"Cubalah berfikir ke sana."


"Dulu ada satu kisah tentang suami isteri yang baru bernikah. Si suami menyukai masakan ikan belanak masak belimbing buluh sedangkan isterinya hanya tahu menggoreng. Lalu, kamu tahu apa yang mereka berdua fikirkan? 
Si suami berfikir pasti suatu hari nanti isterinya akan berubah dan handal memasak ikan belanak masak belimbing buluh. Si isteri pula berfikir yang suaminya akan menerima segala kekurangannya dan dapat hidup dengan ikan belanak gorengnya. Itu yang mereka berdua fikirkan hingga akhirnya, pada suatu hari yang indah, si suami mula hilang sabar lalu bertanya, mengapa dia sering dihidangkan dengan ikan belanak goreng?Si isteri pula terkejut yang bukan dibuat-buat, bertanya mengapa si suami tidak menerima sahaja ikan belanak gorengnya dengan seadanya? Akhirnya si suami bernikah lagi dengan perempuan yang ahli dalam menyediakan ikan belanak masak belimbing buluh, dan si isteri pula bernikah dengan lelaki yang suka makan ikan belanak goreng. Jadi kamu tahu apa pengajarannya? 
Pengajarannya, dalam hubungan sesama manusia, elak berfikir pada perkara yang menuju ke arah kita sahaja. Fikirkan perkara yang menuju ke arah pasangan kita juga. Sekiranya tadi si suami tidak memikirkan ikan belanak masak belimbing buluhnya, dan si isteri tidak sekadar memikirkan ikan belanak gorengnya, pasti hidup mereka lebih sempurna.  
Begitu juga seharusnya dalam hubungan kita dengan Tuhan. Elak terlalu memikirkan hanya ke arah kita. Berfikir semoga Tuhan menerima amal kita yang seadanya, berfikir semoga Tuhan sentiasa memaafkan dosa-dosa kecil kita yang berulang, berfikir semoga Tuhan mengampunkan taubat kita yang sambil lewa, menerima ibadah kita yang separuh hati, solat kita yang tergesa-gesa, dan berfikir semoga Tuhan tahu yang kita sedang menunggu keikhlasan datang. Cuba halakan fikiran kita ke sana. Fikirkan apa yang Tuhan mahukan daripada kita. Apa? Tuhan mahukan kita sebagai hambaNya yang patuh, yang tahu diri, yang berusaha, yang semuanya baik-baik. Dia tidak mahu kita melanggar perintahNya, tabah dalam ujianNya, dan mahu kita berusaha mencari keikhlasan sendiri. Itulah yang manusia selalu lupa, berfikir ke sana. 
Apatah lagi saat dia sedang dicuba dan diuji. Mudah sekali hanya berfikir ke arah dirinya sendiri. Bertanya, apa salahnya hingga begitu?Bertanya, bila lagi kebaikan turun dari langit? Semua fikiran itu mengarah kepada dirinya semata-mata. Sekiranya manusia berfikir ke sana, dan bertanya apa kebaikan yang cuba Tuhan tunjukkan, apa ingatan yang mahu Dia sampaikan, insyaAllah kita akan selalu tersenyum."
- ms. 77; Berfikir ke Sana. 


Andai kita sesama manusia mungkin, kita mampu lagi menjawab soalan, "Apakah kamu tak pernah fikir apa yang saya mahu?" Bagaimana agaknya kalau Tuhan yang maha berkuasa, bertanya kepada kita soalan yang sama? Apa agaknya kita akan jawab pada Tuhan? Namun memang lumrah setiap insan itu mudah lupa, maka memang  ada ketika kita lupa untuk 'berfikir ke sana'. Baik sesama manusia, ataupun kepada Tuhan yang esa. Sama-samalah saling mengingatkan. 


2 comments:

  1. Anonymous2.11.15

    buku ke ni saudari?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, buku anon. Hidup Penuh Cinta karya Bahruddin Bekri. Buku ni kompilasi cerpen2 pendek.

      Delete