Anwar dan Penjara Seni.


Zura Anwar kawan saya. Kami kenal pertama kali tahun 1999 di SK. Tanjung Aru 2, sekelas. Zura yang saya kenal waktu tu seorang yang sangat pemalu dan tak pernah nak ke tandas seorang diri. Mesti ada kawan yang kena teman. Sebab tu macam tak percaya bila Zura Anwar dah jadi penulis novel horror thriller sekarang. Ingatan saya tentang dia masih lagi Siti Syazurah yang saya pernah teman ke tandas dulu. Walaupun saya taklah rapat sangat dengan dia tapi ada sesuatu yang menarik saya mahu kongsikan bukan tentang Zura tapi bapa dia, Anwar.

Bagi sesiapa yang pernah bersekolah di SK. Tanjung Aru 2 sekitar tahun 2000 mesti perasan ada seorang pak cik yang selalu menunggu di kantin sekolah setiap kali waktu rehat sehingga pulang sekolah. Pak cik yang selalu tersenyum dengan bekal makanan berwarna-warni, selalu pakai topi dia yang unik dan yang paling saya tak boleh lupa, muka pak cik tu macam M. Nasir, rambut pun hampir sama. Itulah bapa Siti Syazurah. Hampir semua murid dan guru-guru kenal sebab bapa dia ni setiap hari datang sekolah. Boleh dikatakan Zura ni jarang beli makanan di kantin sebab dia hanya akan makan makanan yang bapa dia bawa jak.

Dulu saya pernah terfikir juga, bapa dia tidak kerja ka sampai setiap hari boleh menunggu di kantin. Kalau zaman sekarang ni jumpa ibu bapa murid yang sekadar duduk-duduk tak buat apa sangat anggapan kita mungkin ibu bapa dia bekerja sendiri, content creator ataupun mungkin influencer di media sosial. Tapi untuk era milenium dulu, benda tu ‘rare.’ Saya tak pernah tanya Zura sendiri atau ambil tahu sangat pun. Sangkaan saya waktu tu keluarga Zura ni mungkin keluarga berada sebab tu bapa dia tak perlu kerja pun. Biasa la kan, fikiran budak-budak. Ditambah pula kalau tengok bekal makanan yang bapa dia bawa setiap hari, semua bekal makanan yang sihat lengkap dengan buah-buahan. Bapa dia baik sangat, selalu ajak kawan-kawan Zura sekali makan makanan yang dia bawa.

Naik sekolah menengah di SM. Stella Maris pun saya sempat satu sekolah dengan Zura tapi kami tak sama kelas. Setiap kali bertembung di koridor sekadar senyum dan bertegur sapa. Waktu Tingkatan 1 kalau tak silap, sekitar 2005, zaman channel MTV masih trending di Astro, ada satu rancangan di mana pengacara MTV, VJ Denise Keller akan baca kad-kad yang dikirim oleh penonton. Rancangan tu popular sangat waktu tu dan saya dapat tahu keluarga Zura ada hantar kad berbentuk lukisan dan ada dibaca oleh VJ Denise. Zura kata bapa dia lukis gambar Denise Keller dengan sedikit ucapan. Itulah pertama kali saya tahu yang bapa Zura ni ternyata pandai melukis. Tak lama lepas tu Zura pindah sekolah dan kami pun lost contact.

Kami reunion secara maya waktu saya belajar di IPG melalui group alumni sekolah di FB. Melalui FB saya dapatlah tahu serba sedikit update kehidupan dia. Persoalan saya tentang apa pekerjaan bapa dia akhirnya terjawab tahun lepas bila Zura ada post di FB kata adik dia memenangi Best Screenplay Award untuk pertandingan filem festival anjuran Lim Kok Wing University. 




Skrip filem tu ditulis sendiri oleh Zura Anwar dan kakak dia. Filem pendek bertajuk Penjara Seni ni mengangkat kisah tentang bapa dorang, Anwar. Dari filem pendek itulah saya baru tahu, pak cik yang selalu menunggu di kantin sekolah dengan bekal makanan dulu tu merupakan pelukis Sabah dengan kisah hidup yang cukup menginspirasi.








"Bakat yang dimiliki oleh seseorang itu tidak seharusnya dinilai dari darjatnya mahupun pangkat."

Comments