"Ada apa dengan kata-kata?"





"Kadang saya selalu tertanya-tanya, kenapa banyak sekali orang suka akan kata-kata. Hinggakan ada salah seorang sahabat saya itu suka sangat membeli buku-buku nota hanya sekadar mengumpulkan kata-kata yang dibacanya. Pelik, kan? Ada apa dengan kata-kata sebenarnya?"




"Itu bukan perkara yang luar biasa. Sebab memang kata-kata itu kadang mampu memberikan sesuatu rasa yang luar biasa."




"Maksud kamu?"




"Kamu pernah dengar kisah tentang Fudhail Bin Iyadh?"




"Seorang ulama, zuhud dan ahli ibadah, kan?"




"Ya. Beliau seorang ulama yang tersohor. Tapi sebenarnya, beliau sebelumnya merupakan seorang perompak yang sangat digeruni. Ajaib sekali, kerana hijrahnya hanya bermula cuma dengan 'dua' potong kata-kata."




"Dua potong kata-kata?"




"Pertama, ketika suatu hari, dia cuba mengintai seorang wanita yang sangat dicintainya. Tiba-tiba dia terdengar alunan ayat al-Quran yang mengatakan; "apakah belum datang waktunya bagi orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka berzikir (mengingati) Allah dan apa yang diturunkan daripada kebenaran. dan janganlah mereka seperti orang yang diberi kitab sebelumnya, setelah berlalu masa yang panjang atas mereka hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik." (al-Hadid: 11). Tatkala mendengar ayat itu, ia umpama menempelak jiwanya, hingga mendorong hatinya untuk bertaubat."




"Kedua?"




"Kedua, ketika mana suatu hari dia dalam perjalanan pulang, lalu terdengar suara-suara pedagang, yang menambahkan kehinaan yang dalam, pada dirinya. Pedagang-pedagang itu berkata; "eloklah kalau kita keluar keesokan paginya. jika tidak, Fudhail pasti akan merompak barang-barang kita!" Hanya dengan dua kata-kata itu, dia langsung bertaubat menjadikan 'dia' berubah menjadi 'beliau', yang seterusnya menjadi rujukan ummah di zamannya. Hanya bermula dengan kata-kata."




"Ternyata kata-kata itu memang sesuatu yang luar biasa, kan?"




"Ya. Bahkan kadang, kata-kata juga mampu melapangkan dan merawat jiwa. Mampu menjadi asbab yang menggerakkan seseorang berubah menjadi lebih baik. Tidak kira kata-kata yang disampaikan melalui bual bicara atau sekadar kata-kata yang tertulis di dalam buku. Seperti rasa saat kita membaca Al-Quran, ketenangan yang hadir itu adalah suatu rasa yang tidak sama macam ditenangkan sahabat handai, tidak sama seperti dipeluk suara alam. Kerana kata-kata itu kalam Allah, yang Maha Tahu fitrah kita sebagai manusia."



"Balik nanti kita singgah ke kedai kejap, okay?"



"Nak buat apa?"




"Hehe, nak beli buku nota. Nak mula kumpul kata-kata."






*Terinspirasi dari tulisan Kak Umairah, tentang kata-kata. :)
---
Separuh daripada keindahan manusia itu datang dari lidahnya (percakapan) dan jarinya (tulisan). Maka sentiasalah memilih berkata dengan kata-kata yang baik dan menuliskan kata-kata yang baik. Tidak layak kan, mulut yang sama menyebut nama Tuhan dan jari yang sama menghitung butiran-butiran tasbih digunakan untuk mengeluarkan kata-kata kesat dan menuliskan ayat-ayat cemuhan berbaur hinaan. Dan siapa tahu, hanya dengan satu kata-kata yang baik, kita mungkin boleh menyembuhkan jiwa seseorang, memberikan kelapangan, menyelamatkan nyawa orang lain, bahkan mungkin ia menjadi asbab yang menarik kita ke Syurga kelak. 


“You don’t know what deed is going to enter you into Paradise. It could be a tear, a smile, a good word, charity, a clean heart towards others, a recitation of a verse, or even a glorification of Allah. Those with high ambitions will embrace them all.” 
– Sh. `A’idh al-Qarni

2 comments:

  1. Anonymous21.8.15

    Assalam kak aryy. Kak umairah tu ada blog ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaikumsalam, umairahshafei.blogspot.com. :)

      Delete