tentang mereka dan buku-buku (i)


credit


Sebagai pembaca dan pecinta buku, saya memang cukup teruja kalau berkunjung ke rumah seseorang yang memiliki perpustakaan, rak mahupun sekadar timbunan buku. Itu menunjukkan tuan rumah seisi keluarga atau ada seseorang dalam rumah tersebut yang suka membaca. Bahan bacaan kesukaan mereka pula akan menggambarkan sedikit personaliti, minat dan jiwa mereka. 




Era media sosial dan bookstagram hari ini sangat mudah nak tahu minat dan personaliti seseorang hanya dengan melihat perkongsian bahan bacaan mahupun gambar rak buku  yang mereka kongsikan tanpa perlu berkunjung ke rumah mereka. Tapi dalam entri ini, saya nak kongsikan beberapa individu yang bukan bookstagram tapi seorang pembaca dan saya pernah berkunjung sendiri ke rumah mereka. Melihat perpustakaan peribadi, rak dan timbunan buku-buku mereka. 


  • Pak Cik Adawiyah - Kulim, Kedah (2011)
Adawiyah (Ada) salah seorang teman sekelas saya waktu belajar di IPG Tuanku Bainun, Penang dulu. Berasal dari Kelantan dan saya masih ingat lagi, dialah orang pertama dalam kelas saya yang memandu kenderaan sendiri di kampus sementara saya dan kawan-kawan lain *yang majoritinya budak Borneo* dalam kelas tu jangankan kenderaan, lesen pun tiada. 😅 Sebab nak memudahkan balik Kelantan katanya, dan kawan saya ni selalunya akan balik rumah pak cik mak cik dia di Kulim setiap hujung minggu. 

Ada satu hari tu,  kami outting bersama dan kawan saya kata dia nak singgah rumah pak cik dia sebab nak ambil barang. Bila sampai di depan pagar, mak cik dia jemputlah kami masuk dan benda pertama yang saya nampak di sudut penjuru ruang tamu ialah sebuah rak buku kayu. Yang menariknya, rak buku tu hanya dipenuhi dengan komik manga dalam bahasa Jepun. 

credit

Saya macam tak sangka juga waktu tu sebab first impression bila jumpa keluarga pak cik dan mak cik kawan saya ni, dorang nampak macam  keluarga sederhana yang islamik, dan saya tak expect langsung minat baca manga. 😅 Waktu duduk bersembang tu baru kawan saya cerita  yang pak cik dia tu jurutera  di Kulim High-Tech Park, lulusan universiti di Jepun. Semua manga tu koleksi manga kesukaan pak cik dia sejak zaman belajar, masih disimpan dan dibaca sekali-sekala di waktu lapang. Supaya tak lupa dengan bahasa Jepun katanya.  

Itulah pertama kali saya melihat sendiri komik manga dalam bahasa Jepun. Saiz dan halaman manga Jepun ternyata jauh berbeza dengan komik versi terjemahan bahasa Melayu/Inggeris yang biasa dijual di kedai lokal. 


  • Tok Ma - Melor, Kelantan (2012)
Zaman saya belajar di IPG, sebelum masuk program Ijazah kena lalui tiga semester Pra-PIMSP dulu dan tiga semester tu wajib buat PBS (Pengalaman Berasaskan Sekolah) di sekolah pilihan sendiri. Hanya PBS pertama saya buat di Sabah (sekolah lama saya), dua PBS lagi saya buat di semenanjung (sebab tiket flight balik Sabah mahal 😩). Waktu PBS ketiga, Adawiyah ajaklah saya  balik kampung dia di Kelantan dan buat PBS di sana.

Itulah kali pertama saya menjejak kaki di Kelantan. Teruja sangat mulanya sebab saya memang teringin nak berkunjung ke negeri Pantai Timur. Tapi keterujaan tu hanya disimpan di dalam hati lepas kawan saya kata yang nenek dia tengah dalam tempoh 'iddah sebab datuk dia baru sebulan meninggal. Kawan saya panggil nenek dia Tok Ma. Tok Ma tak tinggal sekali dengan keluarga Ada tapi rumah dorang di kawasan yang sama. Rumah ibu bapa Ada di depan, rumah Tok Ma di belakang. Di sekeliling rumah dorang ada dusun buah-buahan. 

Sebelum berjumpa Tok Ma saya dah ingatkan diri sendiri tak boleh nak gelak sakan sangat dengan kawan sebab Tok Ma mesti masih bersedih lagi. Tapi bila dah berjumpa Tok Ma,  ternyata Tok Ma berbeza dari ekspektasi saya. Seorang yang sangat friendly, suka bersembang dan ketawa (terutama bila dengar kuliah Ustaz Azhar Idrus di youtube guna fon, dia akan pasang kuat. Kuliah Ustaz Azhar kan lawak, saya pun ikut gelak sekali 😄) dan dia kata dia gembira sangat dengan kehadiran saya di sana sebab bukan selalu boleh jumpa orang Sabah. Kadang saya  hairan juga sebab Tok Ma  langsung tak kelihatan seperti seorang isteri yang baru kematian suami. Seriyes. 

Ada sekali tu, adik Ada tengok Melodi di TV3. Saya dan Ada pun join sekali sambil sembang tentang sorang artis ni. Tiba-tiba Tok Ma mencelah dan join sembang juga.  Saya rasa pelik sangat waktu tu,  macam tak percaya Tok Ma pula yang tahu lebih tentang artis tu. 😅 Beberapa hari kemudian, Tok Ma mengemas barang-barang lama di rumah dia. Lepas tu dia kata dia nak minta bapa Ada tolong hantarkan beberapa barang lama yang nak dibuang ke tempat kitar semula. Waktu tu saya tiba-tiba ternampak  majalah-majalah lama yang SANGAT banyak dan dah diikat kemas. 


credit

Ada majalah Keluarga, Nona, Jelita, Wanita dan majalah Remaja edisi yang lama-lama. Waktu tu baru saya faham kenapa Tok Ma ni banyak tahu tentang artis sebab dia memang suka baca majalah. Tok Ma taklah se'konservatif' yang saya bayangkan walaupun kawan saya kata Tok Ma selalu ikut pengajian di masjid berdekatan dan dia juga ajar budak-budak kampung mengaji. Siap ada bilik khas di rumah dia, khusus tempat solat dan tempat dia mengajar anak-anak jiran baca Al-Quran. 

Di bilik khas tulah ada sesuatu yang buat hati saya agak tersentuh. Waktu tu baru selesai solat Maghrib, Tok Ma kata dia nak dengar kami baca Al-Quran. Surah-surah pendek saja. Lepas selesai baca, saya  perasan ada almari buku di tepi dinding bilik tu dan ada banyak buku agama. Ada beberapa buku yang sama jadi saya pun saja tanya, "ini Tok Ma punya buku dua-dua?" Tok Ma kata satu buku dia, satu lagi buku suami dia. 

La Chinoise (1967)

Buku-buku yang sama tu semua buku-buku pengajian di masjid yang dorang join sama-sama waktu arwah datuk Ada masih sihat. Saya totally rasa wow sangat waktu tu. Ini betul-betul romantisme versi dunia bibliophile golongan 'senja' yang perlu saya catat sebagai #relationshipgoals. Sama-sama mencintai ilmu sehingga ke hari tua. 

Belum cukup dengan itu, dalam bilik tu juga ada satu almari kain  dengan pintu kaca transparent. Dari luar boleh nampak ada baju melayu, beberapa kain sarung dan kopiah yang saya pasti semua tu milik arwah datuk Ada. Tok Ma kata banyak barang-barang arwah suami dia dah disedekahkan kecuali baju-baju dalam almari tu. Baju-baju yang datuk Ada selalu pakai waktu ikut pengajian dan pakaian solat Jumaat. Saya yang sensitif sikit dengan cerita-cerita macam ni mula la mata berkaca-kaca 😢 sementara Tok Ma sembang semua cerita ni dengan nada penuh ceria, tiada sedih-sedih langsung.  Tok Ma bercerita seolah-olah suaminya bukan meninggal, hanya pergi bercuti sekejap dan akan pulang lagi. 😢

Saya jadi sangat respek dengan Tok Ma. Mungkin Tok Ma langsung tak kelihatan sedih dengan pemergian suami dia sebab dia dah benar-benar reda dan menerima dengan hati yang ikhlas. Dari cerita Tok Ma juga  buat saya percaya dorang dah menjalani hidup sepenuhnya bersama-sama. Semestinya kesedaran orang-orang berusia macam Tok Ma tentang hakikat kehidupan yang tak selamanya ni lebih mendalam lagi, cukup membuatkan Tok Ma tak terlalu lama bersedih-sedih dengan pemergian insan yang tersayang. 


Gambar di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan. Saya pernah kongsikan di tumblr tahun 2012


Sebagai orang yang sejak dilahirkan  dah jadi orang bandar, saya tak pernah berasa suasana hidup di kampung dan perasaan gembira balik kampung. Pengalaman di Kelantan itulah suatu kenangan yang cukup manis buat saya. Tak pernah sikit pun rasa terasing dengan keluarga Ada. Dorang siap bawa saya jalan-jalan ke tempat-tempat menarik di sana dari wakaf Che Yeh, Rantau Panjang, Tok Aman Bali dan beberapa tempat lain. Saya sempat juga rasa beberapa makanan Kelantan. Saya paling ingat Laksam yang mulanya saya tengok pelik juga makanan tu, tapi sedap pula bila dah makan.😄Mak Ada sempat hadiahkan saya kain baju kurung sebelum berpisah yang sampai hari ni saya pakai ke tempat kerja. Dapat berkenalan dengan Tok Ma pula buat saya teringat kenangan bersama arwah nenek yang dah lama meninggal. 



An ordinary people with a beautiful mind.


Dari Tok Ma saya belajar bahawa walaupun hanya orang kampung tak semestinya berfikiran kolot. Asal suka membaca dan mencintai ilmu, kita boleh jadi orang yang seronok diajak bersembang sebab tahu banyak benda. Tok Ma memang tak tinggi pendidikan tapi anak-anak dia semua berpendidikan. Pak Cik Adawiyah yang saya cerita mula-mula tadi anak Tok Ma lah 😄, termasuk bapa Ada seorang guru. Entah bila dapat jumpa lagi. Semoga Tok Ma sentiasa sihat dan diberkati Allah s.w.t. 







Gambar screenshot dari IG Adawiyah waktu majlis kahwin dia tahun 2017. Lelaki dalam gambar Pak Cik Adawiyah, yang tudung labuh Tok Ma. 😊


Gambar terakhir sambut birthday bersama Adawiyah waktu semester akhir 2015. Tarikh ulangtahun kami cuma selang sehari. 







Comments

  1. Anonymous1.1.22

    Menarik kisah keluarga Adawiyah. Adawiyah bertuah dibesarkan dalam keluarga mencintai ilmu

    ReplyDelete

Post a Comment