The Invention of Morel

Jujur, saya kadang rasa tak yakin setiap kali nak membaca buku-buku sastera klasik dunia. Tak yakin ceritanya menarik, risau bahasanya terlalu tinggi dan 'deep' untuk saya fahami. Namun berkenal-kenalan dengan karya-karya Lispector dan membaca beberapa novel Gabriel Garcia Marquez tahun lepas buat saya lebih berani  mengeksplor genre ini. If you never try, you'll never know. Banyak hal yang dibawa dalam karya-karya klasik ini sebenarnya masih kekal relevan untuk direnungkan sehingga hari ini. Saya kagum setiap kali menemukan hal-hal yang hangat diperkatakan hari ini sebenarnya sudah lama disentuh dalam karya-karya lalu. Itu bagi saya sesuatu yang cukup bernilai untuk sebuah karya fiksyen. Menawarkan sesuatu yang akan kekal evergreen. 

Sebab buku-buku lama selalu memiliki keanehan yang tersendiri.


Memilih The Invention of Morel sebagai salah satu bacaan bulan Ogos lepas adalah pilihan yang terbaik. Tanpa tahu sebarang 'spoiler' dan membaca sinopsis buku ini membuatkan pengalaman saya sepanjang membacanya lebih menarik, penuh pertanyaan dan kejutan. 


Beberapa fakta menarik tentang novel ini dan penulisnya;

  • Adolfo Bioy Casares seorang novelis dan cerpenis Argentina yang terkenal sebagai rakan lama dan kolaborator Jorge Luis Borges, juga penulis Argentina yang membawa sastera Amerika Latin kepada khalayak global.
  • Buku ini turut dibuka dengan prakata oleh Borges dan wanita yang menghiasi muka hadapan buku ini juga merupakan kakaknya (Norah Borges, seorang pelukis dan pengkritik seni).
  • dikenali sebagai penulis yang memperkenalkan genre fiksyen sains ke dalam landskap sastera Argentina.
  • diterbitkan tahun 1940 ketika beliau berusia 26 tahun, novel ini merupakan karya ketujuhnya yang telah mengangkat namanya sebagai penulis sastera dan dianugerahkan Argentinian Municipal Prize pada tahun 1941
  • menjadi salah satu karya klasik sastera yang paling banyak dibaca dalam sejarah Argentina
  • ramai pengkritik filem mengaitkan filem Last Year at Marienbad (1961) dengan novel ini namun dinafikan oleh penulis skripnya. 


The Invention of Morel

Diceritakan dalam bentuk tulisan diari, novel ini berpusat pada si narator yang tak dinyatakan namanya. Dia merupakan seorang pelarian yang bersembunyi di sebuah pulau terpencil dan tidak berpenghuni bagi mengelak pihak berkuasa atas jenayah berat yang dilakukannya. Dikatakan pulau tersebut menjadi 'rumah' kepada suatu penyakit misteri yang boleh menyerang tubuh manusia dan membawa maut. Namun pelarian tersebut berani mengambil risiko untuk bersembunyi di sana daripada ditemui oleh pihak berkuasa.

Di pulau tersebut hanya terdapat sebuah bangunan muzium, sebuah gereja dan kolam renang yang dibina oleh penduduk terdahulu. Pelarian tersebut telah berada di pulau tersebut selama beberapa bulan dan biasanya berlindung di muzium. Suatu hari ketenteramannya terganggu oleh orang ramai secara tiba-tiba, seolah-olah mereka datang entah dari mana. 

"And yet suddenly, unaccountably, on this oppressive summerlike night, the grassy hillside has become crowded with people who dance, stroll up and down, and swim in the pool, as if this were a summer resort like Los Teques or Marienbad." - ms. 10-11


Bimbang akan keselamatannya, pelarian tersebut kemudian berpindah ke kawasan pulau yang paling kurang boleh didiami agar dia boleh memerhati orang-orang asing ini dari jarak yang sesuai. Ternyata, penceroboh ini menghabiskan banyak masa mereka menari dengan dua rekod (lagu) yang sama yang dimainkan pada fonograf, tanpa mengira cuaca. Kedatangan orang-orang ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam fikiran si narator (juga pembaca). Adakah ia hanya halusinasi aneh si narator akibat terdedah kepada haba yang melampau atau mungkin kesan selepas memakan tumbuhan beracun? Adakah itu semua helah pihak berkuasa untuk membuat si narator tunduk? Atau adakah orang-orang ini hantu yang tidak lagi hidup tetapi kembali dari kematian?


"She was there and her presence began to take the quality of miracle." - ms. 40
Tak menemukan jawapan pada persoalan-persoalan yang timbul, pelarian tersebut sebaliknya terpesona dan jatuh cinta pada seorang wanita cantik dalam kalangan mereka. Wanita tersebut bernama Faustine yang sering duduk di atas batu sambil memerhatikan matahari terbenam setiap hari. Faustine menumbuhkan harapan buatnya untuk terus hidup yang sebelumnya tiada. Anehnya, setiap kali pelarian tersebut cuba mendekati dan bercakap dengannya, Faustine selalu mengabaikan kehadirannya seolah-olah dia tidak melihat pelarian tersebut. Tak lama kemudian muncullah watak seorang lelaki yang selalu berbual dengan Faustine dan dianggap saingan oleh pelarian tersebut, Morel yang namanya dijadikan tajuk pada novel ini. 


Apa sebenarnya 'ciptaan' Morel dalam novel ini? 


*Spoiler alert* 


Morel sebenarnya seorang saintis dan dialah yang mengetuai kehadiran orang ramai di pulau tersebut. Selama seminggu, Morel telah merakam kesemua tindakan mereka dan menariknya, bukan hanya merakam audio dan visual, tetapi kesemua lima deria. Apa yang disaksikan oleh pelarian tersebut sebenarnya hanyalah imej tayangan semula tanpa kesudahan minggu tersebut, yang mana imej-imej ini mengekalkan kesemua orang-orang tersebut di pulau itu dalam bentuk keabadian yang kelihatan seperti manusia sebenar. 


Hal yang menarik tentang novel ini;
  • Dari awal pembacaan saya tertanya-tanya di mana sisi sci-fi novel ini kerana anggapan saya novel sci-fi selalunya akan ada teknologi canggih seperti robot atau mesin dengan latar penceritaan yang serba moden.  Hanya selepas membaca separuh dari novel ini barulah saya menemukan sisi sci-fi yang tak sekadar sci-fi, ada sisi intelektual yang mengabungkan sains dan seni pada idea ciptaan Morel dalam novel ini. Bagi saya ianya sangat inovatif melebihi teknologi realiti maya seperti  Augmented Reality (AR) yang digunakan pada hari ini. 
  • Hanya setebal 100 halaman, novel ini berjaya mengeksplor tema berkaitan pengasingan, apa yang membentuk keabadian (immortality), apakah hak yang harus dimiliki oleh saintis ke atas manusia, juga tentang kuasa cinta. Ini mengubah pandangan saya untuk tidak memandangkan rendah pada sebuah karya pendek. Penulis yang baik memiliki kemahiran dan kreativiti dalam menggarap sebuah cerita yang bagus walaupun dalam sebuah karya yang pendek. 
  • Casares sebenarnya meletakkan banyak petunjuk tersembunyi dari awal penceritaan yang mungkin agak membingungkan sekiranya dibaca pertama kali namun masuk akal apabila dilihat semula usai mengetahui twist dalam novel ini. Antara yang menarik bagi saya ;
"I went to gather the flowers, which are most abundant down in the ravines. I picked the ones that were least ugly. (Even the palest flowers have an almost animal vitality!) When I had picked all I could carry and started to arrange them, I saw that they were dead."

 Apa yang mulanya kelihatan seperti petunjuk kepada sekadar khayalan dan tak masuk akal bagi pelarian tersebut menjadi relevan buat pemahaman baru pembaca di akhir cerita.

  • Cinta boleh dikatakan menjadi tema besar novel ini. Alasan Morel menciptakan ciptaannya bukan sekadar untuk merakam kenangan indah, dia mahu merakam esensi (sentuhan, aroma tubuh), keinginan dan pemikiran setiap mereka dengan itu mereka akan kekal abadi dalam memori indah yang mereka sendiri akan lupa. Ianya sebagai lambang cinta buat seseorang yang dijemput hadir ke pulau tersebut, yang walaupun tak dinyatakan, si narator dan kita sebagai pembaca percaya ianya untuk Faustine. Bagi si narator sendiri, usai menyedari Faustine yang dicintainya hanyalah sebuah imej, dia sanggup mempelajari mesin tersebut agar dia dapat hadir dalam dunia maya ciptaan Morel dan hidup abadi bersama imej Faustine. Lalu menuliskan segalanya dalam bentuk diari sebagai versi keabadian dirinya sendiri. Ia membuatkan novel ini agak tragik dan indah bagi saya. 


Novel ini memang selayaknya menjadi sebuah karya yang cukup menarik untuk dibaca. Ia menimbulkan persoalan dan refleksi peribadi buat saya sebagai pembaca khususnya tentang makna hidup dan erti keabadian. Saya menutup reviu ini dengan membayangkan di suatu semesta lain, si narator hidup bahagia bersama Faustine yang dicintainya sambil dilatari lagu A Summer Place

Comments