Helen.




Suatu ketika dahulu, sekitar tahun 1920-an di New York, orang buta dan orang-orang kurang upaya sering diperbodohkan dan dipertonton. Mereka dijadikan bahan ketawa dan dibawa ke pentas supaya berlagak seperti badut, tersadung pada benda-benda yang diletakkan di hadapannya lalu terjatuh. Mereka dianggap sebagai satu hiburan selalunya dalam pertunjukkan makhluk aneh. Tetapi Helen keller, seorang wanita pekak serta buta telah mengubah tanggapan orang ramai daripada mengejek kepada mengambil berat perihal masyarakat istimewa.








Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang terkenal dan dihormati, Helen keller pada awalnya merupakan bayi yang riang dan sihat sehinggalah umurnya mencapai 19 bulan, apabila beliau diserang penyakit ganjil yang menggerunkan. Beliau mengalami demam panas dan terbaring kaku di atas tilam. Para doktor hari ini percaya bahawa Helen mungkin telah menghidap ensefalitis, iaitu radang otak yang disebabkan oleh bakteria atau virus. 


Namun Helen berjaya sembuh tetapi selepas itu beliau didapati tidak dapat mendengar dan melihat. Dunianya berubah menjadi sunyi dan gelap hingga lama-kelamaan beliau lupa segala perkataan yang diketahuinya dan berhenti bercakap. Beliau terkurung dalam dunia yang tertutup kepada orang lain dan tidak berkomunikasi dengan sesiapa pun. 


Ketika usia hampir mencapai 7 tahun, Anne Sullivan yang pada masa itu berusia 21 tahun telah dipilih sebagai insan yang paling tepat menjadi guru Helen. Pada awalnya ia bukanlah suatu proses yang mudah buat Anne untuk memahami jiwa Helen kerana beliau ganas dan mudah marah, selalu memuaskan hatinya sahaja. Namun Helen mempunyai semangat dan keazaman manakala Anne pula memiliki kesabaran dan kasih sayang. Sesuatu yang menarik saya pelajari melalui didikan Anne terhadap Helen ialah perlunya seorang murid itu diajar bersopan dan mendisiplinkan diri dahulu kerana katanya, "menurut kata merupakan pintu bagi pengetahuan dan kasih sayang masuk ke dalam fikiran kanak-kanak." Tanpa kepatuhan, adalah mustahil untuk mengajarkannya perkara lain.


Kanak-kanak normal belajar berkata-kata dengan mendengar dan meniru percakapan orang di sekeliling mereka namun bagi kanak-kanak yang tidak boleh mendengar seperti Helen, mengeja perkataan pada tangan mereka antara kaedah yang boleh membantu "membekalkan" fikiran mereka dengan perkataan-perkataan. Selepas berminggu-minggu berjuang dan berusaha untuk membimbing Helen untuk berkomunikasi dengan membentuk huruf pada tangannya, Helen mula menunjukkan peningkatan dan kemajuan. Helen berkomunikasi dengan merasa bibir serta tekak pasangannya ketika mereka bercakap dan mengeja pada tangan mereka. Pendidikan yang digunakan Anne dalam mendidik Helen menjadi pelopor dalam bidang ilmu Pendidikan Khas Kanak-Kanak pada hari ini.


Apabila Helen mencapai usia dewasa, beliau nekad membantu orang lain yang mengalami masalah yang serupa dengannya. Beliau turut mengabdikan dirinya untuk menjelajah ke seluruh dunia dengan mewakili Yayasan Orang Buta Amerika. Beliau turut berjuang untuk hak masyarakat istimewa dan berkempen untuk perjuangan-perjuangan kemanusiaan. Meskipun keadaan dirinya sedemikian, semangat dimiliki Helen adalah sesuatu yang sangat dikagumi oleh sesiapa sahaja yang membaca kisah beliau. Beliau berjaya mengatasi kecacatan fizikalnya untuk mengecapi kerjaya yang cemerlang sebagai penulis, pejuang hak wanita, aktivis sosial dan pejuang bagi manusia istimewa di seluruh dunia. 





"Guru saya telah mengajarkan bagaimana satu perkataan dari tangannya menyentuh kegelapan fikiran saya, lalu saya terjaga dalam kegembiraan hidup. Dahulu saya bisu sekarang saya berkata-kata. Saya terhutang budi dengan belas kasihan dan pertolongan orang lain. Melalui kasih mereka saya menemui jiwa saya, Tuhan dan kebahagiaan. Kita hidup bersama-sama dan untuk satu sama lain. Banyak yang kita boleh lakukan bersama. Hanya kasih yang dapat meruntuhkan tembok antara diri dan kebahagiaan kita. Seperti suruhan Tuhan yang paling utama ialah; "Sayangilah kamu antara satu sama lain.""
- Helen Keller. 


Comments

  1. Ary,

    Saya nak rekeman buku Partikel (Supernova) karya Dee Lestari. Best sgt2 Ary..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok kak, noted. Kalau kak Zilla yang rekemen ni memang kena cari ni. ^_^

      Delete
    2. Kalau nak lagi best Ary,cari semua buku dalam series Supernova ini...Akak mula2 baca terasa "ehh, buku apa ni.." tapi bila akak pergi lagi jauh terus tak boleh nak henti..ada 'kisah' di sebalik Partikel...

      Delete
    3. Orait kak, insyaAllah nanti ary try cari.

      Delete

Post a Comment