Try to be that, perfectly.




Satu hari, budak kecil itu bercerita dengan saya. Kemudian, dia langsung bertanyakan satu soalan


"Ibu selalu berpesan, saya perlu jadi seperti jarum jam yang menunjukkan jam. Bukan jarum minit dan bukan juga jarum saat. Tetapi ibu tidak menerangkan mengapa. Kakak tahu?"

"Mungkin ibu kamu mahu kamu diam seperti jarum jam itu. Tidak seperti jarum saat yang sentiasa bergerak, lalu membuatkan dia hilang tenang kerana selalu memerhatikan kamu." 

"Maaf. Sebenarnya ibu sudah memberitahu jawapannya, dan tadi saya hanya mahu menguji kakak, dan jawapan kakak itu jauh dari daripada jawapan ibu. 
Kata ibu, saya perlu menjadi seperti jarum jam yang menunjukkan waktu jam, kerana ia perlambangan manusia hebat yang merendah diri. Ia pendek, tidak mengundang perhatian, tidak ketara, namun ia cukup penting. Malah pada detik ia bergerak, ia membawa makna yang cukup besar pada manusia. Juga, detik jam dahulu yang akan disebut sebelum minit dan saat. Menurut ibu ia boleh dibuktikan. 
Cuba kakak pandang jarum jam pada dinding. Apa yang kakak rasa sekiranya berpeluang melihat jarum yang menunjukkan waktu itu bergerak? Pasti kakak rasa bertuah, rasa dihargai nasib, kerana biasanya jarum jam itu tidak kita pedulikan dan jarang kita berpeluang melihat detik ia bergerak. Namun tetap ia menjadi perkara yang paling utama dalam hidup kita. Jadi ibu mahu saya begitu, merendah diri, tanpa menunjuk, tidak memberitahu saat saya bergerak, namun manusia yang memandang saya pada saat saya bergerak akan rasa bertuah dan dihargai. Itu yang disukai Tuhan dan manusia itu yang akan diberkati oleh-Nya. Merendah diri."

"Kalau begitu, apakah menjadi jarum saat dan jarum minit itu tidak bermakna?"

"Ibu kata, jarum saat dan jarum minit itu tetap juga berharga kerana jarum-jarum itu sebenarnya bekerja untuk jarum jam, dan jarum jamlah yang mengawal mereka. Jarum saat boleh sahaja berhenti, mati, namun jam tetap masih boleh digunakan. Jarum minit juga boleh sahaja tidak bergerak lagi, namun jam masih berguna sebagai penunjukkan waktu, namun apabila jarum jam sudah berhenti, apa lagi maknanya hidup sebuah jam?
Ibu kata lagi, tidak ramai manusia yang sebegitu. Sangat berguna dan penting hidupnya kepada manusia lain, namun ia tidak memaparkan diri, tidak bising, tidak itu dan tidak ini, jadi dia dilupakan, malah sering dipinggirkan. Namun itu yang disukai Tuhan, dan saya yakin ibu saya salah seorang daripadanya, kerana sering sahaja saya tidak mempedulikan nasihat ibu."

"Em, jadi menurut kamu, kakak seperti apa."

"Kakak seperti jarum saat."









Apa pun posisi yang telah Tuhan letakkan pada diri kita sebenarnya itulah yang terbaik. Kerana hakikatnya  menjadi yang biasa atau luar biasa, terkenal atau tidak terkenal, si miskin atau si kaya, kadang semua itu bukan keinginan mereka tetapi Dialah yang lebih dahulu memilih dan mengatur hidup manusia. Apa yang lebih penting adalah menyedari bahawa siapa pun diri kita di atas muka bumi ini, kita hakikatnya hanyalah hamba yang menumpang teduh di bumi Tuhan. Maka cukuplah belajar menjadi hamba, sehamba-hambanya. 

"Do not wish to be anything but what you are. And try to be that, perfectly."

---
 *Dialog olahan semula daripada tulisan Bahruddin Bekri, kisah 32;Tidak Disenandung dalam Hidup penuh Cinta.*

2 comments: