Amba; sebuah reviu.

Reviu panjang yang mengandungi spoiler, harap maklum.




Membaca Amba seumpama mengikuti suatu pengembaraan yang sangat indah dengan kata-kata. Tidak hanya dengan kata-kata indah, pembaca akan mengikuti suatu perjalanan cerita fiksi yang berlatarkan sejarah yang real dengan sedikit serpihan kisah dewa-dewa. Buku yang bergenre historical fiction sememangnya membosankan sekiranya pembaca tidak familiar dengan sejarah yang dibawa, namun ketelitian Laksmi Pamuntjak dalam menghasilkan karya ni sedikit sebanyak membawa saya mengetahui sejarah Indonesia yang berlaku sekitar tahun 1965-1979, iaitu era kebangkitan ideologi dan semangat nasionalisme. 

Amba merujuk kepada tokoh wanita utama dalam cerita ni. Namanya diambil dari salah satu tokoh wanita dalam epik Mahabharata. Amba dalam Mahabharata adalah calon isteri Salwa yang diculik Bhisma. Setelah Salwa tidak menginginkannya lagi, Bhisma juga tidak mahu menikahi Amba kerana dia telah bersumpah tidak akan bernikah. Dalam novel ni, konflik cinta yang serupa terjadi di antara Amba Kinanti, Bhisma Rashad dan Salwani Munir sewaktu era pergolakan politik yang terkait dengan Peristiwa G30S/PKI (Gestapu), iaitu peristiwa yang menjadi titik tolak peralihan pemerintahan Soekarno-Soeharto. 

Amba adalah seorang perempuan Jawa yang lahir dalam tiga bersaudara, dua adiknya juga perempuan, iaitu si kembar Ambika dan Ambalika. Sudarminto, ayah kepada Amba ialah seorang guru yang mendalami Serat Centhini, Wedhatama dan puisi-puisi Jawa lain. Maka tidak hairanlah jika Amba sangat mencintai sastera, dia dibesarkan dengan kitab-kitab tua hinggakan namanya sendiri diambil dari kisah klasik. Menyedari dirinya tidak secantik ibu dan adik kembarnya, maka ia banyak meleburkan diri pada buku-buku, berusaha melakukan segala hal dengan sebaik mungkin. 

Di usia 18 tahun, Amba ditunangkan dengan Salwani Munir, lelaki pilihan ibu bapanya yang merupakan dosen (pensyarah) Universitas Gadjah Mada. Salwa digambarkan sebagai watak yang menarik, baik dan mudah mendatangkan simpati. Boleh dikatakan Salwa ni adalah ciri-ciri tipikal kekasih yang didambakan oleh para gadis; kekasih yang setia, hadir dengan cinta yang penuh hormat dan tanggungjawab, menyayangi keluarga kekasihnya seperti dia menyayangi sang gadis, menghadirkan cinta yang membawa ketenangan dan seorang lelaki matang bercerita  tentang masa depan (pernikahan dan keluarga). 

Tapi sayang sekali, Amba merasakan jiwanya tidak sealiran dengan Salwa. Dia tidak mendapatkan cinta yang mengghairahkan dari diri Salwa. Salwa bukanlah seorang lelaki dengan cinta yang menyala-nyala, seperti dalam kitab-kitab lama yang dibacanya. Atau dalam kata lain, Salwa ni terlalu baik/ suci/ polos. 

“Amba tidak tahu jenis cinta lain, kecuali cerita-cerita yang tak tertuliskan. Ia mengakui, memang ada yang terasa terhormat dalam cinta Salwa, kalau memang itu cinta namanya, terhormat dan menebarkan rasa aman. Kitab-kitab tua berbicara tentang cinta yang menyala-nyala (mereka tak pernah berbicara tentang cinta yang sabar), cinta yang dipenuhi nafsu…” – ms. 150 

Ketika mereka terpisah kerana Salwa harus bertugas dan tinggal setahun di Surabaya, Amba membawa diri ke Kediri, menjadi penerjemah bagi seorang doktor di sebuah rumah sakit, Doktor Bhisma Rashad, lulusan Universitas Karl Marx di Leipzig, Jerman Timur. 

Berbeza dengan Salwa, Bhisma menawarkan Amba cinta yang dia inginkan; penuh ghairah, bahkan yang menghalalkan persetubuhan sebelum pernikahan. Sepanjang membaca part percintaan mereka ni bagi saya it’s too complicated sebab watak Bhisma ni sendiri complicated; dia tak pernah menjelaskan siapakah Amba dalam hidupnya, adakah dia mencintai Amba, atau Amba sekadar menjadi pendengar kepada cerita-cerita masa lalunya saja. Di sinilah watak Amba yang pada mulanya seorang perempuan mandiri dan takut untuk takluk pada lelaki, akhirnya takluk kepada Bhisma hinggakan dia sendiri tak mampu menolak perasaannya. 

Cinta mereka berlanjut ke Jogja dan berakhir semasa peristiwa penyerbuan di Universitas Res Publica, Yogyakarta, 19 Oktober 1965, di mana berlakunya penyerbuan terhadap mahasiswa Sayap Kiri (komunis). Amba dan Bhisma yang turut hadir dalam acara tersebut terpisah buat selamanya. Bhisma seumpama hilang tanpa jejak meninggalkan Amba dengan pertanyaan dan benih dalam kandungannya. 

Amba meninggalkan Salwa bahkan keluarganya dengan hanya menceritakan segalanya melalui surat. Dia ingin memulakan hidup baru dan melupakan segala tentang dirinya di masa lalu. Hadirnya watak Adalhard Eilers, lelaki ketiga dalam hidup Amba yang menawarkan perlindungan bagi Amba dan bayi dalam kandungannya, dan seterusnya menjadi suaminya yang sah. 

Hampir empat puluh satu tahun kemudian (2006), Amba mendatangi Pulau Buru selepas menerima satu e-mail yang dikirim oleh seorang anonimes dengan pesan: 

"Bhisma meninggal. Ia yang bermula dan berakhir di Buru." 

Amba yang pada ketika itu berusia 62 tahun ingin merungkai apa yang terjadi pada ayah anak perempuan satu-satunya, Srikandi. Ternyata selepas peristiwa penyerbuan di Yogja, Bhisma menjadi salah seorang tahanan politik yang dibuang ke Pulau Buru. Walaupun setelah 1979, ketika kem tahanan politik Pulau Buru dibubarkan dan seluruh tahanan politik dipulangkan, Bhisma tetap tinggal di Pulau Buru, tidak pernah kembali menemukan Amba semula. 

Bhisma meninggalkan sejumlah surat-surat yang dimasukkan dalam tabung bambu dan disimpan di bawah sebatang pohon meranti. Manalisa, penghuni asli Pulau Buru yang dianggap sakti dan juga merupakan teman baik Bhisma semasa di Buru, menjaga peninggalan Bhisma untuk Amba. Kehidupan Bhisma di Pulau Buru dan situasi genting yang membuat Bhisma mati terungkap dalam surat-surat itu, surat-surat yang tidak pernah dikirimkan. 





Tiga hal yang saya sangat suka dengan cerita ni 😊; 
  • tiada satu hal pun yang dibiarkan ‘gantung’ dan meninggalkan pembaca dengan tanda tanya. Semuanya terjawab termasuklah hal-hal kecil yang pada mulanya saya juga tertanya-tanya. Walaupun Amba dan Bhisma tidak bersatu, namun membaca surat-surat Bhisma seumpama menutup cerita ni dengan cukup indah bahkan mengubah pandangan negatif saya terhadap Bhisma di awal cerita. 
  •  Laksmi Pamuntjak berjaya menghadirkan gambaran Pulau Buru masa kini dan menghadirkan situasi Pulau Buru dan para tahanan politik di masa lalu dengan cukup detail dan berkesan. Ini merupakan novel kedua yang saya baca mengangkat kisah berkait Pulau Buru, selepas Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer. 
  • membacanya membuatkan saya menjadi ingin tahu lebih banyak mengenai penulis besar serta karya-karya mereka, seperti Pablo Neruda, Bertolt Brecht, Alexander Blok, dll. Semua penulis-penulis ini ada disebut dalam buku-buku bacaan Amba dalam cerita ni. Minatnya yang mendalam terhadap sastera Inggeris menjadi salah satu faktor wataknya sangat elegan walaupun dia hanyalah seorang gadis desa. 



Empat hal yang bagi saya menyedihkan (atau mungkin saya jak yang over/ terbawa perasaan 😢) 
  • Watak Salwa yang kecewa apabila cinta sucinya dikhianati. Sedangkan sepanjang di Surabaya, dia tidak pernah putus mengirim khabar dan mengutus surat kepada Amba, mengingatkannya dengan harapan-harapan mereka untuk membina keluarga bersama. Dialah satu-satunya orang yang mengetahui di mana Bhisma menghilang selepas peristiwa penyerbuan namun merahsiakannya daripada pengetahuan Amba sekian lama kerana tidak mampu memaafkan segala apa yang telah Amba lakukan kepadanya. Dan sebagai tanda kemaafan di akhir cerita, dialah anonimes yang mengirim e-mail kepada Amba berkaitan Bhisma agar Amba dapat merungkai segala pertanyaan dan tidak hidup terus-menerus dengan kenangan lalu yang tak selesai. 
  • Watak Adalhard Eilers yang sudi menikahi Amba dalam keadaan hamil demi menyelamatkan masa depannya. Namun sepanjang perkahwinan mereka, dia hanya memiliki diri Amba bukan hatinya kerana Amba hakikatnya tak pernah move on dari mencintai Bhisma. 
  • Watak Mukaburung, wanita yang dikahwini Bhisma ketika sisa-sisa akhir hidupnya di Buru namun Bhisma tak pernah menyentuhnya. Dia juga menerima nasib yang sama seperti Adalhard Eilers, memiliki seseorang namun tidak mendapatkan hatinya secara utuh. 
  • Kenyataan bahawa Bhisma hakikatnya tak pernah melupakan Amba sepanjang menjalani hidupnya di Pulau Buru.

Namun mengapa Bhisma tidak pulang dan mencarinya? Sedangkan dia pernah katanya: 
"... aku tak pernah membiarkan kau meninggalkan sukmaku, sebab kau amanatku sekaligus takdirku."? – ms. 462. 

Jawapannya ada dalam salah satu surat Bhisma:
"Cinta kita sendiri sudah begitu besar, begitu luar biasa. Kebanyakan orang tak pernah mengalaminya. Apabila cinta yang begitu besar itu termasuk memiliki objek yang kaucintai, itu namanya ketidakadilan. Sungguh tak adil, untuk mencintai dan dicintai sedemikian rupa, dan melakukannya di atas penderitaan orang lain. Akhirnya, kamu benar: hidup kita telah ditulis di langit. Dan kita tak kuasa menentangnya." – ms. 459. 





Comments

  1. Anonymous9.2.18

    Menarik novelnya. Setakat ini, satu2nya buku sejarah yang saya boleh hadam adalah karya Faisal Tehrani😅

    Will try to read this novel later

    ReplyDelete

Post a Comment