Pameran Penghormatan Datuk Mohd. Yaman Hj. Ahmad Yus.


Bulan Julai lalu saya berkesempatan mengunjungi pameran Datuk Mohd. Yaman Hj. Ahmad Mus: A Retrospective - In his own words di Balai Seni Lukis Sabah. Dari senarai program tahunan mereka ini  salah satu pameran yang paling saya nantikan. Sebelum ni dah pernah mengunjungi pameran-pameran anak didik dan rakan seperjuangan beliau. Baru kali ini buat julung kalinya Balai Seni Lukis Sabah mengadakan pameran penghormatan bagi memperingati pengorbanan, dedikasi dan sumbangan Datuk Yaman sendiri terhadap perkembangan seni visual Sabah. 


Datuk Mohd. Yaman Hj. Ahmad Mus


Bagi yang belum mengenali, Datuk Yaman merupakan seorang lagenda dan ikon, tokoh yang bukan sahaja seorang pelukis malah pereka yang bertanggungjawab mencipta logo-logo rasmi, logo persatuan dan lambang beberapa agensi, pakaian istiadat kerajaan dan bendera negeri Sabah. Beliau juga merupakan Mantan Pengarah yang telah menubuhkan Balai Seni Lukis Sabah pada tahun 1984.


Senarai bendera Sabah dari sumber Pejabat Daerah Keningau. Warna bendera tahun 1982-1988 hampir sama dengan warna bendera negara Filipina dan Czech. Bendera Sabah yang digunapakai pada hari ini secara rasmi  digunakan buat pertama kali pada 16 September 1988 merupakan hasil rekaan Datuk Yaman.



Datuk Yaman mula melukis kartun dan komik ketika di Tingkatan Empat di Sekolah All Saints'. Karya-karya beliau diterbitkan pada tahun 1950-an dan 60-an, termasuk Pengembaraan Tom yang dipaparkan dalam Jurnal Anak Sabah dan Tiga Serangkai dalam penerbitan Utusan Kanak-Kanak di Tanah Melayu ketika itu, manakala komik Pa Lang diterbitkan oleh Majalah Salam Brunei. Ilustrasinya juga menghiasi halaman sejarah dan buku cerita. Pada tahun 1958, beliau telah bekerjasama dengan seorang guru Bahasa Inggerisnya, Oliver Beaven, untuk membentuk Kelab Seni Sabah. Dari 1959 hingga 1963, beliau mengetuai Kelab sebagai presiden. 


Disebabkan rasa tidak berpuas hati pada rekabentuk tajuk akhbar The North Borneo News pada tahun 1959, Datuk Yaman merekabentuk semula tajuk akhbar tersebut dengan memasukkan ciri-ciri dan imej ibu negeri Borneo Utara (Jesselton) dengan hanya menggunakan berus cina. Lukisan itu kemudian dikemukakan kepada mendiang Tun Fuad Stephens yang merupakan Ketua Pengarang. Mendiang yang tertarik dengan rekaan beliau kemudian menggunakan rekaan tersebut dalam edisi-edisi akhbar seterusnya. 


Beliau menerima skrol Sijil Am Pendidikan (GCE) daripada Putera Phillips pada tahun 1959 semasa Putera itu sedang dalam lawatan ke negeri itu. Pada tahun 1963, beliau kemudian berlepas ke England untuk melanjutkan pelajarannya di Kolej Seni Croydon di bawah tajaan Pemegang Amanah Pendidikan Liberal yang dibiayai oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada pengalaman Perang Dunia Kedua Sabah. Datuk Yaman adalah orang pertama yang menggunakan dana tersebut. 




Pengalaman-pengalaman beliau sepanjang belajar di London diceritakan dengan begitu menarik. Dari perkongsian beliau kebanyakan penuntut wanita ketika itu masuk institusi seni hanya semata-mata untuk mencari jodoh dan menghilang setelah berjaya mencapai misi mereka. 


Datuk Yaman begitu meminati seni geometri dan banyak menghasilkan karya menggunakan bentuk-bentuk geometri.  Di Tingkat 2 galeri pengunjung bukan saja berpeluang menatap sendiri hasil karya tersebut tetapi juga berpeluang melihat lukisan dan lakaran dari buku-buku lukisan peribadi beliau. 





Pameran turut menceritakan tentang usaha Datuk Yaman mendapatkan bangunan sendiri untuk  dijadikan Balai Seni Lukis Sabah kerana sebelumnya mereka hanya menumpang di beberapa bangunan. Usaha beliau akhirnya membuahkan hasil apabila bangunan galeri akhirnya didirikan di Mile 12, Jalan Penampang, lokasi Balai Seni Lukis Sabah sehingga hari ini. Berkonsepkan bentuk geometri yang sering digunakan dalam karya-karya Datuk Yaman, bangunan Balai Seni Lukis Sabah kini menjadi salah satu bangunan dengan seni bina  yang unik di Kota Kinabalu.






Comments