Like Water for Chocolate.
Like Water for Chocolate merupakan karya penulis Mexico, Laura Esquivel yang paling terkenal sementara pengarangnya sendiri sebenarnya tidaklah begitu terkenal. Ketika menjadi guru tadika di Mexico sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an, Esquivel sentiasa mencari cara-cara kreatif dan inovatif untuk melibatkan pelajarnya dalam pembelajaran. Tak menemukan bahan yang sesuai dengan minatnya, dia mula menghasilkan cara tersendiri dalam pengajaran iaitu dengan mengarang drama yang menggalakkan pelajar untuk membaca sambil berlakon. Dia kemudian mula menulis rancangan kanak-kanak untuk stesen televisyen awam di Mexico. Dari karya-karya eksperimen awal, dia beralih kepada dunia penulisan hingga salah satunya menjadi karya pertamanya pada tahun 1989, iaitu novel ini.
Like Water for Chocolate
Seperti air untuk coklat (como agua para chocolate) merupakan perumpamaan umum bagi negara-negara yang menggunakan bahasa Spanish. Di beberapa negara Amerika Latin (termasuk Mexico), coklat panas tak hanya dibuat menggunakan susu tetapi susu juga digantikan dengan air. Coklat hanya akan mencair apabila air telah mencapai takat didih. Perumpamaan ini digunakan Esquivel untuk menggambarkan perasaan intens/bergelora, seperti perasaan marah atau memberontak juga perasaan ghairah dan nafsu berahi.
Berlatarkan sebuah perkampungan dan ladang penternakan di Mexico sewaktu era 50-an di tengah gejolak Revolusi Mexico, novel ini berkisar keluarga De la Garza yang berpegang erat dengan tradisi aneh mereka dari generasi ke generasi. Anak perempuan paling bongsu tidak diizinkan untuk berkahwin sebaliknya harus berkorban untuk menguruskan ibunya sehingga penghujung usia. Tita, watak protagonis dalam novel inilah yang menjadi korban tradisi aneh ini kerana dia merupakan anak bongsu. Konflik terjadi apabila Tita jatuh cinta pandang pertama kepada Pedro. Ketika Pedro datang bertemu ibunya untuk melamar Tita, ibunya menolak sebaliknya menjodohkan Pedro dengan kakak Tita, Rosaura. Pedro bersetuju dengan perjodohan tersebut. Alasannya; "when you're told there's no way you can marry the woman you love and your only hope of being near her is to marry her sister, wouldn't you do the same. I am going to marry with a great love for Tita that will never die."
Cerita diteruskan dengan kehidupan Tita selepas pernikahan Pedro dan Rosaura. Walaupun pelbagai halangan yang muncul, keduanya tetap saling memendam hasrat tak kesampaian yang berlangsung sepanjang cerita dalam jangka waktu yang sangat panjang. Disesuaikan dengan konteks novel ini, perumpamaan "like water for chocolate" seolah menggambarkan ghairah yang tak pernah padam antara Tita dan Pedro.
Hal yang menarik tentang novel ini;
- Walaupun Esquivel sebelumnya aktif dengan rancangan kanak-kanak, novel ini merupakan novel dewasa bertemakan cinta dan kekeluargaan, ditulis dengan penceritaan yang cukup menghiburkan dan nuansa humor bak menonton sebuah drama keluarga.
- Terbahagi kepada 12 bab mewakili 12 bulan. Setiap bulan (bab) dibuka dengan resepi makanan klasik Mexico. Cara memasak setiap makanan diselitkan secara detail dalam penceritaan. Setiap makanan ini berkait rapat dengan hal yang terjadi dalam bab tersebut. Misalnya dalam bab 2 (February), resepi Chabel Wedding Cake menjadi kek yang dimasak Tita dan pembantu dapur, Nacha sempena perkahwinan Pedro dan Rosaura yang kemudiannya mengundang insiden jenaka dalam bab tersebut. Saya benar-benar kagum bagaimana Esquivel menggabungkan plot cerita dengan berbagai hal berkaitan kulinari dalam novel ini.
- Selain resepi makanan, ada banyak tips 'life-hack' yang berguna berasaskan bahan-bahan yang ada di dalam rumah turut dikongsikan dalam novel ini. Antara yang saya 'highlight' ialah cara menghilangkan pepijat pada tilam (bed bug) dan cara merawat luka terbakar.
- Esquivel mahir bermain dengan metafora dan kiasan dalam naratifnya.
- Ada banyak watak wanita dengan karakter dan cerita masing-masing yang menarik. Mama Elena sebagai watak antagonis digambarkan sebagai ibu yang tegas dan tak pernah mengendahkan keinginan Tita juga memiliki kisah masa lalunya sendiri. Dalam ketegasan, wataknya tetap mengundang tawa apabila dia digambarkan seorang yang cukup peka dengan keadaan sehingga selalu saja menjadi penghalang untuk Tita dan Pedro sekadar bertemu mahupun saling berbagi kasih. Lebih lawak lagi apabila roh Mama Elena masih muncul menganggu Tita walaupun selepas kematiannya.
- Novel ini benar-benar menggambarkan dapur bukan sekadar tempat mengolah makanan tetapi juga muara sebuah kehidupan. Melalui watak protagonis, Tita yang memiliki kecintaan luar biasa kepada dapur dan makanan mengingatkan saya kepada watak Mikage dalam novel Kitchen. Dia digambarkan sangat mahir memasak melebihi kakaknya yang lain. Disebabkan tak mampu bersuara dan membantah ibunya, hanya masakan menjadi caranya "melawan." Masakan juga menjadi tempat dia menyalurkan perasaan dan ghairah yang terbuku dihatinya. Makanan yang saya paling ingat dalam novel ini ialah makanan di bab 3 (March), Quail in Rose Petal Sauce (burung puyuh dengan sos kelopak mawar), makanan yang unik dan sensual.
"...next time you fall in love, don't be such a coward." - Tita
Comments
Post a Comment