Tentang Kamu, sebuah biografi wanita inspirasi.


Selalunya setiap tahun saya mesti akan baca salah satu novel karya Tere Liye tapi bila tengok semula buku-buku bacaan tahun lepas ternyata tiada satu pun novel Tere Liye yang tersenarai. Terakhir kalinya novel Kau, Aku dan Sepucuk Angpau Merah di penghujung tahun 2018. Maka beberapa hari lalu saya memilih buku ni sebagai  karya Tere Liye yang saya baca di tahun 2020, tanpa mengambil tahu buku ni tentang apa.


"Terima kasih untuk kesempatan mengenalmu, itu adalah salah satu anugerah terbesar hidupku. Cinta memang tidak perlu ditemukan, cintalah yang akan menemukan kita. Terima kasih. Nasihat lama itu benar sekali, aku tidak akan menangis karena sesuatu telah berakhir, tapi aku akan tersenyum karena sesuatu itu pernah terjadi. Masa lalu. Rasa sakit. Masa depan. Mimpi-mimpi. Semua akan berlalu, seperti sungai yang mengalir. Maka biarlah hidupku mengalir seperti sungai kehidupan."

Berdasarkan cover dan blurb novel ni, saya menjangkakan ia sebuah novel cinta yang berfokus dengan watak lelaki pastinya. Ternyata saya silap, ia adalah sebuah kisah hidup seorang wanita yang sangat memberi inspirasi. 


Tentang Kamu.


“Apa harta yang akan dibawa mati saat kita meninggal?” 
Zaman menjawab pendek, “Tidak ada, Sir, selain apa-apa yang kita belanjakan untuk kebaikan. Sisanya akan ditinggalkan, bahkan diperebutkan.” -ms. 430

Dibuka dengan latar kota London, Zaman Zulkarnaen adalah seorang peguam di Thompson & Co, sebuah firma guaman khusus dalam bidang heir hunters, firma guaman yang mengendalikan masalah harta yang ditinggalkan tanpa pewaris. Bidang heir hunters seakan menyerupai detektif walaupun mereka seorang peguam kerana mereka bertugas mencari ahli waris yang tepat dari harta yang ditinggalkan dan akan memberikan penyelesaian terhadap harta waris tersebut dengan seadil-adilnya.

Suatu hari Zaman ditugaskan untuk menyelesaikan satu kes yang unik dan sulit. Ia melibatkan seorang klien yang telah meninggal dunia di Le Cerisaie Maison de Restraite, sebuah rumah orang tua di Paris. Klien tersebut telah meninggalkan harta warisan berbentuk saham bernilai 1 million poundsterling (RM5.4M) tanpa sebarang wasiat mahupun catatan bahawa dia memiliki keluarga. Kes tersebut menjadi lebih unik bagi Zaman kerana klien yang dimaksudkan ternyata seorang wanita tua yang berasal dari negara asalnya sendiri, Indonesia, bernama Sri Ningsih (Sri), seorang wanita hebat yang memiliki kehidupan sederhana.

Usaha mencari siapa ahli waris yang berhak mendapatkan harta tersebut membawa Zaman menelurusi jejak kehidupan Sri Ningsih ke berbagai negara dan wilayah; Pulau Bungin, Surakarta (Solo), Jakarta, London hingga Paris. Berbagai maklumat dia kumpulkan dari orang-orang yang ditemuinya, bermula dari kerabat dekat hinggalah teman-teman dekat yang menyaksikan dan berinteraksi langsung dengan kehidupan Sri. Satu-satunya petunjuk yang dimiliki Zaman dalam menyelesaikan kes ini hanyalah sebuah buku diari milik Sri yang diberikan oleh Madame Aimee, seorang petugas di rumah orang tua tempat Sri menghabiskan sisa-sisa akhir hidupnya. 



Antara hal yang saya sangat suka dalam novel ni;

  • Terima kasih buat Tere Liye, kerana dari buku ni saya baru tahu ternyata pulau terpadat di dunia (DUNIA ya bukan asia ) ialah Pulau Bungin, Sumbawa, Indonesia. Yang menariknya, penduduk di pulau ni merupakan suku Bajo (Bajau) yang berasal dari Sulawesi Selatan dan penduduknya terdiri dari nelayan dan pelaut. Sewaktu Zaman menjejaki Pulau Bungin dan teruja dengan makanan-makanan laut yang segar serta pemandangan sunset yang indah buat saya teringat dengan Semporna, Sabah yang juga dihuni suku kaum Bajau dan kaya dengan makanan laut. Seperti buku-buku Tere Liye sebelum ini, beliau memang suka menyelitkan fakta geografi sesuatu tempat dalam ceritanya.
  • Saya sangat respek dengan penulis yang bukan sahaja membawa flashback masa lalu dalam penulisan tetapi juga menghadirkan  sejarah berasaskan fakta yang benar. Ia mampu membawa pembaca kepada jalan cerita yang lebih realistik dan membumi dalam sesebuah karya fiksi. Seperti keterujaan saya membaca novel Amba yang mengangkat sejarah Pulau Buru dan novel Kambing dan Hujan dengan sejarah konflik organisasi Islam. Dalam novel ini Tere Liye menggangkat sejarah politik Indonesia yang sesuai dengan peralihan kehidupan yang dijalani Sri Ningsih dari kecil hingga dewasa. 

Antara yang sangat terkesan bagi saya ialah flashback 1961-1966, ketika kebangkitan parti komunis (PKI) yang membawa kepada rusuhan dan serangan terhadap masjid dan pembunuhan para kiai dan ahli agama. Tindakan yang dilakukan pengikut-pengikut Mbak Lastri dan Musoh terhadap adik lelaki Sri dan keluarga Nur'aini, teman baik Sri sangat biadap dan kejam. Tere liye juga turut mengangkat peristiwa Malari dalam flashback 1974, yang membuat Sri mengalami kerugian besar dalam perusahaan kereta sewanya. 

  • Menjejaki petunjuk kehidupan seseorang melalui diari bagi saya idea yang klasik. Dalam novel ini, tulisan-tulisan diari Sri Ningsih berisi pelajaran hidup dan hikmah yang diperolehnya dalam setiap fasa kehidupan berlatarkan tempat-tempat yang berbeza. Terdapat 5 juz (bab) dalam diari tersebut;
  1.  Juz 1: Tentang Kesabaran (1946-1960) - Pulau Bungin
  2. Juz 2 : Tentang Persahabatan (1961-1966) - Surakarta
  3. Juz 3 : Tentang keteguhan hati (1967-1979) - Jakarta
  4. Juz 4 : Tentang cinta (1980-1999) - London
  5. Juz 5 : Tentang memeluk semua rasa sakit (2000) - Paris
Kisah yang disusun dengan rapi menjadikan unsur flashback yang digunakan tak membingungkan pembaca. 
  • Bagaimana Sri Ningsih memiliki saham bernilai 1 million poundsterling adalah persoalan yang bermain di fikiran saya di awal cerita. Saya menyangka ia mungkin hadiah atau pemberian berkat kebaikan hatinya ternyata tidak, ia adalah hasil jerih payah dan usaha yang dilakukannya sendiri dengan bermula dari titik nol sepanjang 1967 hingga 1979, fasa dirinya belajar menjalani hidup mandiri dan menjadi wanita tangguh yang berani mencuba hal-hal yang baru. Bermula dengan menjadi guru di sekolah rakyat, penjual nasi goreng dengan gerobak, menjadi pengusaha kereta sewa, bekerja di kilang sabun sehingga menjadi pengusaha sabun dan memiliki produk toiletries. 

Menjadi usahawan yang berjaya di era 60-an/70-an bukanlah sesuatu yang mudah seperti hari ini. Namun Sri yang bijak mengatur strategi, berpandangan jauh dan berani mengambil risiko menjadi titik tolak yang membawa beliau menjadi usahawan yang berjaya walaupun tanpa pendidikan tinggi dalam ilmu perniagaan. Namun, ditengah kejayaannya, Sri justeru menjual saham perusahaannya. Dia kemudian berhijrah ke London menjadi pemandu bas awam.

  • Saya suka dengan hal-hal yang berlaku di kota London yang menurut saya antara bahagian termanis dalam hidup Sri Ningsih. Selain bertemu dengan keluarga baru, Tere Liye memberikan kesempatan Sri  untuk dapat tersenyum malu-malu dan merasakan cinta sejati di usianya 36 tahun. Ia menyangkal anggapan saya bahawa Sri tidak pernah berkahwin kerana sisa  hidupnya yang berakhir di rumah orang tua. Ternyata Sri berkahwin bahkan pernah memiliki dua anak namun atas alasan tertentu dia kehilangan kedua bayinya. Kisah cinta yang dibawa Tere Liye dalam buku ni persis seperti buku-buku beliau sebelumnya, cinta yang sederhana, 'dalam' dan indah. Kehadiran Hakan Karim sebagai suami sangat singkat dalam hidupnya, namun mengajarkan erti cinta dan pengorbanan sejati. 
"Kembalilah bahagia, Sri. Menjadi gadis yang bersahaja dan baik hati seperti pertama kali kita bertemu. Lanjutkan kisah hidupmu, kamu akan memiliki petualangan hidup berikutnya yang lebih panjang. Penuhi mimpi-mimpi lamamu, melihat dunia.” -ms. 409

  • Ada banyak pengajaran dan hikmah yang boleh digarap dari novel ni, terutama dari watak Sri Ningsih sendiri. Dia digambarkan sebagai wanita yang pendek, gempal dan hitam, jauh sekali dari gambaran wanita jelita. Namun bukan penampilan fizikal yang mencuri perhatian pembaca tetapi kisah hidupnya yang menakjubkan dan membuat pembaca mengetahui bahawa hati seorang Sri adalah hati yang sangat jelita.  Kehidupan Sri penuh dugaan dan kesedihan sejak kecil hingga dewasa, namun dia tetap memeluk semua kepahitan hidupnya dengan lapang dada. Sebagai manusia biasa, dia juga kerap kali berasa letih dan patah semangat. Namun dia tetap memilih untuk terus bangkit tanpa berpaling ke masa lalu. Sesuatu yang bermakna dari watak seorang Sri Ningsih ialah, harta dan kemewahan bukanlah hal yang menjadi matlamat hidupnya tetapi kepuasan menjalani hidup sepenuhnya dan menebarkan manfaat kepada manusia adalah hal yang paling bermakna baginya. Justeru itu, sehingga akhir riwayatnya di rumah orang tua, dia tetap menjadi insan yang bermakna buat orang sekelilingnya bahkan mencapai cita-citanya mengelilingi dunia.
Saya sangat merekomendasikan novel ini untuk dibaca oleh sesiapa saja dan berkenalanlah dengan watak Sri Ningsih. Ia mungkin sekadar watak di dunia fiksi namun saya percaya insan-insan begini ada sekeliling kita.

"Ada banyak hal-hal hebat yang tampil sederhana. Bahkan sejatinya, banyak momen berharga dalam  hidup datang dari hal-hal kecil yang luput kita perhatikan, karena kita terlalu sibuk mengurus sebaliknya." - ms. 257

Comments

  1. This is my favorite novel 😭

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama. Buku Tere Liye selalu bagus-bagus. :)

      Delete

Post a Comment