The Lunchbox (2013)


Kata Almarhum Pak Budi Darma dalam satu wawancara beliau yang saya tonton di Youtube, karya sastera yang baik ialah karya yang usai kita selesai membacanya, ceritanya meninggalkan gema (sustaining) di kepala kita. Karya sastera yang baik akan bergema terus-menerus dan gema itulah yang kemudiannya menjadikan kita semakin dewasa dalam berfikir. Itulah yang saya alami usai menonton filem The Lunchbox (2013) beberapa hari lepas. Filem ini berjaya membuat saya berfikir dan teringat-ingat sehingga hari ini.



Sebelum kemunculan Grabfood dan FoodPanda yang menawarkan servis penghantaran makanan melalui aplikasi telefon pintar, ternyata di kota Mumbai, India telah lebih dahulu memiliki suatu rangkaian servis seperti ini sejak ratusan tahun lalu yang dipanggil dabbawala. Uniknya, sistem ini bukan menghantar makanan dari kedai makan mahupun restoran sebaliknya mereka menghantar makanan yang dimasak oleh para isteri kepada suami mereka di tempat kerja. Sistem unik yang efisien ini telah menarik perhatian ramai pihak dan dijadikan kajian di universiti-universiti terkenal di seluruh dunia termasuklah Universiti Harvard. Awalnya Ritesh Batra ingin membuat sebuah dokumentari tentang kehebatan para dabbawala (penghantar bekal makanan) ini pada tahun 2007. Namun beliau ternyata menemukan banyak cerita personal yang menarik dari para pengguna servis dabbawala ini. Inspirasi dari cerita-cerita mereka, Batra akhirnya hadir dengan sebuah filem romantis bertajuk The Lunchbox dengan menggunakan dabbawala sebagai unsur penggerak cerita.



The Lunchbox (2013)


Dengan hanya berpandukan resepi-resepi yang dikongsi Auntie, jiran yang tinggal di rumah atas flat mereka, Ila cuba menyiapkan pelbagai menu makanan tengahari yang istimewa untuk suaminya demi menghidupkan kembali kehidupan pernikahannya yang hambar. Lauk-pauk yang dimasak dimasukkan ke dalam mangkuk tingkat kemudian dihantar melalui khidmat dabbawala. Suatu hari ditakdirkan mangkuk tingkat tersalah hantar. Mangkuk tingkat yang seharusnya dihantar kepada suaminya sebaliknya sampai ke tempat seorang akauntan bernama Saajan Fernandes. Saajan seorang lelaki berusia yang sudah lama hidup sendiri selepas isterinya meninggal dunia. Setiap hari dia memesan makanan di sebuah katering yang dihantar menggunakan khidmat dabbawala. Usai menerima mangkuk tingkat berisi makanan yang lebih enak dari hari-hari sebelumnya, bermulalah episod komunikasi antara Ila dan Saajan melalui surat-surat yang diselitkan ke dalam mangkuk tingkat. Hari demi hari komunikasi mereka lama-kelamaan menimbulkan perasaan senang di hati masing-masing. Perkenalan mereka saling mengisi kesepian yang dirasakan. Ila yang kurang mendapatkan perhatian dan kehangatan dari seorang suami sementara Saajan yang sudah lama hidup sendiri dan menjadi lelaki yang tertutup. Bagi Saajan, surat-surat Ila merubah dirinya yang pada mulanya seorang yang dingin dan tak pernah peduli dengan hal sekelilingnya lama-kelamaan menjadi seorang yang lebih ramah dan lebih sering tersenyum.





Hal-hal yang saya suka tentang filem ini;


1. Filem yang bagus tak semestinya perlu mewah. Seperti filem Wong Kar Wai dengan suasana pasar yang hingar bingar, filem Yasmin Ahmad dengan babak makan di restoran dan duduk menunggu di stesen bas, filem ini juga banyak menampilkan kesederhanaan dengan membawa penonton melihat dan merasai suasana kota Mumbai yang tidak estetik dan penuh kesibukan. Berbeza dari filem-filem Hindustan tipikal yang seringkali berwarna-warni dan diselitkan dengan babak dendangan lagu-lagu nyanyian para pelakonnya, filem ini tidak menawarkan semua itu. Namun, ia tidak menghalang penonton untuk merasai perasaan romantis yang dibangun dari chemistry unik antara watak Ila dan Saajan.


2. Entah kenapa, saya suka  lakonan Irrfan Khan dalam filem ini. Aura ketenangan karakternya sebagai Saajan Fernandes benar-benar ‘hidup.’ Walaupun wataknya jauh lebih tua berbanding Ila, saya tetap merasakan babak debaran menanti surat-surat Ila yang terselit dalam mangkuk tingkat babak yang menarik. Setiap kali Saajan mendapatkan mangkuk tingkat makan tengahari dan mula mencari surat Ila, saya turut dibuat berdebar-debar melihatnya, menantikan sambil berharap cemas adakah ada surat Ila di dalamnya. Kalau ada apa isinya? Babak-babak ini memunculkan memori tentang bagaimana berdebarnya menunggu kata-kata dari seseorang yang saya sukai.


3. Selain dua watak utama filem ini, saya cukup tertarik dengan watak Auntie yang dari awal hingga akhir filem ini, penonton hanya mendengar suaranya saja namun dia tetap memiliki backstory yang cukup mendalam. Sementara karakter Shaikh memberi unsur humor yang sempat buat saya gelak. Siapa sangka beg harian yang dibawa ke tempat kerja hanya berisi sayuran dan bawang, persediaan memasak makanan untuk makan bersama Meherunnissa. 😂 Karakternya agak melawan budaya masyarakat yang dibawa dalam filem ini apabila dia mahu menjadi si suami yang memasak untuk isterinya. 

4. Isi komunikasi dari surat-surat Ila dan Saajan menjadi alasan filem ini terasa manis, hangat dan romantis tanpa ada sedikit pun kata 'gombal' yang melebih-lebih. Sebaliknya. mereka hanya menyelitkan kisah berbentuk retrospeksi tentang kehidupan masing-masing berisi pesan dan nasihat tentang kehidupan yang berguna untuk difikirkan. 



Ritesh Batra mengakhiri filem ini dengan sesuatu yang tak cliché, membumi dan realistik. Itulah satu kekuatan filem ini. Sememangnya ada banyak kemungkinan-kemungkinan  ending yang  sesuai dan dapat memuaskan hati penonton namun saya tetap suka dengan ending pilihan Batra tanpa perlu memikirkan kemungkinan-kemungkinan ending yang lain. Kereta api yang salah kadangkala memang boleh membawa kita ke stesen yang benar.  Namun stesen yang benar itu tak semestinya dalam wujud seseorang atau sesiapa. Boleh jadi ia hanyalah diri kita sendiri dalam versi yang lebih baik dari sebelumnya. 





Comments