Siri Supernova karya Dee Lestari
Novel-novel dalam siri Supernova ini mengisahkan tentang perjalanan hidup beberapa manusia yang masing-masing ditakdirkan menjadi Peretas; makhluk yang wujud menyerupai HEB (Highly Evolved Being) yang berasal dari suatu dunia yang wujud di dimensi lain. Peranan mereka berkait rapat dalam memastikan keseimbangan dunia nyata, kestabilan fungsi bumi dan kedamaian manusia. Mereka seumpama Avatar yang masing-masing memiliki satu kemampuan khusus.
Diceritakan bahawa di dalam setiap cycle kehidupan, setiap peretas akan menjalani reinkarnasi sehingga setiap kali seorang Peretas mati, ia akan dilahirkan kembali untuk kembali menjalankan tugasnya. Di dalam setiap pencarian jati dirinya sebagai peretas, setiap peretas yang lahir akan lupa sama sekali tentang dirinya sehinggalah ia mampu melaksanakan tugasnya apabila menyedari siapa dirinya yang sesungguhnya. Para peretas didampingi oleh Infiltran, sekelompok entiti bersifat abadi yang wujud dalam bentuk manusia, berperanan sebagai pelindung dan pembimbing para peretas muda untuk mempersiapkan diri menyambut tanggungjawabnya. Selain itu, terdapat sekelompok entiti lain yang berada di pihak antagonis, juga bersifat abadi yang wujud dalam bentuk manusia dengan panggilan Savara, selalu berusaha mengagalkan peretas dalam menemukan jati diri atau menjalankan peranannya.
5 watak peretas dalam novel ini ialah Bodhi (kod nama Akar), Elektra (kod nama Petir), Zarah (kod nama Partikel), Alfa (kod nama Gelombang) dan Gio (kod nama Kabut). Mereka ditakdirkan untuk membangun serta memelihara keutuhan gugus mereka di dimensi lain yang diberi nama Asko.
Buku 1 hingga 5 menceritakan bagaimana perjalanan hidup masing-masing peretas sejak dilahirkan hingga tumbuh dewasa, bagaimana mereka menemukan Infiltran yang menjadi mentor dalam menemukan jati dirinya, bagaimana mereka berkali-kali terjebak oleh Savara yang berselindung disebalik kebaikan, berusaha menjauhkan para peretas dari keberhasilan menjaga gugusnya.
Manakala dalam buku ke-6 menceritakan bagaimana pertemuan para peretas, pertemuan para Infiltran, pertemuan para Savara sekaligus bagaimana mereka saling bertarung dan berinteraksi untuk saling menjaga fungsi dan peranan masing-masing. Para Peretas juga berusaha menyelamatkan gerbang antara dimensi (Portal) demi menyelamatkan gugus Asko agar terhindar dari kehancuran seperti gugus rakan mereka, Kandara (terdiri dari peretas Kesatria, Putri, Bintang Jatuh, Murai dan Feniks) demi terjaganya keseimbangan dan kedamaian dunia antara dimensi.
Perjuangan para peretas penuh liku yang mengugat kehidupan peribadi mereka. Kehilangan indahnya masa muda, kehilangan orang tua, kehilangan cinta, termasuk kehilangan nyawa. Rahsia demi rahsia terungkap sepanjang perjalanan mereka menemukan siapa diri mereka hingga membuat mereka nyaris gila. Pengkhianatan, pertempuran, tipu muslihat dan keegoan mewarnai langkah mereka dalam mencapai misi, membuat segalanya kacau bilau dan semakin sulit.
Dapatkah para peretas menjalankan peranannya dalam mencapai misi menjaga keutuhan gugus mereka serta menyelamatkan keseimbangan antara dimensi dan kedamaian kehidupan dunia? Dapatkah mereka menemukan kembali keluarga dan cinta yang hilang? Dapatkah mereka menyelesaikan apa yang menjadi takdir hidup mereka? Segalanya terjawab dalam siri terakhir.
Beberapa hal yang menarik tentang novel ini;
- Menyedari siri Supernova ini merupakan karya novel pertama Dee Lestari dalam dunia penulisan membuatkan saya kagum kerana biasanya tak ramai penulis yang memulakan karier penulisan bermula dengan novel bersiri.
- Mula diterbitkan di tahun 2001 dan berakhir di tahun 2015, novel ini menuntut pembaca yang setia dan sabar kerana sepanjang buku 1 hingga 5, setiap novel berakhir dengan ending yang agak 'gantung' tanpa sebarang jawapan terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan dalam setiap buku tersebut. Hanya di buku yang terakhir barulah pembaca menemukan klimaks juga jawapan dari persoalan dalam siri sebelumnya
- Jarak buku ke-3 (Petir) dan ke-4 (Partikel) merupakan jarak yang paling jauh iaitu 8 tahun, Menariknya, pembaca dapat merasakan perubahan dan perkembangan gaya penulisan dan penceritaan Dee bermula dari buku yang ke-4 dan seterusnya.
- Lari dari kebiasaan, Dee menggunakan konsep 'keping' dalam pembahagian bab di setiap siri novel ini. Setiap keping ini merupakan nombor yang berterusan bermula dengan Keping 1 bagi bab pertama di buku 1 (KPDBJ) sehinggalah keping 99 untuk bab terakhir dalam buku yang terakhir (IEP). Hal ini seolah-olah penegasan bahawa setiap siri ini sememangnya berkait antara satu sama lain walaupun hakikatnya pembaca seolah-olah tak menemukan kaitan tersebut.
- Untuk buku 1 hingga 5, pembaca boleh mula dengan mana-mana siri namun saya lebih menggalakkan siri ini dibaca mengikut susunan untuk perkembangan cerita yang lebih jelas.
Tema keseluruhan yang dibawa dalam siri Supernova ini berfokus kepada pertanyaan eksistensial tentang asal usul manusia dan realiti multidimensi. Daripada simbol dan penggunaan beberapa perkataan asing yang digunakan pula, ia menjurus kepada Falsafah Buddha dan fahaman New Age.
- wujudnya konsep Samsara (reinkarnasi/kelahiran semula), dhyana dan moksha
- ciri-ciri setiap Peretas sendiri yang digambarkan tak terikat dengan mana-mana dogma agama.
- Penjelajahan spiritual yang dialami oleh setiap karakter dalam siri novel ini juga lebih cenderung bersifat plural
- siri Supernova ini turut mengangkat kepercayaan-kepercayaan mengenai sesuatu hal yang memiliki kekuatan supernatural seperti batu, ritual adat, bukit keramat dan dimensi dunia lain.
Penjelajahan spiritual menurut fahaman New Age ini pernah dibincangkan oleh mufti negara, Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri tahun lepas berkenaan suatu isu melibatkan seminar metamorphosis. Bagi saya ia suatu perbincangan yang menarik, mengajak untuk kita (sebagai umat Islam) lebih berhati-hati dengan sebaran fahaman gerakan Zaman Baru agar terhindar menjadi kelompok yang mudah terikut dengan amalan kerohanian bersifat trans-agama hingga menghilangkan identiti dan pemahaman Islam.
Menyedari ini hanyalah sebuah cerita fiksi maka seperti kata Dee, "tidak usahlah terlalu dianggap serius." Cerita fiksi hanyalah suatu rekaan dan penulis wajar saja menciptakan semesta mereka sendiri tanpa perlu 'membahagiakan' semua pembaca.
"Kerana akhirnya menulis adalah perjalanan yang sangat peribadi."
p.s: Salah seorang pembaca blog saya (Kak Zilla Adzillah) pernah suggest saya untuk baca buku ni dulu. Kalau Kak Zilla baca entry ini, Thank you akak sebab recommend! Best! :)
hy kak ary salam kenal, saya lina dari indonesia, sebab baca review akak di blog saya jadi lebih semangat baca buku ehe. saya pun follow your ig kak. keep motivating your followers kak :)
ReplyDeleteHai Nur Mazlina, salam kenal juga.
DeleteMakasih ya :)
Keep reading!