Teka-teki Terakhir.




Teka Teki Terakhir 

Berlatarkan tahun 1992, novel ini mengisahkan Laura, seorang kanak-kanak 12 tahun yang tinggal di Littlewood dengan sikap ingin tahu yang tinggi terhadap sebuah rumah di Jalan Eddington Nombor 112. Rumah tersebut dimiliki oleh keluarga Maxwell, sepasang suami isteri yang dianggap misteri di kejiranan tersebut kerana jarang keluar rumah. Ada yang menggosipkan bahawa mereka penyihir, pasangan ilmuan gila bahkan ada juga yang mengatakan bahawa mereka pelarian yang melarikan diri ke Littlewood. 

Bermula dari sekeping kertas ujian matematik dengan markah 0, Laura akhirnya bertemu buat pertama kalinya dengan Tuan Maxwell. Tak hanya itu, Tuan Maxwell juga memberikan sebuah buku tentang 0 bertajuk Nol: Asal-usul dan Perjalanannya. 

Sejak pertemuan tersebut, Laura mula belajar untuk menyukai ilmu Matematik dan dia juga mula mengenali keluarga Maxwell (Tuan Maxwell dan Nyonya Maxwell) dengan lebih dekat. Tuan Maxwell dan Nyonya Maxwell ternyata ahli matematik. Mereka sepasang suami isteri yang sangat menyenangkan ditambah lagi dengan rumah mereka memiliki sebuah perpustakaan besar yang antik. Ia membuatkan Laura sering menghabiskan masa di sana untuk membaca buku. 

Semakin mengenali keluarga Maxwell, Laura mengetahui suatu rahsia besar bahawa Tuan Maxwell selama ini telah mendedikasikan hidupnya untuk menyelesaikan satu konjektur tua berusia ratusan tahun: Teorem Terakhir Fermat.




Antara hal yang menarik tentang novel ini;


  • Mulanya saya menyangka buku ini sebuah novel terjemahan kerana latar tempat dan watak yang digunakan lebih mengambarkan suasana kehidupan masyarakat Barat. Ternyata penulis sengaja menggunakannya agar bersesuaian dengan kisah nyata yang diangkat dalam novel ini sendiri. Saya sangat menyukai gaya penceritaan Annisa Ihsani, ia membawa saya bernostalgia dengan buku-buku kesukaan saya waktu kanak-kanak dulu antaranya siri 5 Sekawan dan buku-buku terjemahan Enid Blyton yang lain.
  • Bagi yang tahu sejarah dan kisah nyata di sebalik Teorem Terakhir Fermat pasti tahu alasan  novel ni menggunakan latar tahun 1992 dan boleh menjangkakan pengakhiran cerita ni. Saya masih ingat keterujaan membaca kisah tentang teorem ni waktu kuliah Sejarah Matematik di UKM semasa Sem 2 lalu. Fermat’s Last Theorem merupakan salah satu teorem yang sangat terkenal dan menjadi lagenda dalam dunia matematik. Dicetuskan oleh Fermat, seorang ahli matematik Perancis pada tahun 1637 namun beliau tidak menuliskan pembuktian terakhir tersebut kerana ruangan tepi bukunya tak muat untuk menuliskan bukti tersebut dengan lengkap. Maka, Fermat meninggal dunia sebelum sempat menuliskan pembuktian tersebut. Anehnya, berabad-abad masa berlalu, tiada seorang ahli matematik yang berjaya menyelesaikan pembuktian tersebut hingga menimbulkan obsesi dalam kalangan beberapa ahli matematik terkenal dari serata dunia. Teorem ini akhirnya berjaya dibuktikan sekitar pertengahan tahun 1990-an. 
  • Novel ni tak mengangkat konflik yang terlalu berat dan permasalahan yang terlalu kompleks. Ia banyak berfokus kepada kehidupan Laura di rumah, di sekolah dan di rumah keluarga Maxwell. Juga tentang Tuan Maxwell yang terus berusaha menemukan bukti bagi Teorem Terakhir Fermat. Hal yang membuatkan buku ini menarik adalah bagaimana penulis mampu menggabungkan cerita fiksi dan dunia nyata dengan begitu baik. Mengangkat ilmu matematik sebagai tema utama dalam novel teenlit membuatkan novel ini sangat berbeza dengan novel-novel teenlit tipikal yang lebih banyak berfokus kepada kisah-kisah cinta remaja.
  • Ada banyak pengetahuan (khususnya matematik) diselitkan oleh penulis dalam novel ni yang diceritakan dan dijelaskan dengan cukup menarik. Selain tentang Teorem Fermat Terakhir, pembaca dibawa mengetahui tentang sejarah angka nol (sifar), mengenali beberapa ahli matematik seperti Eratosthenes, Mauritz Escher dan Euclid,  penjelasan sederhana tentang apa yang dimaksudkan sebagai teorem juga banyak hal-hal lain yang  menambah pengetahuan saya sendiri seperti pembuktian algebra sederhana, 1+1 = 2 pernah dibahas pembuktiannya sehingga 365 muka surat (wow!) juga tentang titik-titik di televisyen  sebenarnya merupakan radiasi kosmik dari sisa-sisa Big Bang (wow!). Usai membaca buku ni membuatkan saya percaya bahawa penulisnya seorang yang bijak pandai dan ternyata Annisa Ihsani memiliki Sarjana Ilmu Komputer dan seorang pecinta matematik serta ilmu logik. 
  • Salah satu perbualan yang menarik antara Laura dan Tuan Maxwell dalam buku ni ialah ketika Laura mempersoalkan, "Dimana para wanita dalam Matematika?" yang membawa kepada penjelasan Tuan Maxwell tentang ahli matematik wanita yang turut memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu matematik. Salah satunya Sophie Germain, ahli matematik yang lahir di tengah masyarakat yang seksis terhadap wanita hinggakan beliau terpaksa bekerja secara mandiri dan menyembunyikan jati dirinya dengan berpura-pura menjadi Monsieur Le Blanc. Selain beliau, Emmy Noether yang merupakan ahli matematik wanita di tahun 1915  turut mengalami cabaran yang sama. Mereka lahir di zaman wanita sering diperlakukan dengan tidak adil dan tidak diizinkan untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tinggi namun kedua-dua mereka telah memberikan sumbangan yang besar dalam dunia matematik.



Salah satu pengajaran bermakna yang disampaikan penulis dalam novel ini ialah, tak semua hal yang kita usahakan akan membuahkan hasil seperti yang kita harapkan, namun apa yang terpenting bukanlah pengakhiran mahupun hasil dari usaha tersebut tetapi proses yang telah kita jalani, disitulah letaknya pembelajaran yang lebih bermakna dalam mendidik diri. 




“Menurutku penting untuk meninggalkan sesuatu selagi kau hidup. Bagi beberapa orang, mungkin berupa bukti teorema. Bagi orang lain, mungkin lukisan atau puisi. Tetapi intinya, apa saja yang menunjukkan kau pernah hidup. Supaya orang tahu apa impianmu, apa yang membuatmu sedih, apa kau lebih suka anjing atau kucing...” – ms. 217


"...anggaplah alam semesta akan berakhir. Tetapi aku tidak tahu kapan itu akan terjadi. Jadi, apa yang harus kulakukan dengan hidupku sekarang? Tentu saja, aku bisa menghabiskan waktuku tanpa melakukan apa-apa, berpikir toh semua akan sia-sia saja. Tetapi bukankah lebih menyenangkan mengisinya dengan menanam tomat, membaca buku, dan membuktikan teorema?" - ms.219


Comments

  1. Anonymous10.8.20

    Ary beli di mana buku ini?

    ReplyDelete
    Replies
    1. bukunya saya pinjam gratis di ipunas.id (Perpustakaan Nasional Indonesia). Bisa download aplikasinya di google play/app store.

      Delete
  2. Aku mahu pinjam buku ini, boleh?

    Aku tahu ini terlalu rawak, dan out off-blue. Tapi ada tak kebarangkalian untuk aku pinjam baca. Berapa muka surat semuanya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. 200+ halaman. Nanti kamu boleh pinjam bukunya di ipusnas.id (Perpustakaan Nasional Indonesia). Aplikasinya bisa didownload di google play/app store.

      Delete

Post a Comment