Life lesson (iii) Seperti akar dan padi.


Bismillah


Seandainya kehidupan di atas muka bumi ini diandaikan umpama sebatang pohon, maka pilihlah untuk menjadi akar daripada pohon. Pohon itu sentiasa terdedah dengan pujian, celaan dan segala ribut taufan sedangkan akar tersembunyi, teguh di dalam tanah, tiada terdedah pada pujian dan kejian. Hatta ribut taufan sekalipun tidak akan memberi kesan padanya. Namun hakikatnya ia adalah tunjang wujudnya pohon. Segala kejayaan yang diperolehi dalam kehidupan ini hendaklah segala pujian diisbatkan pada Allah kerana kita hanyalah hamba yang fakir, tiada berdaya. 


Sentiasa berpegang pada prinsip padi, semakin berisi semakin tunduk ke bawah. Tanamkan sifat akar pada diri, yang rendah di dalam bumi, tidak dapat dilihat, jauh sekali daripada perhatian dan pandangan manusia, tidak mahu diketahui, dan hanya berbicara atau menulis dalam bahasa yang perlu dan pada mereka yang perlu. Biarlah tetap di belakang menjadi akar, bergerak senyap bagaikan anai-anai, pantas bagaikan larian kuda perang, jiwa kental bagaikan kepingan besi. Sifat suka menonjolkan kehebatan mudah memperlihatkan adanya kesombongan. Ia tidak akan disenangi oleh masyarakat dan agama yang sangat menekankan ketauhidan. Sikap tersebut akan mudah menciptakan musuh bahkan mungkin terdedah dengan ancaman, iri hati dan kebencian daripada masyarakat.


Jika perlu berbicara, biarlah dalam adab agama dan budaya yang boleh diterima oleh semua walaupun kita berada dalam pelbagai wadah mahupun wajah. Elakkan daripada mengikuti budaya dunia yang suka diketahui dan mengejar pengiktirafan dan pujian tidak kira dalam gerak kerja yang dilakukan mahupun dalam kehidupan. Kemuliaan sebenarnya tidak perlu dicari namun jika Allah mengkehendaki, ia pasti akan datang sendiri. Bimbang amal-amal murni yang dilakukan bertahun hancur dihujungnya bagaikan debu lantaran dimusnahkan sifat takbur, ujub dan riak. Cukuplah Allah bagi kita dan kepada Allah kita serahkan diri dan segalanya. InsyaAllah ameen.



---
Biar dikenali sebagai orang yang biasa-biasa, kerana akhirnya nanti niatlah yang membezakan setiap manusia. Asalkan selalu meniatkan kebaikan, sungguh kau tak henti berkebaikan selama berniat baik.

Comments