"Let’s raise children who won`t have to recover from their childhoods."
Bismillah
Segalanya bermula apabila nama saya antara yang 'bertuah' terpilih mengikuti kursus PEKERTI yang pada mulanya anggapan saya mungkin kursus ini sekadar untuk melatih diri menjadi lebih berbudi pekerti la kot. Dan ternyata saya silap kerana perkataan PEKERTI tu sebenarnya adalah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, atau dalam bahasa mudah, ia adalah Sex Education. *_*
Kursus sengaja dikhususkan untuk pelajar tahun akhir sahaja dan nama yang terpilih adalah nama-nama yang akan menjadi ikon dan rujukan berkaitan Pendidikan Seks di sekolah, nanti. hmmm. Dan biasalah, bila menyentuh isu berkaitan seks, isu yang dibincang memang agak sensitif hinggakan kadang buat saya rasa macam nak duduk bawah meja. Seriyes. -__- Ditambah lagi ahli kumpulan saya semuanya lelaki kecuali seorang chinese girl. Perbincangan bermula dengan topik yang agak ringan tapi lama-kelamaan jadi semakin deep hingga saya rasa saya terlalu naive dalam ilmu ini kerana banyak hal-hal yang saya tak tahu pun lebih-lebih lagi apabila menyentuh berkaitan dunia dan dilema hidup golongan lelaki. =_= Tapi cuba juga untuk berlagak open dan memberi pandangan dan pendapat dengan gaya ilmiah la sangat.
Sebagai seorang yang cintakan dunia pendidikan kanak-kanak (tarbiyatul aulad), saya menganggap ilmu yang diperolehi sepanjang kursus sememangnya ilmu yang perlu untuk guru dan ibu bapa tahu sebagai persediaan berhadapan dengan pertanyaan anak murid atau anak-anak anda esok kerana hakikatnya kanak-kanak hari ini banyak terdedah dengan media massa tanpa kawalan dan dibimbangi mereka mempelajari ilmu tersebut berdasarkan kefahaman yang ditonton di kaca televisyen tanpa mengira isu batasan agama, pergaulan dan budaya. Lebih dibimbangi sekiranya kanak-kanak yang tak tahu apa-apa mengalami gangguan seksual dan mereka tak tahu ia adalah perbuatan yang salah.
Sememangnya ramai yang mempunyai pandangan negatif apabila disebut berkaitan pendidikan seks atau perkataan 'seks' itu sendiri kerana menganggap ia agak sensitif dan tak penting pun untuk diajarkan kepada kanak-kanak. Namun, apabila berlakunya isu hangat seperti berlaku dua hari lepas menunjukkan besarnya cabaran buat guru dan ibu bapa hari ini yang perlu berhadapan dengan dunia kanak-kanak yang semakin hari semakin mencabar dari zaman kita dahulu. Memang pengetahuan ini tak penting untuk diajarkan tetapi penting untuk diberikan kefahaman yang benar bersesuaian dengan peringkat kanak-kanak untuk tahu.
Pendidikan sememangnya tidak seharusnya tertumpu pada ilmu agama dan akhirat semata-mata tetapi perlu mengambil kira ilmu dunia dan kehidupan kerana kedua-duanya haruslah seimbang barulah seseorang individu itu dewasa dengan kefahaman ilmu yang sempurna. Dan walau banyak mana sekalipun teori-teori dan pandangan yang diperolehi daripada kajian-kajian Barat, seorang Muslim perlulah kembali kepada ajaran Al-Quran.
Hasil perbincangan terbuka dan perkongsian-perkongsian 'jujur' dari ahli kumpulan, barulah saya tahu betapa 'mencabarnya' menjadi seorang lelaki dan bersyukurlah dilahirkan menjadi seorang perempuan. Bila adanya kesedaran bahawa lelaki dan perempuan itu hakikatnya dua makhluk alam yang sangat berbeza, maka tidak akan timbul isu saling mempersalahkan antara satu sama lain apabila berlaku isu-isu sensitif dalam masyarakat. Hakikatnya kedua-duanya makhluk istimewa yang dilahirkan dengan naluri dan keinginan yang berbeza secara semula jadi. Jika dikatakan menjadi wanita akhir zaman itu sangat rumit, hakikatnya menjadi lelaki akhir zaman juga adalah rumit terutamanya dalam memenangkan akal berbanding ajakan nafsu daripada pengaruh dan godaan di luar sana.
Dan perkara penting yang perlu diperbetulkan dalam fahaman masyarakat sebenarnya adalah berkaitan seks itu sendiri kerana ramai yang memandang serong dan menganggap ia adalah haram di sisi agama. Hakikatnya tiada dalil yang mengharamkannya melainkan perbuatan tersebut dilakukan tanpa sebarang ikatan pernikahan yang sah, maka ia dianggap zina dan haram disisi undang-undang dan agama.
---
"My biggest fear is that one day my kids will be crying alone to themselves at night and I won`t know about it. Let’s raise children who won`t have to recover from their childhoods."
Comments
Post a Comment