar untuk mengajarkannya cara bersuci, lalu mengajarkannya solat? Cukup baikkah kita untuk dia jadikan teladan dalam rumah tangga dan memberi kefahaman yang baik untuknya? Tidak perlu membayangkan terlalu jauh mungkin, kerana memang terasa agak berat untuk menjalaninya. Namun boleh jadi, ia salah satu cara dari ribuan cara Allah membersihkan diri kita dari kesalahan-kesalahan masa lalu.


Ibu saya selalu berpesan, katanya untuk membuat pilihan dalam hidup ini  bukanlah sesukar mana. Kita hanya perlu singkirkan salah satu daripada himpunan pilihan yang ada di depan mata. Dan sebenarnya, untuk bertahan dengan pilihan itulah yang sangat payah setelah segala penyingkiran telah kita lakukan. Kerana hanya segelintir hati yang mampu bertahan dengan pilihan yang telah mereka lakukan. Ia bukan hanya dalam hal mencari pasangan, tapi juga dalam memilih pekerjaan, pelajaran atau apa-apa saja yang memerlukan kita membuat pilihan.


Mungkin, kadang Allah memberikan kita orang yang belum cukup baik, belum cukup pengetahuannya tentang hal-hal agama, atau belum cukup sempurna auratnya kerana mungkin diri kita sendiri belum cukup baik untuk menerima yang terbaik. Dan kadang Allah memberikan kita yang lebih baik dari yang kita minta, dengan cara lebih baik dari yang kita duga, dalam bentuk lebih baik dari harapan kita kerana kita tidak pernah tahu doa mana yang ingin Allah sampaikan untuk kita. Kan?



---
Tidak perlu sama-sama pintar, tidak perlu sama-sama ber`title`, tidak perlu sama-sama kaya. Yang penting sama-sama mahu belajar, sama-sama mahu berusaha, sama-sama punya tujuan yang sama, Allah. 

Comments

  1. Assalamualaikum kak ary. ada orang tanya saya, 'apa pendapat kamu kalau seorang lelaki bantu seorang perempuan dengan niat yg baik utk bantu perempuan itu kerana zaman sekrng perempuan mudah berubah jika lelaki yg tegur dia ke arah kebaikan.'
    pendapat saya lebih better kalau kita saling tegur menegur sokong menyokong sesama jantina kan? sebab takut ada masalah hati perempuan tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaikumsalam, setuju dengan pendapat syahidatul tu.

      Niat lelaki tu memang baik tapi persoalannya; dia nak bantu dengan cara apa dan kepada perempuan jenis macamana?

      Bagi akak, kalau lelaki nak tegur :

      1. Perempuan yg agak `keras/susah terima teguran`, bagi teguran secara `sentap` sebab kadang perempuan macam ni lebih terasa kalau ditegur oleh lelaki, dan sah2 peluang untuk timbul hal2 perasaan sangat tipis

      2. Perempuan yang mudah menerima, bagi teguran secara menyentuh, dengan syarat, tegur bukan direct personal kat dia seorang, buat secara indirect/waktu majlis yang ramai orang. Peluang untuk timbul hal2 perasaan pun kurang.

      3. Last sekali, cara lebih baik berbanding 2 cara diatas, lebih selamat dan tidak menimbulkan hal2 perasaan antara lelaki dan perempuan adalah dengan mendoakan dan mohon Allah beri petunjuk kepada perempuan tu tanpa diketahui (secara sirr/rahsia). Perubahan seseorang sebenarnya bukan atas asbab manusia. Segalanya dari Allah. Allah pemilik hati2 manusia. Maka lebih baik mohon kat Allah semoga dia diberi petunjuk. Itu yang terbaik.

      Tak salah pun sebenarnya kalau kita nak menjadi wasilah perubahan kepada seorang yang berlainan jantina dengan kita, tapi lebih baik kalau ia hanya berlaku sekiranya ada niat nak menghalalkan mereka. Bahkan itu lebih digalakkan, asalkan tidak melanggar syariat.

      Tapi ini sekadar pandangan daif akak, boleh ditolak mahupun diterima, insyaAllah.

      p.s: Maaf kalau jawapan panjang. Cikgu2 ni selalu bagi jawapan spesifik. hehe ;)

      Delete

Post a Comment