My Neighbor Totoro (1988)
Pertama kali menonton filem Studio Ghibli sekitar 2014. Saya ingat lagi waktu tu cuti semester, Disney Channel menayangkan beberapa karya Hayao Miyazaki sempena anniversary Studio Ghibli, tapi saya sempat tengok Spirited Away sahaja. Selepas tengok cerita tu saya excited sangat nak tengok filem-filem Ghibli yang lain. Bagi generasi Tumblr era 2014-2016 (zaman kegemilangan Tumblr 😄) mesti dah terbiasa melihat gambar-gambar dan gif filem-filem Ghibli yang indah.
credit |
Setakat ni saya dah tengok 12 filem Ghibli dan My Neighbor Totoro ni yang ke-13. Filem ni merupakan karya masterpiece Hayao Miyazaki yang mengangkat nama Studio Ghibli ke peringkat internasional. Maka tak hairanlah kenapa ikon Totoro ni dijadikan logo Ghibli, seperti watak Mickey Mouse yang menjadi logo Walt Disney.
My Neighbor Totoro
Berlatarkan tahun 1950-an di Jepun, profesor Tatsuo Kusakabe dan kedua-dua anaknya yang masih kecil, Satsuki dan Mei berpindah ke sebuah desa yang terletak jauh di pinggir hutan. Mereka berpindah dari Tokyo agar lebih dekat dengan ibu mereka yang dirawat di hospital yang terletak berdekatan dengan desa tersebut. Tidak jauh dari rumah mereka yang usang, terdapat sebatang pohon yang sangat besar. Disitulah tinggalnya Totoro, makhluk misterius yang bertubuh besar, bentuknya seperti gabungan arnab, kucing dan burung hantu. Totoro merupakan penunggu yang menjaga hutan, ia hanya boleh dilihat oleh kanak-kanak yang percaya.
Antara hal yang menarik dalam filem ni;
Sebagai peminat setia filem-filem Ghibli, bagi saya filem ni antara karya Miyazaki yang sangat sederhana. Cerita yang sederhana tentang keluarga yang sederhana di lingkungan persekitaran desa yang sangat sederhana namun mereka bahagia dan saling menyayangi antara satu sama lain. Berbeza dari filem-filem Ghibli yang lain dengan pengembaraan dan konflik yang lebih rumit dan dramatis, filem ni mengalir dengan ringan dari awal hingga akhir. Tiada unsur-unsur yang berat dan gelap seperti hantu, raksaksa mahupun sebarang watak antagonis. Penonton diajak menikmati kesederhanaan tanpa perlu berekspektasi tinggi. Kerana kesederhanaan yang dipaparkan dalam filem ni, tak hairanlah jika ada sesetengah review yang saya baca berpendapat cerita ni agak overrated dan membosankan.
Walaupun filem ni berusia 31 tahun, kualiti filem ni hampir setanding dengan anime dan kartun-kartun pada hari ini. Paparan visual yang indah digabung dengan muzik yang bersesuaian dengan setiap scene dalam filem membuatkan penonton seperti dibuai dalam pengembaraan ke dunia Ghibli yang penuh imaginasi.
Di awal filem ni saya menyangka plot ceritanya akan beralur sedih kerana kondisi ibu mereka yang sakit, namun sepanjang menonton filem ni, ternyata ia sebuah cerita kanak-kanak yang sangat bahagia. Menonton filem ni sebagai orang dewasa membawa saya bernostalgia dengan zaman kanak-kanak yang klasik. Filem ni mengangkat momen-momen kecil yang sangat familiar bagi sesiapa saja yang lahir dan dewasa sebelum wujud teknologi moden; tidur bersama di ruang tamu, tidur dalam kelambu, bermain bersama kakak di luar rumah, berkawan dengan alam, menunggu ayah pulang kerja, memasak dan makan bersama-sama dan banyak lagi momen-momen sederhana yang indah. Hubungan Satsuki dan Mei bersama ayah mereka sangat rapat. Masing-masing saling bekerjasama menjalankan tugas-tugas harian di rumah walaupun tanpa ibu mereka. Selain watak mereka, ada juga watak nenek dan Kanta serta ibunya yang selalu membantu keluarga mereka.
Semua watak dalam cerita ni sangat istimewa dengan karakter masing-masing. Satsuki digambarkan sebagai anak perempuan yang kuat, sentiasa berusaha melindungi dan menjaga adiknya. Mei dengan karakter kanak-kanak yang lincah dan teguh pada pendiriannya. Disebalik keteguhan sikapnya, dia tetap kanak-kanak comel yang sangat merindui hangat pelukan seorang ibu. Dua scene Mei yang saya tak boleh move on sangat bila tengok ialah waktu dia pertama kali bertemu Totoro dan semasa dia berlari sambil membawa jagung yang hendak diberi pada ibunya. She's so cute!
Semestinya watak Totoro yang paling istimewa dalam cerita ni. Sebenarnya Miyazaki memberi kebebasan buat penonton untuk menginterpretasikan Totoro, sama ada ia adalah penunggu yang menjaga hutan atau hanya sekadar makhluk khayalan Satsuki dan Mei. Yang pasti watak Totoro dalam filem ni seperti pelindung buat Satsuki dan Mei ketika mereka berasa takut dan kesusahan. Kehadiran Totoro seakan-akan menggantikan ketiadaan ibu mereka. Walaupun watak Totoro tidak mampu berkata-kata namun ia memahami bahasa manusia. Watak Totoro juga digambarkan mampu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.
Saya juga suka karakter ibu dan ayah yang ditampilkan Miyazaki dalam filem ni. Watak mereka benar-benar digambarkan sebagai orang dewasa yang mampu dijadikan role-model yang baik buat anak-anak. Kedua-dua karakter mereka mengajarkan dua ilmu parenting yang penting khususnya dalam mendidik anak-anak yang masih kecil;
Ibu bapa tidak seharusnya menyangkal cerita anak-anak walaupun kadangkala ianya kedengaran tak masuk akal atau mungkin ia hanyalah imaginasi mereka kerana hal tersebut akan merosak keindahan zaman kanak-kanak mereka. Bukankah kanak-kanak yang memiliki daya imaginasi tinggi biasanya akan tumbuh menjadi kanak-kanak yang kreatif? Ayah Satsuki dan Mei dalam filem ni digambarkan memiliki karakter seorang pendengar yang baik dan selalu berpandangan positif.
Ibu bapa dan orang dewasa lazimnya menakutkan kanak-kanak dengan sesuatu yang bersifat seram seperti hantu dan makhluk dengan gambaran-gambaran yang menakutkan dari filem dan cerita-cerita misalnya. Kesannya, kanak-kanak yang memiliki daya ingatan yang kuat akan menyimpan gambaran-gambaran tersebut dalam memori mereka dan tumbuh menjadi kanak-kanak yang takut dengan hal-hal tersebut. Dalam filem ni, watak ibu mengajarkan hal yang sebaliknya dengan cara yang sederhana. Saya juga pernah terbaca dalam satu artikel, bukankah lebih molek sekiranya ibu bapa menerapkan perasaan takut kepada Tuhan sejak dari usia kanak-kanak. Ia harus menjadi asas kepada penerapan Tauhid kepada mereka agar terdidik untuk tidak takut kepada selainNya.
Salah satu pengajaran penting yang ingin disampaikan dari filem ni ialah back to nature, kembali kepada alam dan hargailah tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Selain menonjolkan mengapa imajinasi sangat penting dalam perkembangan kanak-kanak, filem ni juga mengajarkan penonton agar menjaga kelestarian alam. Sekiranya kita menjaga alam, alam juga akan menjaga kita. Masyarakat Jepun dahulu kala sangat sinonim dengan kepercayaan animisme yang disebut Shinto. Mereka mempercayai bahawa pohon-pohon, hutan dan tumbuh-tumbuhan mempunyai 'penghuni' yang harus dihormati, maka manusia tidak seharusnya sewenangnya-wenangnya menebang, membakar atau memusnahkan alam. Selain itu, mereka juga mempercayai shinrin-yoku (forest bathing; berjalan di hutan, menikmati alam dan merasakan kesegaran atmosfera hutan) sebagai salah satu terapi dan penyembuhan kepada stress.
Keseluruhannya, cerita ni sangat sesuai ditonton bersama keluarga. Ia menggambarkan sebuah realiti kehidupan sederhana yang diceritakan melalui imaginasi tinggi yang sarat dengan nilai-nilai spiritual. Sebelum mengakhiri review ni, suka untuk saya kongsikan salah satu soundtrack versi Indo dari filem ni. 😊
Comments
Post a Comment