Baju kurung


"Adapun pacal namakan baju kurung kerana pertama, busana ini dikurung oleh syarak. Pakaian Melayu itu haruslah dikurung ketentuan syariat. Maka memang pacal rekakan pakaian ini supaya labuh, longgar, selesa dan tidak mengetam.".

"Adapun kurung itu dikurung oleh adat. Manusia Melayu itu apabila mengenakan baju kurung, segera dia tahu membawa diri, menyesuaikan dengan tempat, tahu pula alat kelengkapan yang harus dipakai sama, tahu cara memakainya, dan wajib pula tahu apa makna dan tujuan mengenakannya."

"Pacal mengimpikan sejenis busana yang apabila dikenakan di badan si pemakainya terkurung dan terhindar sifat angkuh dan sombong. Oleh baju kurung itu sekali-kali si pemakainya tidak bercakap bohong dan apabila sudah berbaju kurung peliharalah iman supaya tidak terpesong."
- Manikam Kalbu, karya Faisal Tehrani.


 


_____
Baju kurung (Jawi: ‏باجو کوروڠ‎‎) ialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu.  Baju ini sesuai dipakai oleh semua golongan masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung biasanya digunakan untuk menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di Malaysia, secara amnya seluruh wanita melayu memakai baju kurung sebagai pakaian tradisi ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah. Cuma reka bentuk dan potongan baju kurung agak berbeza-beza mengikut negeri. Kini terdapat pelbagai variasi baju kurung dan ia dikenali sebagai Baju Kurung Moden. Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan perubahan masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan keunggulan budaya Melayu.

Comments