Rumah Pengarang Amerika di Sandakan.
Hal termahal yang tak mampu ditawarkan oleh buku dan bahan bacaan ialah pengalaman sebenar. Oleh sebab itu cuti sekolah pendek kali ini saya mengambil peluang merealisasikan salah satu goals percutian saya, berkunjung ke Rumah Agnes Keith. Rumah Agnes Keith ni antara sebab utama saya ke Sandakan sebab saya pernah terbaca artikel tentang beliau sebelum ni.
Siapakah Agnes Keith?
Beliau seorang pengarang Amerika yang terkenal dengan tiga kisah autobiografi kehidupannya di Borneo Utara sebelum, semasa dan selepas Perang Dunia II. Berasal dari Illinois, Amerika Syarikat, sejak zaman remaja beliau suka menulis cerita fiksyen menggunakan pelbagai nama samaran. Karyanya banyak disiarkan dalam beberapa majalah terkemuka termasuk Reader’s Digest. Selepas menamatkan pengajian di universiti, beliau pernah bertugas sebagai seorang wartawan kemudian berkahwin lalu berpindah ke Sandakan mengikuti suaminya, Harry Keith, Pegawai British yang bertugas sebagai Pegawai Konservasi Hutan Syarikat Borneo Utara British di Sandakan pada tahun 1934.
Pasangan Keith merupakan penghuni kedua yang tinggal di rumah itu selepas M. M. Clark namun ia lebih sinonim dikaitkan dengan Agnes kerana di rumah itulah beliau menulis buku ‘Land Below The Wind’ pada tahun 1939 yang bercerita tentang kehidupan masyarakat tempatan Sabah serta alam semula jadinya. Buku tersebut berjaya mengalahkan 600 buku lain dan memenangi pertandingan kategori bukan fiksyen anjuran majalah Atlantic Monthly. Sehingga hari ini gelaran 'Negeri Di Bawah Bayu' yang digunapakai oleh Sabah adalah inspirasi daripada karya Agnes tersebut sehingga beliau dianggap sebagai ‘duta’ negeri Sabah yang telah membawa Sabah ke mata dunia.
Semasa pendudukan Jepun di Borneo, Sandakan menjadi tempat tawanan perang terkorban dan Agnes Keith bersama suami dan anak mereka, George, dikurung di kem tawanan perang bersama orang Eropah lain. Namun keluarga Keith terselamat daripada konflik tersebut tanpa cedera disebabkan Agnes sedia bekerjasama dengan penculiknya dan salah seorang rakan banduan menyatakan bahawa komandan kem Jepun juga pernah membaca karya Agnes dan memastikan keluarganya dilayan dengan baik. Sepanjang menjadi tawanan kem selama 8 bulan, Agnes merekod pengalaman pahit yang dialaminya sebagai catatan diari yang direkod secara rahsia agar tidak dikesan oleh tentera pengawal Jepun. Selepas tamat pendudukan Jepun dan Keluarga Keith dibebaskan pada tahun 1945, Agnes dan suaminya membawa pulang catatan-catatan peristiwa tersebut ke Victoria, Kanada di mana Agnes menuliskan Three Came Home sebelum berangkat ke Sandakan tahun 1947.
For horror of war. I want others to shudder with me at it.
For affection for my husband. When war nearly killed me, knowledge of our love kept alive.
And for a reminder to my son. I fought one war for him in prison camp. He survives because of me. He belongs now to peace. I remind him that it is better to give more and to have less – and to keep the peace – than to fight.
The Japanese in this book are as war made them, not as God did, and the same is true of the rest of us. We are not pleasant people here, for the story of war is always the story of hate; it makes no difference with whom one fights. The hate destroys you spiritually as the fighting destroys you bodily.
If there are tears shed here, they are for the death of good feeling. If there is horror, it is those who speak indifferently of “the next war”. If there is hate, it is for hateful qualities, not nations. If there is love, it is because this alone kept me alive and sane."
Buku terlaris tersebut kemudiannya diadaptasi ke dalam bentuk filem yang dibintangi oleh Claudette Colbert sebagai Agnes.
Apabila mereka kembali ke Sandakan, mereka mendapati rumah mereka telah musnah. Pasca kemusnahan tersebut, Harry membina semula rumah baru mereka yang diberi nama Newlands. Rumah inilah yang menjadi rumah agam Agnes Keith yang popular di Sandakan sehingga hari ini.
Rumah Agnes Keith
Rumah Agnes Keith terletak di Jalan Istana, Sandakan. Pengunjung boleh juga berjalan kaki ke sana selepas mendaki Tangga Seribu Heritage Trail. Lokasinya terletak di atas bukit dikelilingi pohon menghijau menjadikan suasana disekitarnya nyaman dan damai.
Ia merupakan rumah dua tingkat yang dibina berasaskan kayu dengan keunikan seni bina dan dekorasi hiasan dalaman yang mengekalkan konsep zaman kolonial.
Di tingkat bawah, terdapat ruang tamu serta dapur dengan ruang makan yang sangat luas.
Sementara itu di tingkat atas, terdapat bilik tidur utama dan bilik tamu yang kini dijadikan ruang teater selain bilik bacaan dan galeri mini bergambar memaparkan perjalanan hidup Agnes terutama ketika menetap di Sandakan.
Walaupun susun aturnya kelihatan ringkas, penggunaan perabot kayu di setiap sudut rumah tersebut sama ada katil, almari, meja hias mahupun meja makan membuatkan hiasan dalaman rumah berkenaan berada pada kelas tersendiri pada zamannya. Barang-barang antik seperti pasu, tembikar, cawan, peti ais, mesin jahit, alat pemain piring hitam, lampu, mesin taip, gong, tempayan, pinggan mangkuk, telefon dan lain-lain turut melengkapkan dekorasi rumah berkenaan.
Di dindingnya pula dihiasi keterangan mengenai Agnes berserta gambar-gambar keluarga dan pemandangan sekitar Sandakan pada zaman silam.
Sebagai pecinta buku, semestinya ruang yang paling saya sukai di rumah ini ialah bilik bacaan (The Bookroom). Ruangan yang menempatkan sebuah meja kerja dengan barang-barang antik milik keluarga Keith ini dahulunya pernah menjadi perpustakaan peribadi pasangan Keith.
Selepas kematian mereka pada tahun 1982, koleksi buku dan dokumen mereka mengenai Borneo dan Asia Tenggara telah dilelong pada tahun 2002. Koleksi itu berjumlah lebih 1000 jilid yang telah dikumpulkan selama bertahun-tahun.
Selain sebagai destinasi pelancongan, Rumah Agnes Keith juga sering dikaitkan dengan cerita-cerita seram kononnya berhantu dengan penampakan misteri yang pernah dilihat oleh Agnes sendiri. Ia pernah diceritakan dalam buku ketiganya mengenai Sabah, White Man Returns.
Dalam buku tersebut, Agnes menceritakan pengalaman keluarganya selepas perang. Dia jelas berbangga dengan rumah baharunya, sambil menulis tentang bagaimana rumah tersebut sering menjadi tumpuan orang luar dan pelancong serata dunia yang terpesona dengan keindahannya. Agnes akhirnya meninggalkan Sabah untuk selamanya pada tahun 1952 mengikuti suaminya dalam perjalanannya sebelum akhirnya menetap di Kanada. Pada tahun 1982, beliau meninggal dunia dengan aman pada usia 80 tahun. Suaminya meninggal pada tahun yang sama.
Usaha pemuliharaan yang dilakukan oleh Muzium Negeri Sabah pada tahun 2001 sehingga berjaya mengekalkan reka bentuk asal rumah ini harus dipuji kerana selepas pelbagai pengalaman seram yang dialami oleh penghuni lain selepas keluarga Keith membuatkan rumah ini pernah terbiar dan hampir musnah. Rujukan yang turut membantu usaha Muzium Negeri Sabah ini semestinya gambar-gambar lama milik peribadi keluarga Keith termasuklah deskripsi Agnes Keith sendiri dalam buku autobiografinya.
Sepanjang hayatnya, Agnes Keith telah menghasilkan tujuh buah karya.
Pada 1984, sebuah spesies baru dari endemik Rafflesia di Sabah, Rafflesia keithii, mengambil nama suami Agnes, Henry (Harry) George Keith, bekas Pemulihara Hutan di Borneo Utara (Sabah).
Comments
Post a Comment