Kambing dan Hujan.



Kisah cinta yang terhalang kerana perbezaan, konflik dua keluarga dan ending cerita yang membahagiakan rasanya telah pun diguna oleh jutaan cerita cinta lain di dunia. Namun apa yang berbeza dengan novel ini? Bagi saya ia membawa suatu konflik yang agak jarang  ditemukan, mungkin kerana ia suatu isu yang agak sensitif untuk dituliskan; iaitu cinta yang terhalang kerana perbezaan fikrah (fahaman) dan manhaj (cara beragama). 



Kambing dan Hujan. 


Fauzia dan Mif (Miftahul Abrar) bertemu pertama kali di dalam bas sewaktu dalam perjalanan menuju ke Surabaya. Mereka berasal dari desa yang sama, sebuah desa kecil bernama Centong namun Fauzia tidak mengenali Mif. Fauzia hanya mengingat Mif setelah dia memperkenalkan nama dan alamatnya, juga identitinya sebagai ‘anak utara’. Mereka pun saling menjalinkan hubungan persahabatan. Dipendekkan cerita hubungan mereka berlanjut menjadi hubungan asmara hingga keduanya mahu bernikah dan harus memohon restu kepada orang tua masing-masing. 

Di sinilah cerita sebenar bermula. 

Mif dan Fauzia menyedari hubungan mereka bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka saling berbeza. Walaupun berasal dari desa yang sama, Mif adalah penduduk Centong Utara manakala Fauzia penduduk Centong Selatan. Kehidupan mereka penuh perbezaan bermula dari masjid yang berbeza, sekolah yang berbeza juga aliran dan idealisme agama yang berbeza. Masyarakat Centong Selatan adalah penganut Islam tradisional/Nusantara (NU) manakala masyarakat Centong Utara adalah penganut Islam pembaharu/moden (Muhammadiyah). Konflik menjadi lebih rumit apabila orang tua mereka adalah tokoh yang disegani berasal dari dua aliran yang berbeza tersebut. Keberanian mereka untuk memohon restu akhirnya mengungkap cerita sejarah panjang orang tua mereka yang tidak sekadar ‘berbeza.’ 

Sewaktu kecil, Mat (Moek) dan Is adalah sahabat yang sangat akrab. Mat sering mengikuti Is menggembala kambingnya. Mereka juga memiliki tempat pertemuan rahsia bernama Gumuk Genjik di mana mereka selalu menggembala kambing bersama-sama sambil berbincang-bincang tentang pelbagai hal. Usai menamatkan persekolahan, Mat mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di sekolah pondok/pondok pesantren, manakala Is tidak mampu untuk melanjutkan pendidikan kerana keluarganya yang miskin. Sepanjang Mat belajar di pesantren, Is belajar agama secara otodidak (belajar sendiri) melalui kitab-kitab yang dibelinya juga dengan gurunya, Cak Ali. Setiap kali pulang, Mat selalu menemui Is, mereka saling bertukar khabar dan perkembangan masing-masing, juga berdebat tentang berbagai permasalahan agama dengan pandangan mereka yang mulai berbeza. 

Disingkatkan cerita, Mat dan Is akhirnya berada dalam dua kelompok masyarakat yang berbeza. Is dengan semangat menggebu bersama gurunya Cak Ali dan teman-teman sekelompok yang menjadi tokoh penting mempelopori Islam moden manakala Mat yang belajar di pondok pesantren akhirnya dipanggil pulang oleh orang tuanya dan diminta menjadi pemimpin Islam tradisional di Centong. Lahirnya dua kelompok berbeza fahaman tersebut mengugat keharmonian hubungan masyarakat di Centong hingga menjadi jurang pemisah antara mereka; Centong Utara dan Centong Selatan.

Di tengah perbezaan itu, hubungan persahabatan Mat dan Is tetap berlanjut. Diam-diam mereka saling mengagumi perkembangan masing-masing, namun di sisi lain mereka juga saling berusaha mengajak satu sama lain masuk ke dalam kelompoknya. Hal itulah yang kemudian menimbulkan kesalahfahaman dan rasa tersinggung hingga akhirnya membuat mereka enggan bertemu bertahun-tahun ke depan. Mat dan Is yang diceritakan ialah kedua orang tua Mif dan Fauzia, iaitu Pak Fauzan/Mat (bapa Fauzia) dan Pak Kandar/Is (bapa Mif).

Dari cerita yang disampaikan oleh Pak Kandar dan Pak Fauzan sendiri, juga surat-surat lama yang disimpan Pak Fauzan, serta cerita dari Pak Anwar kemudiannya, Mif dan Fauzia masing-masing akhirnya mengetahui sejarah bagaimana lahirnya dua kelompok Muslim yang berseberangan di Centong sejak tahun 1960an dan sejarah hubungan Is dan Mat, orang tua mereka. Mereka juga akhirnya tahu bahawa orang tua mereka hakikatnya  bukanlah dua orang yang saling membenci. Sebaliknya, mereka adalah dua orang sahabat bagai saudara yang terpaksa berada di posisi yang bertentangan, dan tak saling menyapa selama puluhan tahun kerana perbezaan fikrah dan manhaj.




"Dan apa salahnya berbeda? Tuhan menciptakan makhluk juga berbeda-beda. Manusia juga berbeda-beda; beda rupa, suku golongan, bahasa. Jadi, tidak ada yang salah menjadi berbeda. - ms. 338 






Antara hal yang saya sangat suka dengan novel ni; 

  • Kisah cinta Mif dan Fauzia boleh dikatakan ala-ala Romeo & Juliet versi Islamik, namun kisah mereka bukanlah fokus utama novel ini. Sebaliknya, kisah persahabatan Mat dan Is di era 60an lebih mendominasi dan terkesan lebih 'romantis' dibandingkan kisah cinta Mif dan Fauzia yang menurut saya biasa saja. 

Dibalik perbezaan yang wujud, ternyata Mat dan Is tetap saling menyayangi dan mengagumi namun terhalang tembok keangkuhan masing-masing. Hingga akhirnya anak-anak merekalah yang menjadi jalan untuk berbaik kembali.



  • Keberanian Mahfud Ikhwan mengangkat isu sensitif tentang perbezaan NU dan Muhammadiyah serta permasalahan klasik yang dibawa menjadi tarikan utama dalam novel ini. Pembaca akan lebih memahami apa yang membuatkan kelompok NU dan Muhammadiyah begitu berbeza hinggakan kedua-dua pengikut kelompok ni bahkan tak boleh berkongsi masjid. Mahfud juga berhasil memaparkan pemikiran dari dua sudut pandang yang berbeza ini tanpa terasa menghakimi dan berpihak dengan mana-mana kelompok.

  • Walaupun mengangkat suatu konflik yang berat, ia disampaikan dengan ringan dan mudah difahami, sama sekali tak membosankan. Gabungan kisah Mif dan Fauzia yang diselang selikan dengan kisah flashback Is dan Mat juga berpadu dengan lengkap membentuk suatu cerita yang utuh. Saya juga sangat suka bagaimana teknik penceritaan Mahfud dalam memvisualisasikan kehidupan penduduk di desa Centong dan segala kejadian-kejadian  yang berlaku dengan sangat 'hidup', seolah-olah pembaca juga diajak 'masuk' ke dalam cerita dan melihat sendiri situasi-situasi yang berlaku. 
  • Di dalam novel ini saya menemukan banyak hal yang menekankan akan kepentingan menuntut ilmu, kepentingan berguru dengan guru yang benar dan saya juga lebih memahami bagaimana pendidikan yang diamalkan sekolah pondok/pesantren, bagaimana setiap anak yang dihantar ke sekolah pondok menjadi harapan besar buat masyarakat untuk kembali menyampaikan dan mengajarkan ajaran agama yang telah dipelajari. Di satu sudut yang lain, buku ini juga mengangkat kepentingan penuntut ilmu untuk belajar sendiri dan menjadi guru lebih-lebih lagi kepada diri sendiri. 

  • Ada banyak bahagian dalam novel ini bercerita  tentang buku kerana watak-watak yang dihadirkan adalah para pecinta buku dan ilmu. Bermula dengan watak Is yang sanggup menjual seekor kambingnya hanya untuk membeli kitab, juga perbincangan-perbincangan Mat dan Mas Ali, seorang teman di pesantren yang dikaguminya kerana ilmunya yang dalam dan pemikirannya yang terbuka.


Oleh kerana buku ini mengangkat organisasi Muhammadiyah, maka nama Buya Hamka juga banyak ditemukan dalam beberapa bahagian.


  • Sebagai penggemar buku-buku fiksi yang bertemakan 'perempuan' dan emansipasi wanita, saya jarang membaca buku-buku fiksi yang lebih berfokus kepada tema 'lelaki' dan dunia-dunianya. Mungkin buku ni boleh dikatakan yang pertama. Keunikan  penceritaan Mahfud tentang watak lelaki-lelaki dalam buku ni ialah bagaimana beliau keluar dari stigma sosial masyarakat tentang bagaimana lelaki seharusnya bersikap. Misalnya lelaki tak boleh memiliki hubungan persahabatan yang melankolik, tak boleh memiliki pertemanan yang romance terhadap sahabat lelaki mereka (kalau tidak nanti orang akan fikir 'lain-lain', faham-faham la sendiri). Dalam buku ni justeru sebaliknya. Seperti point pertama yang saya nyatakan tadi, hubungan bromance antara Mat dan Is dalam buku ni terasa lebih 'romantis' berbanding kisah cinta Mif dan Fauzia.

  • Watak kesukaan saya dalam buku ni, sebenarnya semua tapi yang paling terkesan dalam hati saya ialah watak Is. Walaupun terhalang oleh kemiskinan, ia tak pernah mematahkan semangat Is dalam menuntut ilmu pengetahuan. Dia bahkan lebih gigih untuk belajar dan membaca kitab-kitab berbanding Mat yang pada mulanya kurang serius dalam menuntut ilmu, namun kerana melihat kegigihan Is, dia turut terinspirasi untuk lebih fokus dalam belajar dan membaca. Selain itu, suatu sikap yang baik diambil oleh Is tatkala cintanya gagal. Is yang diam-diam menyimpan perasaan kepada Yat, namun cintanya terhalang kerana ayah Yat salah seorang penentang kuat kelompok yang diikutinya, menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat serta cita-citanya. Berbanding meratapi nasib dan bersedih kerana cinta, Is menerima segala yang terjadi dan memilih untuk memandang kepada cita-cita yang lebih besar dan memberi manfaat kepada masyarakat. 








Antara pengajaran yang dapat diambil dari novel ini;

  •  “Pernikahan itu melibatkan dua pihak. Dua keluarga. Jikapun bapakmu atau ibumu tidak ada masalah, kita juga harus mengira-ngira apakah kamu atau keluargamu disukai atau tidak.” sebuah nasihat dari Pak Kandar buat Mif, mengingatkan bahawa pernikahan, walaupun sejatinya hanya melibatkan pasangan lelaki dan perempuan, namun keluarga juga tidak boleh diabaikan.
  •  “Menyajikan kopi kepada tamu itu baik, tapi tentu saja jangan dengan menyiramkannya ke muka” – ucap Mas Ali ketika menasihati Mat. Dalam menyampaikan dakwah islamiah ditengah-tengah masyarakat  yang belum sepenuhnya faham tentang ilmu agama, sudah seharusnya kita sebagai umatNya yang lebih baik fahaman agama  mengajarkan ilmu tersebut secara perlahan dan sedikit demi sedikit. 
  • “Karena taklid jenis baru ini, beberapa orang jadi lebih keras dari seharusnya. Mereka buta, atau membuta. Mereka sulit membedakan mana yang benar-benar urusan agama mana urusan organisasi. Mereka menyamakannya. Mereka memandang tujuan, cara, dan sarana dengan cara sama. Misalnya, untuk bisa sampai ke Telogo Ombo, kita bisa lewat jalan depan masjid itu. Pakai apa? Kita bisa naik sepeda motor, bisa naik sepeda pancal, tapi bisa juga---kalau mau sehat, misalnya---jalan kaki. Sekarang coba bayangkan tentang orang yang tidak mampu membedakan mana Telogo Ombo, mana jalan yang harus dilewati, dan pakai apa dia menuju sana. Semua disamakan begitu saja. Dan akhirnya, main mutlak-mutlakan. Mereka menolak sama sekali baha untuk sampai ke Telogo Ombo, kita bisa ambil jalan memutar, ada juga jalan pintas lewat kebun-kebun di belakang Masjid Selatan itu, dan bahkan kita bisa tempuh lewat udara---wong sekarang ada helikopter.” – kata Pakde Anwar kepada Mif. Nasihat ini sangat mengena kerana ia menjadi inti dari perbezaan itu, sebenarnya kita tahu bahwa kita ini satu; Islam. Hanya saja kita terlalu sering membeza-bezakan pandangan dengan menjatuhkan satu sama lain, sedangkan intinya kita tetap sama.
  • "Kita pulang. Kita hadapi. Kita selesaikan. Aku akan menemui abahmu dan menjelaskan apa yang terjadi." – kata Mif kepada Fauzia. Tindakan yang diambil Mif yang tak terlalu terburu-buru mengikuti hawa nafsu dan memikirkan kesan atas keputusan yang diambil mengambarkan ciri-ciri kematangan yang harus dicontohi. Hal inilah yang membeza a man and a boy. 

Dari sebab-sebab dan pengajaran-pengajaran yang disenaraikan, maka saya rasa tak hairanlah jika novel ni terpilih menjadi pemenang Lomba Novel DKJ 2014, ia benar-benar sebuah buku roman yang mendidik. Sebagai penutup reviu saya kali ni, suka untuk saya kongsikan beberapa kata-kata menarik berkaitan ilmu pernikahan yang dikutip dari novel ni sebagai nasihat dan pedoman buat sahabat dan readers saya khususnya yang bakal mendirikan masjid tak lama lagi. Semoga bermanfaat! 😉












Comments