The Aunt Who Wouldn't Die.
Shirshendu Mukhopadhyay antara nama yang cukup terkenal dalam dunia sastera Bengali. Beliau telah memulakan karya sebagai penulis melalui sebuah majalah terkenal sejak 1959 dan memenangi beberapa anugerah literasi dalam penulisan novel serta sastera kanak-kanak. Novel ini merupakan karya beliau yang terbit tahun 1993 bertajuk Goynar Baksho (The Jewellery Box), diterjemahkan kepada bahasa Inggeris oleh Aruna Vasinha.
The Aunt Who Wouldn't Die
Berlatarkan era pasca-merdeka, Somlata yang lahir dari keluarga kasta rendah dinikahkan sewaktu berusia 18 tahun dengan anak lelaki keluarga Mitra, Chakor Mitra yang berusia 32 tahun. Keluarga Mitra merupakan keluarga tuan tanah yang sangat terkenal dengan harta kekayaan melimpah-ruah. Kekayaan menyebabkan kesemua keluarga Mitra larut dalam kemewahan hingga terbiasa dengan sikap malas dan menolak konsep bekerja serta berusaha.
Sebagai menantu dan ahli baru dalam keluarga Mitra, Somlata tinggal sebumbung di rumah besar keluarga mereka bersama kesemua adik-beradik dan saudara terdekat suaminya yang juga tinggal di sana. Suatu hari, Pishima, kakak kepada bapa mertuanya, seorang janda yang sering berperangai dingin dalam keluarga tersebut meninggal dunia. Selepas menunaikan permintaan hantu Pishima yang memintanya menyembunyikan peti perhiasan berisi emas, Somlata sering diganggu oleh kehadiran hantu mak ciknya itu dan hanya yang dia yang boleh melihatnya.
Antara hal yang menarik tentang novel ini;
- Novel ini bukanlah kisah hantu yang menyeramkan, sebaliknya ia sebuah novel kekeluargaan dengan unsur humor yang meraikan semangat dan ketabahan para wanita melalui tiga watak utama dari tiga generasi berbeza.
- Pishima - wanita yang lahir ketika budaya patriarki sangat kental dalam masyarakat. Dia dinikahkah sewaktu berusia 7 tahun dan menjadi janda ketika berusia 12 tahun. Nasib hidupnya yang terpaksa akur dengan adat sebagai seorang janda menyebabkan dia menyimpan rasa amarah terhadap keluarga Mitra.
- Somlata - wanita dari era patriarki selepas Pishmina. Seorang wanita tabah yang sangat menjunjung budaya patriarki. Walaupun lahir dari keluarga miskin, dia seorang wanita bijak yang berpandangan jauh.
- Boshon - wanita yang lahir di zaman moden di mana wanita sudah mula bebas dari budaya patriarki yang terlalu ketat. Seorang wanita yang sukakan kebebasan, tak mempercayai cinta dan pernikahan.
- Penulis membawakan suatu tradisi Hindu konservatif yang menyedihkan perlu dijalani oleh para wanita berstatus janda di India melalui watak Pishima. Apabila seorang wanita kematian suami, dia perlu diasingkan dari acara keluarga, hanya dibenarkan memakai sari berwarna putih, berdosa apabila makan makanan kesukaan, tidak dibenarkan keluar menunjukkan diri di khalayak ramai dan segala bentuk kenikmatan duniawi adalah dilarang. Pishima yang kematian suami sejak berusia 12 tahun terpaksa menempuh kehidupan ini walaupun dia mengimpikan kebebasan seperti anak muda lain. Segala perhiasan emas hadiah (dowry) ketika perkahwinannya hanya mampu disimpan di dalam peti tanpa pernah dipakai. Menyedari segala perhiasan emas tersebut bakal direbutkan oleh keluarga Mitra yang tamak ditambah dengan rasa amarah yang tersimpan di dalam hati terhadap nasib hidupnya menyebabkan rohnya kembali berkeliaran di sekitar rumah dan menganggu hidup Somlata, menantu keluarga Mitra yang selalu berusaha menjadi isteri yang terbaik.
- Saya kagum bagaimana penulis mendeskripsikan sifat, karakter dan perasaan ketiga-tiga watak wanita ini dengan sangat detail sedangkan dia seorang lelaki. Novel ini terbahagi kepada empat bahagian di mana ia lebih berfokus kepada sudut pandang Somlata dan Boshon secara silih berganti. Menariknya, pembaca hanya mengetahui hubungan sebenar kedua-dua watak dari dua generasi berbeza ini di akhir bahagian ketiga. Saya benar-benar tak menjangkakannya.
- Dari ketiga-tiga karakter, Somlata adalah watak kesukaan saya. Dia adalah lambang wanita kuat di era patriarki yang sangat menginspirasi. Melalui wataknya, pembaca akan memahami pesan nasihat, 'pernikahan memerlukan kesabaran.'
1. Somlata dinikahkah tanpa pernah mengenali suaminya. Chakor Mitra (Fuchu) seorang lelaki yang pemalas, pemarah dan terlalu dimanjakan oleh ibu bapanya. Namun berkat kesabaran dan kebijaksanaan Somlata sebagai seorang isteri, dia berjaya mengubah suaminya menjadi lelaki yang bertanggungjawab dan lebih percaya diri. Saya suka bagaimana penulis menggambarkan kebijaksanaan Somlata dalam menangani suaminya melalui dialog perbualan juga narasi penceritaan.
2. Somlata dikurniakan ibu mertua yang baik, selalu menjadi tempat rujukan untuk nasihat perkahwinan. Malangnya kesemua adik-beradik serta makcik dan pakcik suaminya sangat toxic, tamak dan selalu memandang rendah terhadap dirinya. Kesabaran Somlata turut diuji oleh kemunculan hantu Pishima yang sering menggodanya agar tidak menjadi isteri yang baik. Namun Somlata tak pernah mengendahkan kata-kata mereka dan dia selalu merendahkan egonya untuk tidak menimbulkan persengketaan antara suami dan ahli keluarganya.
- Saya suka bagaimana buku ini menggambarkan apabila sepasang suami isteri berkahwin, mereka tak hanya berkahwin dengan pasangan mereka sahaja tetapi perlu menerima baik buruk keluarga pasangan mereka sekali. Ditambah pula apabila pasangan terpaksa tinggal bersama dengan ahli keluarga yang lain, ia mengundang lebih banyak drama dan konflik yang menguji kesabaran. Namun buku ini turut memperlihatkan sisi positif bagaimana semangat kebersamaan keluarga mampu menjadi jalan keluar kepada masalah dan konflik yang lebih besar. In the end, family is all that matters.
- Penulis turut menyentuh berkaitan female sexual desire yang sering dianggap tabu untuk dibicarakan. Namun kreativiti penulis terlihat melalui cara beliau menyembunyikan hal-hal bersifat erotik dengan masih meletakkan nilai ketatasusilaan sebagai sempadan. Hal ini berbeza dengan karya-karya moden yang cenderung lebih straightforward.
- Ada banyak pesan dan nasihat berkaitan dunia pernikahan dalam buku ini. Salah satu yang menjadi kunci kekuatan hubungan Somlata dan suaminya hingga ke akhirnya ialah hormat.
Somlata menunjukkan sikap hormat walaupun ketika suaminya belum menjadi lelaki yang boleh diharap dan lebih bertanggungjawab. Hal tersebut mendidik suaminya untuk kembali menunjukkan sikap hormat dan menghargai isterinya.
- Novel ini merupakan buku kedua terjemahan Mr. Aruna Vasinha yang saya baca. Beliau merupakan salah seorang pensyarah di Universiti Ashoka, India. Buku pertama yang saya baca ialah An Educated Women in Prostitution, sebuah memoir dari penulis Bengali. Saya selalu mengikuti perkongsian beliau untuk mengetahui lebih banyak karya dari penulis Bengali. Menterjemah karya-karya klasik semestinya bukan hal yang mudah kerana penterjemah perlu mahir memilih perkataan yang sesuai tanpa mengubah makna asal dan budaya yang dibawa dalam cerita. Oleh itu, saya sangat menghargai jasa para penterjemah kerana tanpa usaha mereka, buku-buku ini mungkin dilupakan dan tak mampu menarik lebih ramai pembaca.
Keseluruhannya novel ini cukup menarik dan menghiburkan. Saya berasa seperti menonton opera sabun bertemakan dunia perkahwinan dan kekeluargaan, penuh dengan mesej dan nilai. Ia mengajarkan saya untuk menghargai para wanita era patriarki. Walaupun mereka tak melawan dan suara mereka tak selantang wanita masa kini, mereka terdidik menjadi tabah dan kuat disebabkan cabaran budaya, adat dan persekitaran. Novel ini telah pun diadaptasi menjadi filem komedi horror Bengali dengan tajuk asal, Goynar Baksho (2013).
salam kak mana nak dapat buku ni?
ReplyDelete1) https://books.google.com.my/books?id=cVyGDwAAQBAJ
Delete2) https://www.amazon.com/Aunt-Who-Wouldnt-Die-Novel-ebook/dp/B081ZK5JDC/ref=tmm_kin_swatch_0?_encoding=UTF8&qid=&sr=