Wira Ladang / The Catcher in the Rye
Saya tahu novel ini memang sangat popular dalam kalangan bookstagram Amerika khususnya, sebab reviu-reviu mereka kerap muncul di feed instagram saya. Tapi saya tak pernah rasa berminat nak membaca atau ambil tahu novel ini tentang apa sehinggalah saya menonton filem My Salinger Year (2020) beberapa bulan lepas. Belum sempat membeli versi e-book di Kindle, saya menemukan novel ini versi terjemahan bahasa Melayu oleh DBP terbitan 1999 di instagram @balaibukuraya dan langsung membelinya.
Sebelum berkongsi reviu, suka untuk saya kongsikan beberapa fakta menarik tentang novel ini;
- Ia ditulis tak lama selepas Perang Dunia Ke-II dan diriliskan secara bersiri sekitar tahun 1945 hingga 1946. Versi novel diterbitkan tahun 1951.
- Pernah dikaitkan dengan pembunuhan John Lennon. David Champan yang menembak mati Lennon di kediamannya pada tahun 1980 sendiri mengakui tindakannya terinspirasi selepas membaca novel ini.
- Setahun kemudian (1981), pihak polis yang menangkap John W. Hinckley Jr. atas percubaan membunuh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Ronald Reagan turut menemukan salinan novel ini di rumahnya.
- Novel ini pernah menjadi 10 buku yang diharamkan di Amerika khususnya sekolah disebabkan penggunaan kata-kata yang agak kasar, babak seksual dan isu moral yang cenderung mendorong pembaca muda kepada hal-hal yang negatif.
- Walaupun buku ini pernah menimbulkan kontroversi dan diharamkan, ia tetap tersenarai sebagai 100 Best Novel of All Time.
Mengisahkan perjalanan singkat (3 hari) hidup Holden Caulfield, seorang remaja 16 tahun yang baru sahaja dibuang (sekali lagi) dari sekolah keempatnya, Pencey Prep. Dia dibuang bukan kerana bodoh dalam pelajaran tetapi disebabkan sibuk dengan pemikirannya yang bagi saya, agak idealis. Sepanjang bersekolah di sana, Holden terpaksa menghadapi pelbagai peristiwa hidup yang bertentangan dengan jiwanya membuatkan dia sering mengalami tekanan perasaan dan melakukan perkara yang tidak disenangi oleh pihak sekolahnya yang hanya mementingkan pencapaian akademik. Pembaca kemudian dibawa mengikuti perjalanan-perjalanan tanpa tujuan Holden dalam menemukan jawapan dari ketakutan dan kekhuatirannya menuju alam kedewasaan. Bermula dari tiba di New York, bertemu pemandu teksi, pelacur, guru lamanya dan seorang biarawati. Kerana menginginkan jawapan, Holden sering cuba menceritakan kegelisahannya pada beberapa orang namun dia sering gagal kerana tiada yang mahu mendengarkan.
Hal yang menarik bagi saya tentang novel ini;
1. Novel ini sepenuhnya ditulis menggunakan sudut pandang pertama membuatkan kita sebagai pembaca terasa seperti diajak bersembang mendengar cerita-cerita dan pemikiran Holden. Setiap peristiwa yang dialaminya digambarkan dalam bentuk naratif dan deskriptif yang sangat terperinci, menarik serta menggunakan gaya bahasa yang mudah dan ayat yang pendek.
2. Dari reviu-reviu bookstagram yang saya baca sebelum ini, ramai yang menyatakan rasa benci/menyampah/meluat dengan karakter Holden dan lepas membaca novel ni barulah saya faham kenapa. Inilah pertama kali saya menemukan satu karakter fiksi yang terSANGAT negatif. Kalau diukur menggunakan peratus, 80% buku ni berisi hal-hal yang dibenci Holden dan hanya 30% selebihnya dia bercerita tentang hal-hal yang dia suka. Kita sebagai pembaca seakan diajak mengumpat setiap kali membaca fikiran-fikiran Holden tentang orang lain. Saya sempat berfikir, seandainya Holden ni manusia nyata dan memiliki media sosial, dia berpotensi menjadi orang yang saya akan unfollow atau mute. Spesies penyebar negative vibes.
3. Namun ironinya, dari banyak hal-hal yang dibenci Holden dalam novel ini, saya harus akui ada sebahagian yang dia benci tu memang tersangat realistik dan saya percaya kita yang membaca pun mungkin pernah mengalami atau berhadapan dengan hal-hal yang sama. Antara kebencian Holden yang saya suka dalam novel ni;
"Dia fikir dialah yang paling tampan di Hemisfera Barat.....Ketampanannya jenis buku tahunan." 😂 |
- Biar muka cantik/segak, kalau perangai buruk pun tiada guna juga.
- Spesies dermawan tak ikhlas
- Saya tak benci, cuma saya rasa kasihan dengan ibu bapa yang ingat anak dia baik sangat bak malaikat di sekolah padahal anak dia sebenarnya perangai macam #####
4. Walaupun ada banyak hal yang dibenci Holden, saya juga suka bila dia bercerita tentang semua hal disukainya yang sebenarnya hanyalah hal-hal sederhana.
- Tentang adik-beradik perempuannya, Allie dan Phoebe, yang bagi Holden, manusia paling manis dan normal kerana mereka kanak-kanak.
- Tentang dua rahib wanita yang mengutip derma dengan bakul jerami lama. Bagi Holden, merekalah yang benar-benar ikhlas dalam menjalankan kerja kebajikan.
- Tentang seorang budak lelaki, James Castle yang tetap dengan pendiriannya dan bukan seorang pengecut walaupun dipaksa dan dibuli untuk menarik balik kata-katanya. Dia bahkan lebih rela mati daripada melakukannya.
5. Akhir sekali, terjemahan buku ini sangat bagus. Ini akan menjadi buku terjemahan DBP kedua yang saya suka selepas Kokoro. Seandainya saya membaca buku ini dalam bahasa Inggeris kemungkinan saya tak akan menikmati keseluruhan cerita seperti mana saya menikmatinya sepanjang membaca versi terjemahan ini. Menyedari suara penulisan Salinger dalam buku ini bernada sarkastik, ada beberapa bahagian sempat buat saya ketawa membacanya. Seriyesli.
"...tak usahlah menontonnya jika tidak anda sendiri sudah tentu akan termuntah." 😂 |
"Katanya separuh daripada orang lelaki di dunia ini pondan dan tidak mengetahuinya." 😂😂 |
"Hebatlah konon....Jesus sudah tentu akan meluat jika dia melihatnya." 😂😂 |
Usai membaca keseluruhan cerita, Holden di mata saya hanyalah sedang mengalami krisis emosional yang biasa dialami oleh seseorang di peringkat remaja. Penuh rasa ingin tahu, memberontak dan mahu mencuba sesuatu yang baru. Ada dua kata-kata Holden yang buat saya lebih memahami karakternya;
“Aku tidak berbuat demikian kerana aku tidak terasa hendak buat demikian. Jika kita tidak terasa hendak berbuat sesuatu, kita tidak akan berjaya dalam tindakan kita.” – ms. 98
“Kita haruslah berasa ingin benar melakukan perkara itu.” – ms. 179
Kata-kata ini menggambarkan Holden seorang yang jujur dan tak mahu menjadi hipokrit atau munafik dengan dirinya sendiri. Ini sifat-sifat yang selalunya dimiliki kanak-kanak yang polos. Dia menyedari dewasa ialah suatu kepastian namun kemurnian sifat kanak-kanak ini adalah hal yang harus dipertahankan.
"Penangkap di ladang gandum hitam/ the catcher in the rye." |
Dalam satu artikel ada menyatakan bahawa semasa usia muda Salinger mengalami hal-hal persis yang dialami oleh karakter Holden. Dia sukar untuk menyesuaikan diri dan seringkali dicap sebagai pelajar yang biasa-biasa saja walaupun dia sebenarnya memiliki kecerdasan yang lebih dari orang lain.
Usia muda remaja yang seharusnya dinikmati terpaksa dikorbankan apabila terpaksa menyertai latihan ketenteraan dan berhadapan dengan situasi dan kehilangan yang memaksa dirinya untuk belajar menjadi dewasa. Oleh sebab itu, saya percaya buku ini lahir dari ‘suara’ dalam diri Salinger yang memberontak kesan trauma dari peperangan yang pernah dialaminya.
Saya akhiri reviu ini dengan dua kata-kata yang saya paling suka dalam novel ini;
“Oleh sebab seseorang itu sudah mati, tidak bererti kita berhenti menyukai mereka – terutama jika mereka seribu kali lebih baik daripada orang yang kita kenali yang masih hidup.” – ms. 268
“Buku yang kukagumi ialah buku yang setelah kita selesai membacanya, kita berharap agar pengarangnya ialah sahabat kita yang akrab dan kita boleh menelefonnya pada bila-bila masa sahaja apabila kita terasa hendak berbuat demikian.” – ms. 29
Comments
Post a Comment