"Sebab cantik itu luka."
Diterbitkan pertama kali pada tahun 2002, novel ni merupakan karya pertama Eka Kurniawan yang telah pun diulang cetak sebanyak 15 kali dan menjadi salah satu novel terbaik sepanjang masa di Indonesia. Ia bahkan telah pun diterjemah ke 34 bahasa dan memenangi beberapa anugerah bertaraf dunia sekitar tahun 2015. Mulanya saya ragu-ragu juga membeli buku ni sebab biasanya buku-buku Sastera yang banyak menang anugerah ni kadang bahasanya rumit dan ceritanya sukar untuk dicerna, tapi oleh kerana terpesona dengan ilustrasi cover baru cetakan ke 15 yang sangat cantik ni, saya membelinya juga tahun lepas. Usai menamatkan buku ni beberapa hari lalu, ternyata ia benar-benar diluar ekspektasi saya, novel ni sememangnya salah satu karya yang cukup memberi kesan. Saya langsung mengagumi Eka Kurniawan kerana beliau berjaya membawa saya ke dalam sebuah dunia fiksi yang nyata.
Cantik Itu Luka.
“…, Dewi Ayu bangkit dari kuburan setelah dua puluh satu tahun kematian." - m.s 1
Di awal perenggan lagi novel ni dimulakan dengan sesuatu yang tak terduga sama sekali kerana seolah-olah novel ini akan membawa pembaca kepada sebuah cerita beraliran mistik. Tetapi ternyata tidak. Novel ini tidak mengarah ke aliran mistik sebaliknya ia akan membawa pembaca kepada sebuah kehidupan pada zaman dahulu. Di mana perempuan seringkali dieksploitasi dan menjadi korban di era peperangan.
Dewi Ayu, seorang gadis yang cerdas berdarah kacukan indo-Belanda dan memiliki rupa paras yang sangat cantik. Kehidupannya berlatar di sebuah kepulauan Jawa bernama Halimunda, yang pada ketika itu dikuasai oleh tentara Jepun. Dewi Ayu dipaksa menjadi pelacur seperti gadis-gadis lain yang juga memiliki rupa paras yang cantik. Berbeza dari gadis-gadis lain yang menangis ketakutan dan berharap mereka dapat dibebaskan dari kehidupan pelacuran itu, Dewi Ayu menghadapi hal tersebut dengan sangat tenang, kerana baginya;
"Menolak sesuatu yang tak bisa ditolak adalah hal yang lebih menyakitkan dari apa pun." - ms. 87
Pada akhirnya, kehidupan pelacuran yang dijalaninya membawa pada satu titik di mana dia menjadi pelacur yang paling terkenal dan paling mahal di Halimunda sehingga ke akhir hayatnya. Dari kehidupan tersebut, dia dikurniakan tiga anak gadis yang tidak diketahui siapa bapa mereka. Ketiga-tiga anak gadisnya juga mewarisi kecantikan luar biasa hingga membawa tragedi dan membuat kehidupan masyarakat di Halimunda kucar-kacir. Sehinggalah ketika hamil anak keempatnya, dia berharap anak tersebut lahir buruk rupa seperti saranan dari pembantunya yang bisu, Rosinah, agar tidak terjadi lagi tragedi seperti anaknya yang lain. Doanya termakbul, anaknya yang keempat lahir dengan wajah yang sangat buruk walaupun ironinya, Dewi Ayu memberi namanya Cantik.
Antara hal-hal yang saya sangat suka dalam novel ni;
- Bagaimana Eka Kurniawan memaparkan pemikiran seorang wanita yang dilahirkan dengan rupa paras yang sangat jelita - Dewi Ayu dalam menghadapi perubahan-perubahan besar di sekelilingnya. Dewi Ayu ni diceritakan sangat random dalam membuat keputusan-keputusan yang random bahkan terkadang keputusan yang diambil adalah diluar batasan pemikiran manusia. Yang menghairankan, keputusan-keputusan random terkadang aneh yang diambil justeru membuatkan kehidupan Dewi Ayu ni kelihatan lebih mudah. Karakter Dewi Ayu dalam cerita ni juga mengingatkan saya dengan watak Nyai Ontorosoh dalam novel Bumi Manusia kerana kedua-dua watak ni memiliki persamaan dari segi sikap tegas dan memiliki prinsip hidup yang tak mudah digoyahkan. Bagi Dewi Ayu, walaupun 'karier' pelacuran itu sesuatu yang hina di sisi masyarakat, itu bukan alasan untuk berlagak seperti perempuan murahan.
- Saya sangat suka bagaimana Eka Kurniawan mendeskripsikan setiap watak dan perwatakan dalam buku ni dengan gambaran yang sangat detail, kemas dan terperinci hinggakan kesemua watak (lebih dari 10 watak) dalam buku ni sangat mudah untuk diingat pembaca. Uniknya, tiada watak utama yang mendominasi dalam novel ni, Dewi Ayu juga bukan watak yang utama. Setiap watak mempunyai cerita masing-masing dan disusun mengikut bab tanpa membingungkan pembaca. Sepanjang membaca buku ni, pembaca seakan-akan diajak mengenali seluruh keluarga Dewi Ayu bermula dari putri-putrinya; Alamanda, Adinda, Maya Dewi dan Cantik juga pembantunya, Rosinah. Selain itu ada juga watak Maman Gendeng, Sang Shodancho dan tak lupa watak kesukaan saya, Kamerad Kliwon. 💚Bagi saya Eka Kurniawan berjaya menghidupkan semua karakter dengan menghadirkan tokoh-tokoh yang sangat manusiawi kerana tiada watak yang sangat sempurna dan sangat buruk dalam buku ni, masing-masing memiliki sisi gelap dan sisi terang yang secara tak langsung memberikan pelajaran bahawa kita tak akan menemukan murni orang baik mahupun orang jahat kerana sebenarnya perpaduan baik dan buruk adalah hal yang membentuk kehidupan ini.
- Eka Kurniawan dengan brilliant sekali mengabungan unsur surealisme, sejarah, falsafah dan mistik menghasilkan satu cerita yang sangat epik dan out of the box. Bagi yang pernah membaca karya-karya Murakami, Agus Nor atau menonton filem Harry Potter pasti akan memahami apa dimaksudkan dengan surealisme; iaitu hal-hal yang diluar batas fikiran manusia, benda-benda yang tak logik. Dalam buku ni pembaca akan menemukan cerita si penggali kubur yang boleh memanggil roh orang mati, wanita yang bangkit dari kematian, puteri cantik yang berkahwin dengan anjing, dan hantu, saaangat banyak hantu. Dalam buku ni juga saya jadi lebih memahami prinsip-prinsip komunisme dalam pelajaran sejarah sekolah menengah dulu. Apa yang diperjuangkan mereka dan mengapa menjadi komunis tak menjamin masa depan yang cerah walaupun matlamat yang diperjuangkan itu sebenarnya sesuatu yang mulia.
- Tak lengkap rasanya sebuah cerita tanpa kisah cinta. Dalam buku ni pembaca akan menemukan beberapa kisah cinta yang unik, antara yang buat saya terkesan ialah kisah cinta mengharukan antara Kamerad Kliwon dan Alamanda. I'm not going to spoil it. Cukuplah saya katakan yang saya benar-benar terharu dengan sikap Kamerad Kliwon saat mengetahui tentang perkahwinan Alamanda dan Sang Shodancho. Tapi benar kan? Bahawa dalam hidup ni cinta tak selalu memiliki.
"Ini pohon Ketapang menyedihkan itu, tempat kita berjanji akan bertemu kembali, kupersembahkan untuk kayu bakar pesta perkawinanmu." - ms. 230
- Saya suka bagaimana tiada satu hal pun yang dibiar 'gantung' dalam cerita ni. Semuanya dijelaskan dari hal-hal yang kecil sehingga hal-hal yang besar. Pembaca akan mendapat jawapan mengapa Dewi Ayu bangkit semula setelah dua puluh satu tahun kematian. And the reason membuat saya, "WHAT? SERIOUSLY?"
- Last but not least, terima kasih Eka Kurniawan untuk ending yang manis. Kalau masih ingat review saya untuk buku beliau, Cinta Tiada Mati yang saya kongsikan di IG tempoh hari, saya ada nyatakan yang Eka sangat mahir dalam membuat ending yang walau hanya sebaris kata sederhana, ia tetap membuat pembaca terpukau sejenak.
"Kenapa kau menginginkanku?""Sebab aku mencintaimu.""Mencintai seorang perempuan yang buruk rupa?""Ya.""Kenapa?"
Sebab "kenapa" selalu sulit untuk dijawab, maka ia tak menjawab. Ia hanya bisa menjawab "bagaimana" dan itu lebih mudah.
"Sebab cantik itu luka." - ms. 505
Dari kisah Dewi Ayu dan putri-putrinya, Eka Kurniawan ingin menyampaikan pesan mendalam bahawa cantik tak semestinya membawa kebahagiaan, cantik tak semestinya menghadirkan cinta yang ikhlas, cantik belum tentu dapat menjamin ketenangan hidup. Sebuah nasihat yang baik dan berguna.
"You don’t know how lucky you are to be ugly, because if people like you, you know it’s for something else.”
hai.macam menarik ceritanya.
ReplyDeletehttps://perempuanhujungkampung.blogspot.com/