"Life is a beauty contest from one another..."

Bismillah





Dulu ada satu kisah tentang sekumpulan katak yang berlumba-lumba hendak memanjat sebuah menara. Sepanjang mereka memanjatnya, mereka sering diperli dengan kalimat-kalimat negatif; 


"Tak payahlah nak bermimpi. Kamu tak akan dapat panjat menara tu. Tinggi sangat."

"Kalian cuma katak, tak mungkin sampai pun ke atas sana." 


Hingga akhirnya banyak yang menyerah kalah dan turun daripada memanjat menara tersebut, kecuali seekor dan dialah akhirnya yang sampai ke puncak menara. Agaknya apa yang membezakan katak seekor ini berbanding katak-katak lain yang menyerah kalah dan turun? Pada fizikal tiada yang berbeza, semuanya spesies katak yang sama. Tapi kenapa seekor katak itu berjaya sampai ke puncak sementara yang lainnya tidak?



Jawapannya, katak itu sebenarnya tuli.



Seperti itulah kita perlu jadi dalam hidup ini, kadang perlu menjadi tuli, mengabaikan setiap kalimat-kalimat negatif yang sampai ke telinga kita. Apatah lagi yang kita dengar daripada diri sendiri. Memang ada sebahagiannya kita perlu dengar, yang selebihnya, abaikan saja. Hidup hakikatnya tidak lama, kan? Maka tidak perlulah menghabiskan banyak waktu dan tenaga untuk melakukan hal-hal yang hakikatnya menghambat diri kita daripada melakukan kebaikan. 

Satu hal yang saya selalu percaya, setiap manusia itu akan selalu merasakan bahawa hidup ini adalah satu pertandingan perlawanan sekiranya mereka tidak pernah merancang dan berusaha untuk menjadi yang terbaik. Tidak kiralah dalam apa jua perkara yang kita lakukan; bidang, profesion bahkan passion masing-masing. Kerana akhirnya nanti, akan kita sedari bahawa ada yang jauh lebih penting daripada semua itu yakni menjadi yang bermanfaat buat manusia dan menyumbang kepada masyarakat, agama, dan negara. 



---

“Life is a beauty contest from one to another, but you don’t have to win. you only need to be beautiful enough to be in the contest." - Little Miss Sunshine.

Comments