Aroma Karsa.



Aroma Karsa

Sejak kecil Raras Prayagung mengenal Puspa Karsa melalui dongeng-dongeng yang diceritakan Janirah, neneknya. Raras menyangka Puspa Karsa hanyalah sebuah kisah dongeng sebelum tidur seperti cerita Bawang Merah Bawang Putih. Puspa Karsa ialah sejenis bunga yang kononnya mampu mengendalikan kehendak manusia dan hanya boleh dikenalpasti melalui aroma. Sebelum meninggal dunia, Janirah menyatakan bahawa Puspa Karsa benar-benar ada dan dia meminta Raras untuk mencarinya. Berbekalkan sebuah lontar kuno (manuskrip kuno yang ditulis dalam bahasa Jawa kuno) yang diwariskan neneknya, Raras terobsesi untuk mencari bunga tersebut di sebuah tempat rahsia.

Bertahun-tahun lamanya obsesi Raras dalam menjejaki Puspa Karsa tak pernah pudar sehinggalah pada suatu saat, dirinya ditakdirkan bertemu dengan seorang pemuda berusia 26 tahun, Jati Wesi, seorang pemuda yang digelar si Hidung Tikus dari TPA Bantar Gebang, tempat pelupusan sampah di Bekasi. Jati merupakan seorang tukang kebun, pemulung (pengumpul barang-barang bekas dari sampah) sekaligus pengadun minyak wangi di sebuah kedai minyak wang kecil yang menjual minyak wangi tiruan, Attarwala. Dia digelar si Hidung Tikus kerana memiliki deria hidu yang sangat tajam sehingga mampu menembus batasan kemampuan manusia. Jati merupakan seorang anak yatim piatu dibesarkan oleh Nurdin, ayah angkatnya yang merupakan seorang mafia di Bantar Gebang.

Suatu hari, Jati dan bosnya di kedai minyak wangi ditangkap polis kerana meniru formula dari minyak wangi Puspa Ananta, minyak wangi terkenal yang dikeluarkan oleh Kemara, sebuah perusahaan minyak wangi terkenal yang pemiliknya ternyata Raras Prayagung. Jati dikenakan hukuman penjara selama 5 tahun. Menyedari kelebihan deria hidu yang dimiliki Jati, Raras menawarkan kontrak kerja kepadanya untuk bekerja di Kemara sebagai ganti dari hukuman tersebut.

Berkat tawaran tersebut, kehidupan Jati Wesi berubah drastik. Dia bahkan diajak tinggal di rumah mewah milik Raras agar dapat bekerja di olfaktorium (makmal peribadi Raras) untuk mengadun minyak wangi. Disitulah titik perkenalan Jati dengan Tanaya Suma, anak angkat Raras yang seusia dengannya.

Kehadiran Jati dalam keluarga tersebut membuatkan Suma berasa sangat terancam dan tersaingi kerana Suma juga memiliki kelebihan deria hidu yang sama seperti Jati. Dia turut terobsesi untuk mengikuti ekspedisi pencarian Puspa Karsa seperti ibunya. Namun dengan kehadiran Jati dan kemampuannya, Suma berpendapat bahwa ibunya bukan sekadar menawarkan pekerjaan kepada Jati untuk mengadun minyak wangi melainkan ada rencana lain yang lebih besar. 



Antara hal yang saya suka dalam novel ni;
  • Sejujurnya saya bukan peminat karya-karya Dee dan satu-satunya novel beliau yang saya pernah baca ialah Perahu Kertas yang saya pinjam dari perpustakaan IPG dulu. Namun waktu novel ni terbit tahun 2018, saya benar-benar tertarik nak baca novel ni sebab bagi saya tema yang diangkat sangat unik. Ada banyak karya fiksi mengangkat tema berkaitan deria manusia yang biasanya tertumpu dengan deria penglihatan, deria pendengaran juga kelebihan-kelebihan unik seperti membaca fikiran dan perasaan. Ini novel pertama saya baca yang berani mengangkat tema berkaitan deria hidu dan ditulis dengan sangat baik. Seperti kata Dee dalam buku ni, deria penciuman antara deria yang sering dilupakan manusia namun ia antara deria pertama yang terbentuk pada janin.



"Penciuman adalah jendela pertama manusia mengenal dunia. Manusia lebih mudah dipengaruhi oleh yang tidak terlihat." - ms. 153
  • Cara penulisan Dee dalam membahaskan aroma dalam novel ni benar-benar genius! Kalau selama ni kita sering mendefinisikan sesuatu bau tu sekadar wangi atau busuk, Dee menghuraikan bau dalam novel ni satu-persatu dan mengajak pembaca menvisualisasikan bau tersebut melalui pemilihan kata yang tepat dan detail. Ada sebahagian deskripsi bau yang dituliskan mampu membuatkan pembaca berasa jijik, namun ada juga yang membuat pembaca tersentuh sepertimana perasaan Suma tatkala membaca tulisan Jati tentang janin yang membusuk ditemukan di tempat pembuangan sampah.



  • Dalam novel ni pembaca dibawa mengembara di dunia nyata sehingga ke dunia imaginasi liar seorang Dee Lestari. Bermula dari TPA Bantar Gebang, tapak pelupusan sampah di Bekasi yang tingginya mencecah 30 meter, tak terbayang bagaimana baunya. Lalu terbang ke kota terwangi di dunia, Grasse Perancis, kota perfume dunia. Terakhirnya di Gunung Lawu, salah satu gunung di Indonesia yang menyimpan pelbagai cerita mistik yang masih menjadi teka teki sehingga hari ini. Menariknya, Dee benar-benar melakukan kajian yang mendalam untuk penghasilan buku ni dan turut berkongsi pengalaman di akaun IG beliau. Berkunjung ke kilang pembuatan minyak wangi di Singapura, melihat sendiri keadaan lautan sampah di TPA Bantar Gebang, sehinggalah mendaki Gunung Lawu menggunakan jalur tengah yang dikatakan dalam novel ni antara laluan yang jarang dilalui pendaki namun sering dilalui oleh orang-orang bagi tujuan spiritual dan ilmu perubatan ghaib.
  • Novel ni menyatu padukan fiksi, sejarah, dongeng, kepercayaan juga ilmu pengetahuan. Di awal cerita pembaca akan mendengar sebuah kisah dongeng yang dipercaya oleh seorang kanak-kanak. Lalu, pembaca dibawa ke zaman moden dengan watak-watak wanita yang hebat dan bekerjaya. Tiba-tiba pembaca dibawa melayari kehidupan masyarakat di kawasan pelupusan sampah. Sambil membaca pembaca juga menambah pengetahuan tentang dunia industri minyak wangi dan belajar tentang apa dan bagaimana pembuatan minyak wangi yang menjadikannya menarik. Di tengah cerita, pembaca akan mendengar kisah sejarah yang tak pernah didengar sebelumnya. Bahkan, pembaca juga disajikan dengan sebuah kepercayaan kuno yang agak tak masuk akal. Membaca sekilas plot cerita ni mungkin kedengaran memeningkan, namun Dee Letasri berjaya mengadun kesemua hal ini menjadi sebuah novel epik yang cukup menarik. 
  • Salah satu kelebihan membaca novel fiksi tebal berbanding cerpen dan buku-buku tipis ialah pembaca akan melihat pembangunan karakter dan konflik yang lebih utuh. Dalam novel ni, Dee tak hanya menghadirkan karakter utama yang menarik tetapi juga karakter-karakter kecil yang turut menghidupkan lagi plot novel ni. Saya suka dengan gambaran tiga generasi wanita hebat dalam cerita ni; 
  1. Janirah, golongan hamba di keraton (istana) namun berjaya menjadi pengusaha minyak wangi yang kaya-raya bukan kerana suaminya yang sememangnya golongan bangsawan, tetapi disebabkan usahanya sendiri.
  2.  Raras Prayagung yang tak mewarisi sifat bapanya yang suka berfoya-foya menghabiskan harta keluarga, sebaliknya seorang wanita mandiri yang berjaya menyelamatkan perusahaan minyak wangi keluarganya sehingga menjadi antara wanita terkaya di Indonesia dan dia tak pernah berkahwin. 
  3. Dan tak lupa Tanaya Suma, juga mewarisi sifat ibu angkatnya dan memiliki sifat seorang yang sangat tegas dan berani menyatakan pendapat dan hal-hal yang tak disukainya. 
Namun, watak kesukaan saya dalam novel ni semestinya Jati Wesi kerana perjalanan kehidupannya lebih menginspirasi.


Sebagaimana seseorang yang membesar dalam kalangan masyarakat di tapak pelupusan sampah, Jati akrab dengan aroma busuk yang memualkan. Hal tersebutlah yang hakikatnya semakin mengasah bakat dan kelebihan deria hidunya. Segalanya gambaran tentang Jati dalam novel ni  membuatkan saya sendiri jatuh cinta kepada karakternya. Seorang pemuda yang rajin, merendah diri dan seorang penyendiri. Ada satu kata-kata Raras kepada Jati yang saya suka;

“Tekanan adalah kondisi yang bisa membentuk seseorang, Jati. Bukan cuma gizi. Mereka yang tertekan, mereka yang tertantang sejak awal kehidupanya, bisa keluar sebagai pemenang. Seperti kamu.”
Dari karakter seorang Jati pembaca akan belajar bahawa kebaikan akan selalu mengalahkan kebencian dan seringkali kebencian boleh berubah kepada rasa cinta seperti kisah cinta dalam buku ni. Selain menjejaki puspa karsa, misi pencarian jati diri seorang Jati Wesi juga merupakan intipati utama dan antara plot twist besar dalam novel ni. 
  • Kalau nak tahu bagaimana aroma tubuh seseorang boleh menjadi alasan utama timbulnya rasa cinta, bolehlah mengikuti kisah cinta Jati Wesi dan Tanaya Suma. Saya suka dengan kenyataan bahawa mereka sama-sama memiliki kelebihan deria hidu yang sama dan hal tersebutlah yang menjadikan chemistry mereka sangat 'deep' serta menjadikan kisah cinta mereka sangat unik lebih dari sekadar kisah cinta seorang lelaki miskin kepada perempuan kaya. 

  • Akhir sekali, ada dua bahagian yang saya paling suka dalam novel ni; 
  1. Bab 40, kisah lagenda Mahesa Guning yang rasa seperti mendengar kisah dongeng yang mengasyikkan. Membaca lagenda tersebut buat saya teringat dengan filem Ghibli, Princess Kaguya dan ending epicnya.
  2. Momen Tanaya Suma merelakan aroma dirinya dihidu oleh Jati Wesi, setelah sekian lama Jati mengimpikan hal tersebut. Kedengaran erotis but actually lebih romantis dan indah bila dideskripsikan Dee Lestari dalam novel ni. Tujuan Jati sebab  dia mahu menciptakan sebuah minyak wangi khusus inspirasi dari aroma tubuh Suma. Semacam another level of romantism kan. :B

"Puspa Karsa tidak memikatku, kamu yang bisa. Aku jatuh cinta kepada Tanaya Suma, bukan Puspa Karsa." - ms. 655



Keseluruhannya, satu kata untuk novel ini, awesome! Saya sangat menyukainya. Terima kasih untuk Dee Lestari atas pengembaraan yang cukup menarik dan kesedaran untuk lebih menghargai nikmat deria hidu pemberian Tuhan yang membolehkan saya mencium aroma kopi, perpaduan pahit biji kopi dan manis gula serta aroma pagi dengan embun yang menghembus angin lembut menusuk ke sanubari. (Percubaan menjadi Jati Wesi. :P)


Comments