The Professor.
Faisal Tehrani antara nama yang tak asing lagi dalam dunia penulisan di Malaysia kerana karya-karyanya yang sering mengangkat isu sensitif dan mengundang kontroversi sehingga sebahagiannya telah diharamkan. Namun begitu, dia juga merupakan penulis yang cukup berbakat di mana sebahagian karyanya pernah memenangi pelbagai anugerah dan hadiah sastera sehingga pernah dianugerahkan Anugerah Seni Negara, salah satu anugerah berprestij di peringkat kebangsaan pada tahun 2006. Novel The Professor ini merupakan versi terjemahan Bahasa Inggeris dari karya asal, Profesor yang terbit tahun 2017 oleh penerbit FIXI.
"Tentu ada perbezaan antara sukma terjajah dan sukma merdeka." |
The Professor
Suliza, seorang wanita Melayu yang bergelut dengan seksualitinya sejak belajar di sebuah sekolah agama di Kelantan. Selepas suatu kejadian tragis, Suliza melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan pendedahan di sana mengubah dirinya menjadi seorang aktivis hak asasi manusia. Sekembalinya ke Malaysia, Suliza sering menjadi sasaran kumpulan konservatif kerana aktivisme dan seksualitinya sebagai seorang profesor lesbian. Perkenalannya dengan Hashimah, seorang pekerja pembersihan yang sering didera oleh suaminya, membuatkan nyawa Suliza semakin terancam kerana suami Hashimah ternyata seorang pengganas yang berbahaya dan dikehendaki. Apabila terjadi suatu insiden yang membuatkan suami Hashimah ditangkap, puak pelampau agama mempersalahkan Suliza hingga menyebabkan dia dibunuh dengan kejam.
Hal yang sangat menarik tentang novel ini;
- Jika dibandingkan dengan beberapa karya FT yang saya pernah baca sebelum ini, The Professor antara novelnya yang agak berat dan 'dewasa'. Novel ini menggabungkan fiksyen dan non-fiksyen di mana pembaca dibawa menyelusuri kehidupan Suliza dan hubungannya bersama tiga kekasih wanita; Wan Ros, Hashimah dan Dalila serta perjalanan Suliza dalam memperoleh pencerahan intelektual melalui perbualan dan dialog-dialog akademik yang menyentuh pelbagai isu dan topik. Disinilah serangkaian fakta-fakta ilmiah dibincangkan dan diperdebatkan antaranya isu seksisme, feminisme, LGBT dan diskriminasi terhadap golongan dengan perlakuan minoriti, isu melibatkan golongan wahabi, ancaman puak ekstremis (ISIS) dan hak asasi manusia (UHDR 1948) yang menjadi tema utama novel ini. Perbahasan isu-isu berat yang dibawakan sangat menarik dan mampu memberikan satu kepuasan buat pembaca yang menyukai hal-hal berbentuk fakta dan ilmiah.
ms. 230 |
ms.18-19 |
- Bagi saya novel ini ialah novel feminisme yang lahir dari seorang penulis lelaki. Seperti novel-novel feminisme dari penulis-penulis wanita yang saya baca sebelum ini, novel ini menghadirkan watak-watak wanita (Melayu) yang percaya diri, berkeyakinan dan memiliki pendirian teguh terhadap prinsip yang dipegang khususnya melalui watak Suliza, Wan Ros dan Dalila. Walaupun mereka bukanlah wanita (Islam) sempurna yang layak dicontohi, saya menemukan sisi manusiawi dari ketaksempurnaan mereka yang mendidik saya untuk tak mudah menghakimi.
ms.77 |
- Ini pertama kali saya membaca novel yang menggabungkan tiga sudut pandang penceritaan dan ianya suatu bentuk penulisan yang cukup kreatif. Di bahagian prolog, sudut pandang pertama digunakan bagi mewakili monolog Dalila. Sudut pandang ketiga digunakan sepanjang penceritaan tentang Suliza dan kisah hidup watak-watak wanita yang dihadirkan. Manakala sudut pandang kedua diselitkan di beberapa bab dan bahagian seolah-olah mengajak pembaca berkomunikasi dan menjadi sebahagian dari cerita.
- Plot novel ini tak disusun secara kronologi hinggakan beberapa ulasan buku menyatakan bahawa membaca novel ini agak membingungkan. Pengalaman membaca novel Pedro Paramo bulan lepas yang juga menggunakan plot tanpa kronologi telah melatih kesabaran saya dalam pembacaan dan bagi saya novel ini lebih mudah difahami penceritaannya berbanding novel tersebut.
ms.170-171 |
- Saya suka perbincangan mengenai hak asasi manusia dalam novel ini. FT memberikan hujah-hujah yang bernas bagi mematahkan pandangan dan dogma yang menganggap hak asasi manusia sekadar agenda liberal dan idea yang lahir dari masyarakat Barat. Salah satunya dengan bersumberkan kajian dari kitab-kitab Melayu lama, hikayat dan ajakan untuk mengkaji lebih mendalam terhadap pantun dan peribahasa. Relevannya, kajian terhadap karya sastera sebegini mampu mencerminkan pemikiran dan budaya masyarakat lampau kerana ia telah dimiliki dan diwarisi dari generasi ke generasi.
- FT turut menyentuh tentang tradisi dan kepercayaan kaum Bugis kuno di Sulawesi Selatan yang mana mereka mempercayai bahawa terdapat lima gender dalam kehidupan sosial;
- Perempuan (makunrai)
- Lelaki (uroane)
- Perempuan berpenampilan lelaki (calalai)
- Lelaki berpenampilan perempuan (calabai)
- Bissu - golongan yang mengambil peranan gender bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Mereka dilihat sebagai separuh manusia dan separuh dewa yang bertindak sebagai penghubung bagi kedua-dua dunia.
Pertama kali saya mengetahui fakta ini melalui seorang penulis Indonesia, Faisal Oddang yang ada mengangkat kepercayaan unik berkenaan golongan Bissu dalam novelnya bertajuk Tiba Sebelum Berangkat. Golongan unik ini semakin punah disebabkan arus globalisasi dan faktor penolakan dari agama-agama konvensional di Indonesia. Disinilah persoalan tentang hak asasi manusia menarik untuk dibahaskan. Wajarkah golongan seperti mereka ini dibenci dan dipulaukan kerana bertentangan dari pegangan dan kepercayaan agama?
ms. 161 |
- Novel ini membuatkan saya sedar tentang kepentingan membudayakan dialog dan perbincangan. Diskusi dan perbincangan bukan ruang pertelingkahan tetapi peluang untuk membina kesefahaman. Seperti yang sering disebut FT dalam bual bicara, artikel, perkongsian dan salah satu episod novel grafik @Fatah&Farah; "tidak ada siapa yang akan menang dalam dialog kerana tujuan berdialog untuk saling mengerti."
Keseluruhannya, saya sangat menikmati pengalaman membaca novel ini walaupun agak terlambat mengikuti penerbitan pertama karya asalnya di tahun 2017. Ini kali pertama saya membaca karya FT dalam versi terjemahan bahasa Inggeris. Ada kesempatan kelak saya perlu membaca ulang buku ini versi bahasa Melayu pula kerana salah satu kelebihan FT dalam dunia kepengarangan terletak pada keindahannya berbahasa menyampaikan cerita-cerita unik yang 'sedap' dibaca.
Bahasa FT dalam novel BMnya tetap 👍🏽
ReplyDelete