Happiness is objective not subjective.

Bismillah


Pinterest.

Kita seringkali terdidik akan sudut pandang kehidupan bahawa kegembiraan itu sesuatu yang bersifat subjektif. Dalam erti kata lain, setiap manusia memiliki makna kegembiraan masing-masing, ingin menjadi orang yang berjaya misalnya. Persoalannya berapa ramai manusia hari ini yang memiliki kejayaan dan merasai kebahagiaan? Ketahuilah bahawa ramai orang boleh memiliki kejayaan tapi hakikatnya tidak semua dapat merasai kebahagiaan dan kegembiraan.


Tempoh hari seorang sahabat berkongsi sesuatu yang membuat saya berfikir panjang. Katanya apabila manusia menganggap kegembiraan itu sesuatu yang bersifat subjektif, ini adalah sesuatu yang bahaya. Ia mendorong kita mula mencari kegembiraan itu melalui pelbagai sumber mengikut sudut pandang dan ilmu masing-masing yang akhirnya menyebabkan seseorang itu mudah terjerumus ke arah fahaman materialisme kerana kita menganggap kegembiraan itu 'pelbagai' dan pandangan kita dalam menafsir kegembiraan itu adalah hak individu. 


Hakikat sebenar kegembiraan itu adalah bersifat objektif, yakni 'tunggal'. Apakah sumber kegembiraan yang tunggal? Sudah semestinya Dia yang mencipta 'kegembiraan' itu buat kita. Tanpa sifat Penyayang dan Pemurah Allah, sudah tentu kita tidak akan pernah merasai kegembiraan di mana-mana alam sekalipun. 







Saya percaya tidak semua ajaran Barat itu salah kerana sehingga hari ini masih ada segelintir sarjana Barat itu ikhlas dalam menuntut ilmu untuk kebaikan umat manusia. Maka tidak salah sekiranya mengambil idea-idea mereka dengan tujuan mengajar kita untuk memandang sesuatu dengan positif. Dari sudut sejarah juga  telah terbukti bahawa banyak ilmu-ilmu yang dimiliki mereka kini sebenarnya berakar umbikan ilmu para ilmuwan Islam dari kitab-kitab yang telah dirampas dan dibawa balik ke Tamadun Barat. Yang penting neraca ilmu kita itu benar. 


Kata Carl Rogers; The good life is a process, not a state of being. Kehidupan yang baik itu adalah satu proses, bukan sifat kehidupan itu sendiri. Seperti setiap kita sedia maklum, sebelum dilahirkan ke dunia ini lagi Allah s.w.t. telah menetapkan tiga perkara buat kita yakni perihal rezeki, ajal dan jodoh. Namun adakah apabila kita lahir Allah mernzahirkan pada kita di mana rezeki kita? Siapa jodoh kita? Dan bila ajal kita? Tidak sama sekali. Sebelum mendapatkan rezeki, kita perlu melalui proses 'bekerja' terlebih dahulu. Untuk bertemu jodoh, kita perlu berusaha mencarinya terlebih dahulu dan untuk menemui ajal, kita perlu melalui proses kehidupan terlebih dahulu. Maka jangan terlalu asyik mengeluh andai kehidupan kita sekarang belum memuaskan hati kita kerana hakikatnya 'kehidupan yang bahagia' itu bukan terjadi sendiri tetapi ia perlu kepada proses 'usaha' untuk mencapainya.


Kemudian Carl Rogers menyambung; It is a direction, not a destination. 'Kehidupan yang bahagia' itu satu arah tujuan, namun bukanlah matlamat akhir. Setiap apa pun yang kita kejarkan untuk sebuah kehidupan yang bahagia di dunia ini bukanlah destinasi utama kita kerana kehidupan di dunia ini hanya satu arah tujuan yang mesti kita lalui untuk sampai kepada destinasi akhir yang lebih penting. Maka apakah kita benar-benar jelas dengan makna 'bahagia' itu sendiri? Adakah bahagia itu apabila kita banyak beramal ibadah? Adakah bahagia itu apabila kita menggembirakan kedua ibu bapa?  Lain manusia lain definisi bahagianya. Namun disebalik kepelbagaian itu terdapat satu titik persamaan iaitu kita akan menyandarkan kebahagiaan itu kepada sesuatu tidak kira dalam bentuk pekerjaan mahupun insan yang kita sayangi untuk mendapatkan rasa kepuasan.


Umumnya bahagia itu adalah rasa 'kepuasan' dalam diri kita dengan sandaran pada suatu peristiwa tertentu. Atau dalam erti kata lain, kita takkan mampu merasai kebahagiaan itu tanpa menyandarkannya pada sesuatu. Maka untuk kekal rasa bahagia, sandaran kebahagiaan itu perlulah pada sesuatu yang bersifat 'kekal' dan sesungguhnya hanya Allah s.w.t. sahajalah Yang Maha Kekal (Al-Baaqii) untuk kita sandarkan kebahagiaan kita.


Hidup ini hanyalah satu perjalanan, satu arah tujuan untuk menemui Tuhan yang Maha Kekal. Maka kebahagiaan atau  destinasi sebenar yang patut kita tujui ialah kehidupan selepas dunia nanti yakni akhirat kerana disitulah kita akan menemui kebahagiaan yang kekal bersama Tuhan.



Bahagia tak sekarang? Happiness is yours if you've found faith in God. InsyaAllah. :)



Comments

Post a Comment