Di mana terangnya bulan.

Bismillah



Di saat permintaan terhadap buku-buku dari seberang semakin tinggi dan ramai yang mengagung-agungkan penulis-penulis Indo seperti Kurniawangunadi, Prawitamutia, Azhar Nurun Ala, Aan Mansyur dan banyak lagi penulis seberang yang semakin meningkat naik, maka saya rasa sekali sekala  kita perlulah  support penulis-penulis lokal yang tidaklah kurang hebat penulisan mereka cuma mungkin kurang mendapat sambutan. Dan sejujurnya saya bukanlah seorang penggemar novel-novel bertemakan cinta, bukan juga peminat setia buku-buku dengan cover hipster keluaran Dubook Press mahupun Selut Press, dan bukan juga pembaca tegar karya-karya epik Ramlee Awang Musyid. Saya sukakan karya-karya penulisan yang 'berbeza' dari yang biasa, jalan cerita yang tak tipikal dan cerita-cerita yang unik. Dan kesemua ciri-ciri tersebut saya temukan dalam karya-karya Bahruddin Bekri. Bagi pembaca yang judge a book by its cover, saya rasa buku-buku BB mungkin tidak akan menjadi pilihan mereka kerana cover buku-buku BB kebiasaannya agak kurang menarik dan kadang menggunakan ilustrasi kartun yang membuatkan pembaca assume buku tersebut cerita kanak-kanak. Namun itulah keunikan buku-buku BB, cover yang biasa tapi plot cerita yang agak rare bagi saya. 


Berkenaan buku Di Mana Terangnya Bulan, sebenarnya dah lama beli dan baca sekerat jalan sebab permulaan cerita agak membosankan, tapi sebenarnya tidak. Cerita berkisar kehidupan anak-anak  marhaen yang berhadapan dengan cabaran hidup realiti di zaman moden, kesempitan hidup hendak membayar yuran pengajian, kisah persahabatan pelik bersama dengan teman serumah yang pelik, dan plot cerita diselitkan juga  dengan unsur cinta dan keagamaan. 

Antara yang menarik dalam buku ini adalah bagaimana BB menjadikan setiap watak dalam cerita tersebut unik dengan cara yang tersendiri, walaupun watak tersebut hanyalah watak sampingan kecil dalam cerita. Antaranya watak Selamat misalnya, seorang bekas banduan yang masih menyimpan dendam dan digambarkan dengan gaya seorang samseng berambut panjang hingga membuatkan orang lain berasa takut bila berhadapan. Tapi disebalik penampilannya, dia seorang yang suka goreng nasi goreng setiap pagi untuk sahabat, dan yang paling istimewa, suka memberi nasihat-nasihat yang deep dan bermakna.

DTB;ms.62.
DTB;ms. 108.

DTB; ms. 167.

Dan sememangnya suatu cerita itu tidak akan menarik saya rasa sekiranya tidak diselitkan dengan unsur cinta. Unsur cinta dalam cerita ini hanyalah cerita sampingan sahaja tapi menarik olahannya. Watak Teng An Ni digambarkan sebagai seorang  gadis baik yang cantik dan santun budi bahasanya, diminati oleh ramai pelajar termasuklah watak utama dalam cerita, Kamarul. 

DTB;ms.119.


Disebalik kesantunan sikapnya, tiada siapa pun tahu bahawa dia sebenarnya bekerja sampingan sebagai gadis bayaran di kelab malam bagi menampung yuran pengajian. Hinggalah ada satu part bilamana rahsianya diketahui oleh Kamarul, dan dia cuba untuk menasihati dengan niat baik hendak membantunya berubah, namun ditolak  dengan alasan, 

"Awak lelaki yang sempurna, sebab awak pandai berkata-kata manis. Bagi saya lelaki yang berkata-kata manis itu ialah lelaki yang sempurna kerana kata-katanya akan membuat dia seperti sempurna, paling tidak pun akan membuat lawan bicaranya menjadi sempurna pada kata-katanya. Memang saya banyak dosa dan memang saya kotor. Memang saya yang memilih jalan ini. Jadi, elok awak fikirkan niat awak sekiranya awak suka saya. Saya tidak layak untuk awak."

Yang unik tentang kisah mereka adalah Kamarul dan Teng An Ni hakikatnya dua insan yang berbeza agama, tapi BB langsung tak perbesarkan hal tersebut. Dan memang lumrah setiap wanita, walaupun dikurniakan dengan keindahan wajah, akhirnya hal yang lebih penting tetaplah  sebuah penghormatan. Tidak kira agama apa sekalipun, setiap wanita itu ingin dicintai dengan rasa hormat. 


Namun, keseluruhan cerita akhirnya hanyalah untuk merungkai maksud tajuk buku tersebut, di mana terangnya bulan, dan hakikatnya BB cuba menyampaikan maksud berkaitan niat. 

"Hati ini umpama cahaya bulan. Ia akan memancar pada kelakuan dan sikap kita. Jadi sekiranya hati kita gelap dan samar, ia juga akan dapat dilihat pada sikap kita. Mudahnya, hati kita ini, boleh samar, boleh gelap dan juga boleh terang. Tetapi, samar, gelap dan terangnya bulan bukan kerana cahayanya sendiri. Tetapi cahaya daripada matahari. Hati kita juga begitu, samar, gelap dan terangnya hati kita bukan kerana hati itu sendiri tetapi akibat daripada apa yang kita niatkan. Niat itu yang memancarkan cahaya kepada hati, ia juga memberikan gelap dan samar. Jadi, berhati-hati dengan apa yang kamu niatkan." -ms.335.

Dan terkadang, setiap kebaikan yang terniat di hati kita kadangkala bukanlah hadir atas diri kita sendiri, kadang ada niat manusia yang mampu menerangi kita, iaitu niat manusia yang sangat menyayangi kita. Niat ibu kita yang menjadi doa mereka misalnya,  turut menerangi hati kita hinggalah ia dapat membantu diri kita.

No comments:

Post a Comment