Muara dan Pandangan Tentang Membaca Karya Sastera yang Sukar.



Selesai membaca semua tulisan dalam Muara dan saya benar-benar tidak menyangka buku ini berjaya memberikan satu pengalaman, perjalanan, nikmat dan kepuasan pembacaan yang lain daripada yang lain. Hal yang buat saya lebih respek bilamana ada sebahagian sajak dan esei merupakan karya penulis-penulis muda yang lebih muda dari saya. Lenggok bahasa dan pilihan kata mereka dalam menyusun ayat buat saya merasakan yang saya pun tidak mampu menulis seindah ini. Benarlah kata orang, sesungguhnya bakat tidak pernah mengenal usia.


Saya pernah tuliskan dalam tulisan sebelum ini, ada sedikit kebimbangan setiap kali memulakan pembacaan sebarang karya di bawah genre sastera baik moden mahupun kontemporari atau dalam negara mahupun luar negara. Mungkin kerana subjek Komponen Sastera (KOMSAS) bukan subjek kesukaan saya sewaktu di sekolah dahulu. Mungkin juga kerana perkataan “sastera” itu sendiri membuatkan saya membayangkan hal-hal yang “dalam” dan “berat” untuk dihadam oleh pembaca seperti saya, yang sebelum ini lebih banyak membaca karya-karya arus perdana yang ringan saja.


Namun baru-baru ini saya terbaca satu artikel menarik yang membuka mata saya bahawa kerisauan yang saya rasakan terhadap genre ini sememangnya wajar dirasakan. Dalam artikel tersebut dijelaskan mengapa membaca sastera selalunya sukar dan mengapa kita tetap harus membacanya. Antara hal dapat saya kutip dari artikel tersebut:


Kesukaran sememangnya sebahagian daripada proses membaca karya sastera itu sendiri. Baik dari segi ciri-ciri linguistik seperti sintaksis, kosa kata yang kompleks digunakan begitu juga dalam penafsiran. Hal inilah yang membezakan sastera daripada perbualan seharian yang cenderung bertujuan menyampaikan maklumat secepat mungkin. Teks sastera selalunya tidak berniat untuk memberitahu kita secepat dań semudah mungkin bahkan seringkali membuat kita keliru dengan pelbagai kekaburan.


Mengapa kekaburan? Kerana sastera memperkatakan perkara yang jarang diperkatakan dalam kehidupan seharian. Perkara dalam diri manusia yang tidak sejelas perkara yang mampu kita sampaikan dałam ucapan pragmatik (konteks menyumbang kepada makna). Kesusasteraan seringkali terikat dengan pengalaman manusia dan pengalaman setiap manusia itu sendiri kompleks. Oleh itu, kesukaran membaca sastera boleh terjadi akibat penyampaian pengalaman yang kompleks itu.


“Literature demands nothing from us except patience, because how can we know what we actually want if in our imagination we do not see all that could happen to us, how can we know who we really are if there are no characters and destinies to compare ourselves to, how can we know what the real-life should be for us if we cannot live hundreds of possible ones in our imagination?” 
— Milivoj Solar

 

Poin yang saya paling suka dan saya boleh kaitkan dengan diri saya sendiri, bolehkah kita menikmati kesukaran dałam membaca karya sastera? Sememangnya boleh. Walaupun ada sebahagian karya sastera tidak menemukan pembaca kepada sebarang jawapan bahkan meninggalkan pembaca dengan kekaburan dan pelbagai persoalan namun pengalaman, usaha dan proses eksplorasi dalam pencarian makna itulah suatu kepuasan yang menyeronokkan. Proses penerokaan dan penemuan seringkali memberi motivasi yang mendorong kita untuk terus kehadapan.

Saya bagi contoh mudah, antara karya dengan plot yang tipikal (kronologi/konventional)  dan karya plot yang tidak tipikal (tidak kronologi), saya lebih suka dengan karya plot yang tidak kronologi sebab karya dengan plot yang tipikal biasanya saya dah boleh jangka apa yang akan saya dapatkan. Saya tidak mengatakan ianya karya yang tidak bagus bahkan banyak buku-buku yang saya pernah baca sebelum ini juga membawakan plot yang tipikal. Cuma, mungkin semakin meningkat usia saya semakin menyukai benda yang mencabar minda saya membuatkan bila membaca karya tipikal cenderung membuatkan saya rasa bosan.

"Meeting the unknown and facing difficulties is necessary for people. We evolve through the constant questioning of our preconceptions. Good literature will always shake us, make us think more about things we think we have a clear picture of."

Saya percaya tak semua orang berminat dan perlu menikmati sastera yang “sukar” dan genre sastera pun bukan satu-satunya genre yang harus dihargai. Saya tetap meraikan kepelbagaian karya yang ada dan kalau boleh saya mahu membaca semua. Namun saya tetap yakini dan percaya bahawa kesukaran itu penting dan ia sebahagian dari pengalaman. Seringkali, tidak menemukan jawapan kepada semua persoalanlah yang menjadi asbab mengapa sesebuah karya itu terus hidup dalam diri pembaca walaupun selepas selesai membacanya. Dan di akhir pembacaan, kita sendiri menentukan sama ada kesukaran yang telah kita lalui sepanjang pembacaan itu wajar atau tidak.


Comments