Ayah.



Kali pertama dan terakhir membaca karya Andrea Hirata (AH) ialah buku dwilogi Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas sekitar tujuh tahun lalu (2013), satu-satunya buku AH yang saya miliki. Tak pernah langsung baca novel-novelnya yang lain termasuklah Laskar Pelangi, karya paling femes hingga menjadi salah satu buku fenomenal di Indonesia dan telah pun diterjemah ke dalam 40  bahasa asing. But I do watch the movie termasuk cerita Sang Pemimpi and it was really great! AH ni boleh dikatakan salah seorang penulis terkenal di Indonesia. Bagi mereka yang biasa mengikuti karya-karyanya sebelum ni pasti tahu yang AH suka menggunakan watak-watak yang sama (Ikal, Lintang, Arai, Ah Ling dan beberapa watak lain) dalam karya-karyanya. Novel Ayah ni merupakan karya  yang kesembilan dan buat pertama kalinya, ia menghadirkan nama-nama baru yang tiada kaitan dengan Ikal, Lintang mahupun Arai. Masih mengekalkan latar perkampungan Melayu Belitung, ia membawa sebuah kisah cinta sederhana sekaligus 'unik', yang merupakan inspirasi dari kisah nyata sahabatnya.



*Reviu ni berkemungkinan akan mengandungi banyak spoiler. Maaf. 




Ayah.

“Segala hal dalam hidup ini terjadi tiga kali, boi. Pertama lahir, kedua hidup, ketiga mati. Pertama lapar, kedua kenyang, ketiga mati. Pertama jahat, kedua baik, ketiga mati. Pertama benci, kedua cinta, ketiga mati. Jangan lupa mati, boi.” - Insyafi.

Novel ni dimulakan dengan tiga sudut cerita yang berbeza.

  • Pertama bercerita tentang kisah kehidupan Sabari bin Insyafi, anak seorang ayah yang puitis dan guru Bahasa Indonesia yang telah menurunkan bakatnya kepada Sabari, sehingga anaknya digelar Isaac Newton Bahasa Indonesia. Mereka sama-sama sangat mencintai puisi. 
  • Kedua, kisah Amiru yang amat menyayangi ayahnya, Amirza serta kedua adiknya dan ibu yang selalu sakit. Walaupun masih kanak-kanak, dia rela bekerja separuh masa demi menebus radio kesayangan ayahnya yang terpaksa digadaikan demi membiayai kos perubatan ibunya. 
  • Ketiga, kisah seorang ayah bernama Markoni yang seringkali menyesali masa lalunya kerana tidak pernah mendengar nasihat orang tuanya, dan kini justeru terpaksa berjuang demi memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan agar tidak menyesal seperti dirinya. Walaupun usahanya sering gagal, dia akhirnya berjaya mengubah nasib hidupnya menjadi pengusaha kilang batu bata. Namun sayang sekali, sikapnya yang tegas dan keras dalam mendidik anaknya menyebabkan anak bongsunya, Marlena menjadi pemberontak.

Mulanya pembaca mungkin akan sedikit bingung tentang perkaitan tiga sudut cerita tersebut yang langsung tiada kaitan,  namun semakin cerita berkembang, cerita akan bermuara kepada watak utama dalam novel ni, iaitu Sabari, lelaki 'jelek' bergigi tupai dan bertelinga lebar, namun memiliki hati yang sangat tulus.

Di awal remaja, Sabari berkawan baik dengan Toharun, Ukun dan Tamat, murid nakal dengan perangai 'gila-gila' yang selalu menjuarai ranking tercorot di sekolah. Berbeza dari teman-temannya yang mempunyai deretan nama perempuan yang digemari, Sabari tidak. Dia seringkali bingung bagaimana teman-temannya memperlakukan cinta dengan sewenangnya-wenangnya. Baginya, cinta tidak seharusnya diperlakukan seperti itu.

Kisah cinta Sabari bermula ketika seorang perempuan merampas kertas jawapannya sewaktu ujian kemasukan SMA Negeri, lalu menyalin seluruh jawapannya. Meninggalkan sebatang pensil sebagai terima kasih,  perempuan itu adalah Marlena binti Markoni/Lena. Sabari terpesona melihat anak matanya yang indah, teduh dan berkilau bak purnama kedua belas. Sejak itu bermulalah perjuangan Sabari mengejar cinta Marlena. Sayangnya Lena sedikit pun tidak memiliki perasaan yang sama, bahkan jijik. Lena memiliki karakter yang jauh berbeza dengan Sabari, memiliki wajah indah namun karakter yang buruk, keras kepala, seringkali berganti-ganti pacar/kekasih dan teguh dengan pendiriannya, terutama dalam menolak cinta Sabari. Berbagai hal dilakukan Sabari untuk melunakkan hati Marlena; puisi-puisi, salam, surat, bahkan sapaan melalui siaran radio, namun segalanya berhujung dengan kebencian yang semakin menjadi-jadi pada diri Marlena. 


“Hidup ini memang dipenuhi orang-orang yang kita inginkan, tetapi tidak menginginkan kita, dan sebaliknya.”

Usai tamat SMA, Sabari bekerja di Tanjong Pandan bersama dua rakannya, Ukun dan Tamat. Menyedari hatinya belum benar-benar move on dari cintanya kepada Marlena, maka Sabari mengambil keputusan untuk berpindah ke Belantik lalu memohon pekerjaan di Pabrik Batako, kilang batu bata milik Markoni, bos yang sangat garang dan berdisiplin yang juga merupakan ayah kepada Marlena. Sama seperti di SMA, perjuangannya mendapatkan cinta Lena diteruskan dan sekali lagi, berjuta-juta kali juga dia ditolak namun Sabari tetap tidak beputus asa. Suatu hari berlaku sesuatu kepada Marlena yang mengharuskannya untuk segera bersuami. Demi menutup aibnya, Sabari menawarkan diri untuk menikahi Marlena. 

Rumahtangga yang dijalani Sabari bukanlah seperti rumahtangga yang seharusnya. Marlena tetap tinggal bersama orang tuanya. Setelah melahirkan anaknya, Zorro, Sabari yang mengasuh dan menjadi ayah sekaligus ibu kerana Marlena jarang pulang. Kehadiran Zorro sangat memberi makna baru buat Sabari. Walaupun mereka tidak memiliki pertalian darah, Sabari sanggup berkorban apa saja termasuklah berhenti kerja demi menjaga Zorro seorang diri. 

Disingkatkan cerita, pernikahannya bersama Marlena kandas apabila Marlena memohon perceraian lalu membawa Zorro pergi dan hal itulah yang menyebabkan hidup Sabari berubah total. Tidak memiliki pekerjaan, meninggalkan rumah lalu hidup di jalan ke jalan demi mencari anaknya. Sabari benar-benar kehilangan jejak Marlena dan Zorro. Selama lapan tahun dijalani umpama seorang Majenun, hari-hari merindui anaknya. Tak sanggup melihat keadaan Sabari, Ukun dan Tamat bertekad untuk membantu sahabat mereka mencari Marlena dan Zorro hingga membawa kepada pengembaraan ke seluruh pelosok Sumatera demi mencari jejak Marlena. 




Antara hal yang bagi saya sangat menarik dalam novel ni;

  • Bagi yang belum membaca buku ni, sekiranya membaca ringkasan cerita yang saya kongsikan mungkin beranggapan bahawa cerita ni macam cerekarama yang sedih-sedih di TV3 setiap hari Sabtu. But actually, cerita ni sangat menyenangkan dibaca. AH sangat pandai merangkai cerita yang sebenarnya 'agak menyedihkan' menjadi jenaka. 


  •  AH benar-benar menjelaskan secara detail kehidupan SMA dengan benih-benih cinta remaja  yang biasa terjadi di dalamnya. Menggunakan latar waktu sekitar tahun 1990, pembaca diajak bernostalgia dengan trend kehidupan remaja era itu, tanpa handphone, Facebook, Whatsapp, Insta, Twitter dan sebarang media sosial.  Zaman 'pen pal', berkirim-kirim surat, berkongsi puisi di majalah dinding sekolah dan request lagu melalui radio, segala hal yang anak-anak muda 'jaman now' dan generasi Spotify tak sempat nak rasa. Namun tiada adegan yang romantis dalam novel ni. Segala effort yang dilakukan Sabari dalam mengungkapkan cintanya hanyalah tindakan-tindakan sederhana yang konyol (lawak/lucu). Antara bahagian yang saya sangat suka sampai ketawa sendiri membacanya, 😂




  • Dibalik kelucuan dan lawak jenaka diselitkan AH dalam buku ni, tetap ada bahagian-bahagian yang sempat membuat mata saya berkaca-kaca membacanya 😢 (Ka, saya jak yang over feeling?

Amirza suka mendengar sandiwara radio Menantu Durhaka  yang setiap malam diudarakan radio lokal. Ia juga menjadi siaran kesayangan Amiru dan ibunya. Apabila radio digadai, rumah mereka tiba-tiba bertukar sepi. 

"Dia selalu melihat ayahnya mendengar radio, memutar-mutar tombol kuning. Kini ayahnya hanya duduk termangu di kursi rotan itu. Malam beranjak, Amiru tak dapat tidur karena telah terbiasa mendengar bunyi radio itu sejak kecil. Tak pernah ia mengalami malam sesenyap dan sepahit malam itu." - ms. 53

Demi menebus semula radio kesayangan ayahnya, Amiru ingin mengikuti pertandingan lumba basikal  yang menawarkan hadiah berupa wang. Setelah berhari-hari berlatih, ternyata penyertaannya ditolak sewaktu hari pertandingan kerana basikalnya yang usang tak memenuhi syarat pertandingan.



  • Karakter Sabari dalam novel ni sangatlah langka dan patut di teladani. Seperti namanya, Sabari adalah orang yang sangat penyabar, sederhana, pantang berputus asa, naif dan sangat setia. Walaupun segala kebaikannya tidak selalu membawa keberuntungan dalam perjalanan hidupnya, Sabari tak pernah menyesal dan tetap optimis. Sabari adalah orang yang selalu melihat sisi positif dari masalahnya dan pandai bersyukur. Meskipun Marlena mengabaikannya, Sabari masih bahagia memiliki dan mengasuh Zorro seorang diri. Hinggalah akhirnya perpisahannya dengan Zorro yang membuatnya hilang semangat hidup.

  • AH menghadirkan banyak watak-watak lain di dalam novel ni namun itu tidak akan menyusahkan pembaca untuk mengingat setiap satu kerana masing-masing memiliki karakter yang unik dengan perjalanan kisah hidup masing-masing. Satu-satunya watak yang berkembang dalam cerita ni hanyalah Marlena. Walaupun diawal cerita watak Marlena ni sangat negatif, AH tidak menghakimi Marlena. Tiada tulisan yang mengutuk tindakan Marlena yang meninggalkan Sabari dan mengambil Zorro. AH juga mengkaburkan pembaca dari hal-hal yang dilakukan Marlena yang sering pulang ke rumah lelaki yang berbeza hingga melahirkan anak luar nikah. Tiada pendapat dituliskan tentang Marlena yang kahwin-cerai hingga tiga kali dengan tiga lelaki berbeza. Ia menggambarkan AH sangat sopan dalam menghakimi suatu persoalan individu. Sebaliknya, AH bahkan seakan-akan memuja watak Marlena dalam pengembangan ceritanya. Setelah meninggalkan Sabari, Marlena digambarkan sebagai watak wanita dengan karakter wanderer, sangat mandiri dan memiliki daya tahan hidup yang tinggi. Marlena menjadi karakter yang 'quite different' dari standard kehidupan normal, tanpa melihat 'different' itu dengan penilaian baik atau buruk. 
  • AH banyak menyelitkan puisi dalam novel ni kerana watak Sabari, ayah Sabari bahkan Zorro juga pandai membuat puisi. Meskipun pendek, puisi-puisi tersebut sangat manis dan 'kena' dengan bahagian-bahagian ceritanya. 




Wahai awan
Kalau bersedih
Jangan menangis
Janganlah turunkan hujan
Karena aku mau pulang
Untukmu awan 
Kan kuterbangkan layang-layang 
-ms. 63




Waktu dikejar
Waktu menunggu
Waktu berlari
Waktu bersembunyi
Biarkan aku mencintaimu 
Dan biarkan waktu menguji 
-ms. 64



Rindu yang kutitipkan melalui kawan
Rindu yang kutinggalkan di bangku taman
Rindu yang kulayangkan ke awan-awan
Rindu yang kutambatkan di pelabuhan
Rindu yang kuletakkan di atas nampan
Rindu yang kuratapi dengan tangisan 
Rindu yang kulirikkan dalam nyanyian 
Rindu yang kusembunyikan dalam lukisan 
Rindu yang kusiratkan dalam tulisan 
Sudahkah kau temukan? 
-ms. 128



Antara pengajaran yang dapat diambil dari novel ni;

  • Kadangkala ada hal-hal yang kita lakukan, meskipun kecil, mampu memberi inspirasi buat orang lain, sama ada seseorang yang kita kenal mahupun seseorang yang kita tak pernah kenal. We never know, so keep inspiring!


  • Hidup adalah tentang berjuang, bukan tentang menjadi pemenang. 
  • Sahabat yang baik adalah yang bersama kita tidak kira saat suka mahupun duka. 
  • Having high expectations dan berharap hal-hal yang besar seringkali menjadi asbab kekecewaan dalam hidup. Belajarlah menyenangi hal-hal kecil yang biasa, sehingga kita mampu mentertawakan kesusahan. 

  • Sepertimana sifat wanita yang selalu dikaitkan dengan naluri keibuan, lelaki pun begitu, juga memiliki naluri seorang ayah. Dan pengorbanan seorang ayah itu tidak kurang hebatnya dari pengorbanan seorang ibu. 


  • Bermula dari dongeng Cinderella dan  bawang merah bawang putih, pemikiran kita selalu tertanam bahawa ibu tiri, bapa tiri, kakak tiri, abang tiri dan segala yang 'tiri-tiri' ni selalunya  jahat. Namun ketahuilah, ada saja seseorang yang berpangkat 'tiri' diluar sana yang sangat baik, they do exist in real life. Persis Sabari yang sangat menyayangi Zorro, walaupun dia hanyalah seorang ayah tiri.
  • Stop being judgemental dengan hidup orang lain, kerana tak semua orang dibesarkan seperti mana kita dibesarkan, tak semua orang mendapat didikan seperti yang kita dapatkan. 
  • Cinta adalah sesuatu indah, namun ia tidak boleh dipaksakan. Lebih baik ditolak kerana tidak dicintai berbanding dipilih kerana kasihan. You have your own worth, move on!
  • Kesetiaan adalah sesuatu yang sangat mahal dalam diri seseorang. 

  • Cinta yang tulus adalah cinta yang tak mengharapkan balasan. Sehingga ke akhir hayat, Sabari tak sempat merasai balasan cinta Marlena. Namun cinta itu tak pernah pudar.
"apakah ayah masih mencintai ibu?"

"Ingat Boi, dalam hidup ini semuanya terjadi tiga kali. Pertama aku mencintai ibumu, kedua aku mencintai ibumu, ketiga aku mencintai ibumu." - ms.  394

  • Dengarlah nasihat orang tua. Kalau hari ni kita derhaka dengan ibu bapa, esok-esok mungkin anak kita pula yang akan derhaka dengan kita. Nauzubillahiminzalik. Hargailah mereka sepertimana mereka yang telah menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Mesej yang tipikal, namun tanamlah di dalam diri.



Comments