Orang-orang yang dikenang.

Bismillah




Ini ialah sebuah kisah cinta. Kisah cinta yang bermula tatkala si gadis berusia 15 tahun dan si jaka berusia 22 tahun. Di usia muda seperti itu, ketika mana para muda mudi lebih sibuk memakan rayuan dan menegakkan kemaksiatan, mereka memilih untuk menjadi pasangan suami isteri. Perjuangan si jaka meminang si gadis bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia adalah sesuatu yang mulia dan seharusnya dicontohi. Tidak salah Allah telah menganugerahkannya dengan kekuatan akal fikiran kerana dengan anugerah itulah, dia menulis buku roman dan selepas dicetak tiga kali, hasilnya digunakan untuk membiayai pernikahannya. Banyak suka dan duka mewarnai perjalanan rumah tangga mereka dan ternyata, si jaka tidak salah memilih si gadis. Tiap kali saat ujian datang, wanita itulah yang tampil sebagai motivasi baginya, tanpa mengeluh mahupun gulana. Mereka hidup dalam suasana kemiskinan hinggakan untuk menunaikan sembahyang saja terpaksa berganti-ganti kerana di rumah mereka hanya ada sehelai kain. 

Puncak kemiskinan mereka adalah  ketika lahirnya anak ketiga mereka sementara anak pertama meninggal dunia di usia lima tahun. Besarnya beban ekonomi ditambah lagi kekerasan penjajahan membuatkan si jaka banyak memikirkan bagaimana mahu membiayai anak-anaknya. Dalam keadaan diliputi kemiskinan, pergilah si jaka bekerja sebagai penulis majalah di kota. Di balik kesusahan si jaka, si gadis tetap setia bersamanya. Menjadi wanita teguh yang sentiasa menjalankan amanah menjadi isteri yang taat kepada suaminya serta mendidik anak-anak. Disebabkan ketiadaan sumber kehidupan tetap yang diharapkan setiap bulan, si jaka kerap keliling kampung untuk berdakwah. Kadang berhari-hari tanpa pulang ke rumah. Tiap kali menemui isterinya dirumah, persoalan yang sering diutarakannya, "Apakah anak-anak cukup makan?" Hinggakan sengaja menepuk perut anak-anaknya untuk mengetahui apakah buah hatinya lapar atau kenyang. Sebagai menjalankan amanah menjadi ibu, si gadis tidak pernah membiarkan anak-anak kelaparan, rela menjual harta simpanannya. Si gadis bukanlah wanita yang menjadikan perhiasan sebagai mahkota kerana mahkota sejatinya adalah si jaka dan anak-anaknya. Maka kalung, gelang emas, dan kain batik halus yang dibelinya terpaksa dijual dibawah harga demi membeli beras dan membayar wang sekolah anak-anak. Biarlah dirinya kesusahan, asal perut anak-anaknya tidak kelaparan dan tetap boleh melanjutkan pendidikan. 

Kerap kali dirinya menitiskan air mata ketika membuka almarinya untuk mengambil kain-kain simpanannya untuk dijual ke pasar. Oleh kerana tidak sanggup melihat si gadis terus mengorbankan hartanya, si jaka pun mengeluarkan beberapa helai kain miliknya untuk dijual. Kain-kain terbaik yang sering dipakai ketika pergi berdakwah. Namun si gadis mencegahnya langsung berkata, "Kain abang jangan dijual, biar kain saya saja. Kerana abang sering keluar rumah. Di luar sana, jangan sampai kelihatan sebagai orang miskin,” ujarnya. Demikianlah dalam keadaan sederhana, si gadis masih mempertimbangkan kehormatan suaminya. Apa saja yang dilakukannya adalah agar si jaka tidak terlihat lusuh di mata jama’ah dan masyarakat. Dari mulai memikirkan pakaian hingga membersihkan kopiah bila suaminya hendak keluar. Kerana  cinta bagi dia,  adalah sebuah kehormatan.




“Pandai-pandailah kau bercermin, kalau kau pandai bercermin maka selamatlah kau dunia akhirat”
Siti Raham binti Endah Sutan.



Kisah cinta ini bukanlah rekaan semata-mata. Ia adalah kisah hidup  Buya Hamka dan isterinya, Siti Raham yang dikisahkan semula daripada biografi “Pribadi dan Martabat Buya Prof Dr. Hamka” karangan Rusydi Hamka, anak beliau sendiri. Saya sebenarnya tertarik untuk mencari tahu perihal kisah insan kesayangan Buya Hamka ini disebabkan keindahan tulisan dedikasi yang dituliskan beliau dalam ruangan Kata Pengantar dalam kitab Tafsir Al-Azhar. Itulah pertama kali saya menemukan penulisan Hamka yang ada menyebutkan tentang isterinya yang mana  bahasanya  cukup diolah dengan penuh keindahan. 


Tafsir Al-Azhar Jilid 1




Turut dikongsikan dalam buku Ayah, yang juga dituliskan oleh anak beliau, Irfan Hamka sebagai menyampaikan kepada masyarakat berkenaan kisah hidup ayahnya dari perspektif seorang anak. Diceritakan bahawa kecintaan ayahnya kepada ibunya itu sangat dalam hinggakan setelah pemergian ibunya, sering dilihat ayahnya bersenandung. Jika tidak, ayahnya akan menghabiskan 5-6 jam hanya untuk membaca Al Quran. Dalam kuatnya mendengar ayahnya membaca Al Quran, suatu hari pernah dia tanyakan;


“Ayah, kuat sekali Ayah membaca Al Quran?“  
“Kau tahu Irfan. Ayah dan Ummi telah berpuluh-puluh tahun lamanya hidup bersama. Tidak mudah bagi Ayah melupakan kebaikan Ummi. Itulah sebabnya bila datang ingatan Ayah terhadap Ummi, Ayah mengenangnya dengan bersenandung. Namun, bila ingatan Ayah kepada Ummi itu muncul begitu kuat, Ayah lalu segera mengambil air wudhu. Ayah shalat Taubat dua rakaat. Kemudian Ayah mengaji. Ayah berupaya mengalihkannya dan memusatkan pikiran dan kecintaan Ayah semata-mata kepada Allah,”jawab Ayah. 
“Mengapa Ayah sampai harus melakukan shalat Taubat?“ 
“Ayah takut, kecintaan Ayah kepada Ummi melebihi kecintaan Ayah kepada Allah. Itulah mengapa Ayah shalat Taubat terlebih dahulu,”jawab Ayah lagi.
- Ayah; ms.212-213


Yang dilakukan Buya Hamka itu sebenarnya cukup mengajarkan tentang hakikat cinta dan akidah. Bahawa sedalam mana cinta kita kepada sesuatu atau sesiapapun, jangan sesekali melebihi kecintaan kita kepada Pencipta. Semestinya isteri beliau itu sangat bermakna buat dirinya dan pastinya akhlak seorang isteri adalah cerminan bagi  akhlak seorang suami. 



Sengaja saya kongsikan kisah ini, hanya sebagai peringatan buat diri saya sendiri. Kadangkala kita sering menilai orang-orang yang berjaya dan disanjung  begitu beruntung dan bahagia dengan hidupnya  Hakikatnya kita tak pernah tahu seberapa banyak kesedihan dan kesulitan ujian yang harus ditempuhinya untuk mengapai kejayaan dan kedudukan yang dimilikinya itu. Sesungguhnya kejayaan yang dimiliki setiap orang itu bukanlah sesuatu yang datang bergolek melainkan semua itu adalah hasil jerih payah diri mereka dalam berusaha. Memang tiada yang mudah dalam hidup ini, kan? Melainkan dipermudahkan oleh Allah. 


Dan esok-esok, jika diizinkan Allah kita menjadi orang yang berjaya, jangan pernah melupakan orang-orang yang selalu dekat dengan diri kita baik keluarga, sahabat, teman handai dan sesiapa saja yang ada ketika kita senang apatah lagi yang ada  dikala kita kesusahan kerana tanpa mereka, mungkin kita sendiri sahaja tidak mampu untuk melewati mehnah sepanjang jalan menuju kejayaan. Mungkin atas keberkatan dari doa-doa mereka jugalah, ada saja kemudahan dalam setiap kesulitan. 







The longer we live,  our circle actually become smaller, but increase in value. 

Comments