Life lesson (viii)

Bismillah 


"There is a voice that doesn't need words. Listen."


Aku bertanya kepadanya
"bahasa apa yang sedang dibicarai kita?" 

Jawabnya:
"Kita sedang berbicara
bahasa senyum
di kota yang sudah terlalu beku
untuk hanya menuturkan
tentang jiwa." 
(Kota Beku, m/s 79)




Erti hidup dalam kebahagiaan yang sederhana adalah ketika kita sentiasa hidup dengan sikap optimis yang tinggi, hidup dengan sebuah kepercayaan bahawa segalanya sudah Tuhan siapkan sesuai dengan rencanaNya. Tanpa perlu banyak takut, tanpa terlalu berbimbang-bimbang dengan segala hal yang belum pasti  di masa hadapan. 


Erti hidup dalam kebahagiaan yang sederhana adalah ketika kita tidak perlu takut dengan apa pun anggapan orang lain, tidak perlu takut dengan aturan darjat yang mereka susunkan. Kita tidak perlu takut apabila orang lain masih sibuk membandingkan kebahagiaan versi mereka dengan hidup kita.


Erti hidup dalam kebahagiaan yang sederhana juga adalah ketika mana kita mampu menemukan gelak tawa, walau sesulit apa pun perkara yang disajikan. Kita mampu menemukan kebahagiaan walau pada apa pun yang sedang ditakdirkan Tuhan yang mungkin tidak sama seperti yang kita aturkan.


Dan yang pasti hidup dalam kebahagiaan yang sederhana akan dapat kita rasakan ketika kita lebih belajar menghargai perkara-perkara kecil dalam hidup, umpama secawan kopi yang panas, sekuntum bunga yang mengeluarkan bau harum, atau mungkin juga senyuman seseorang yang tidak dikenali. Seandainya kita belum mampu mensyukuri nikmat-nikmat kecil seumpama  ini, bagaimana mungkin kita yakin akan menghargai nikmat-nikmat besar yang lain. 


Moga kelak kita dipertemukan pada sebuah pemahaman yang serupa, bahawa kebahagiaan paling mewah apabila kita mampu membuatNya tersenyum melihat upaya kita melalui apa-apa pun yang dianjurkanNya. Dan semoga hati sentiasa terdidik dan selalu dilembutkan agar kita tidak lupa bagaimana caranya hidup membumi.



Saya pun masih sedang belajar memahami tentang semua ini sebenarnya.


:)


2 comments:

  1. Apa maksud hidup membumi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maksudnya "down to earth", Selalu merendah diri lebih lagi bila diberi kelebihan dan memperoleh nikmat daripada Tuhan. Kata lawan bagi membumi adalah 'melangit', misalnya akhlak, akhlak perlu sentiasa tinggi. Maka biar hidup membumi, akhlak melangit. Sekadar perkongsian. :)

      Delete