Novel Trilogi Titis Basino.



Dilahirkan pada 17 Januari 1939, Titis Basino merupakan antara penulis wanita yang pernah mewarnai dunia sastera Indonesia sejak tahun 60-an. Bermula dengan mengarang cerpen-cerpen eceran di majalah kemudian mendirikan rumahtangga dengan seorang jurutera (Purnomo Ismadi) lalu mula menerbitkan karya dengan mencantumkan namanya dengan nama suaminya (Titis Basino P.I). Tenggelam dalam kesibukan sebagai isteri dan surirumah, Titis tidak menulis  selama hampir 10 tahun sehingga dianggap telah melupakan kegiatan kepengarangannya. Lalu sekitar tahun 70-an, dia kembali aktif menerbitkan cerpen dalam majalah sehingga berjaya pula menulis empat buah novel sekitar tahun 80-an. Selepas empat novel tersebut, Titis kembali menyepi disebabkan kecintaan dan tanggungjawabnya kepada keluarga membuatkan dia hanya memiliki sedikit waktu yang dapat digunakan untuk mengarang. Hanya setelah suaminya meninggal dunia dan anak-anaknya telah dewasa barulah Titis memiliki banyak waktu terluang. Selesai menunaikan ibadah haji, Titis Basino seakan-akan menjadi lebih bebas untuk mengungkapkan segala kegelisahan hatinya. Dia kemudian muncul dengan novel trilogi Dari Lembah Ke Coolibah yang terbit sekitar tahun 1997-1998. Novel trilogi ini membawanya  memenangi  SEA Write Award 1998 dan Hadiah Sastera Mastera 1999. 







Dari Lembah ke Coolibah 



Novel ini merupakan edisi khas yang diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2000 di mana ia menggabungkan ketiga-tiga novel dan mengekalkan bahasa asal (Indonesia) dengan tambahan glosari.


Sinopsis Ringkas

  • Dari Lembah ke Coolibah membawakan kisah cinta Noor, seorang janda berusia 50-an dengan pembimbing rohani yang menjadi pemimpin rombongan haji yang diikutinya, Ahmad, seorang pemuda berusia 30-an yang telah berkeluarga. Hubungan cinta dalam diam berputik sepanjang menunaikan ibadah di Tanah Suci dan hubungan terlarang tersebut berterusan sepulangnya mereka dari perjalanan menunaikan haji di luar pengetahuan isteri Ahmad. Suatu hari pasangan ini ditimpa musibah kemalangan jalan raya menyebabkan Noor mengalami amnesia. Tak lama selepas ingatannya pulih, mereka menyedari musibah itu terjadi disebabkan kekeliruan yang mereka lakukan lalu hubungan mereka diakhiri dengan khabar Ahmad telah meninggal dunia ketika bertugas di Tanah Suci.
  • Welas Asih Merengkuh Tajali dibuka dengan kehidupan Noor selepas pemergian Ahmad. Dia meneruskan kehidupan menguruskan rumah penginapan mewah peninggalan suaminya di Coolibah. Usianya hampir mencecah 60 tahun namun dengan kelebihan wajah yang masih kelihatan muda dari usianya membuatkan dia masih digilai ramai pemuda. Suatu hari rumah penginapan yang diuruskannya menerima kunjungan ramai tetamu pengusaha Arab. Dalam kalangan pengusaha tersebut dia berkenalan dengan seorang pemuda bernama Hamid. Hamid ternyata Ahmad yang dianggap telah meninggal dunia namun dia telah mengubah wajahnya menjadi wajah yang berbeza membuatkan dia tak lagi dikenali dan dianggap telah mati oleh keluarga dan kenalan terdekat. Hamid melakukan semua itu tidak lain kerana cintanya yang dalam terhadap Noor. Hamid dan Noor menjalinkan hubungan sebagai kekasih namun masih menjaga batas pergaulan mereka. Perasaan Noor yang dalam kepada Hamid antara perpaduan perasaan cinta dan welas asih (belas kasihan).
  • Sesuai dengan tajuknya, Menyucikan Perselingkuhan, Noor dan Hamid akhirnya menyucikan hubungan gelap yang dijalani sekian lama dengan ikatan perkahwinan yang sah. Walaupun terjadi konflik-konflik kecil sepanjang hubungan mereka, ia tidak sedikitpun membuatkan hubungan mereka goyah. Semakin meningkat usia 70 tahun, Noor masih seperti dahulu tak banyak perubahan pada wajahnya sementara Hamid yang mencecah usia 50-an mula berambut putih. Hamid meninggalkan kerjaya usahawan dan kembali menyampaikan kuliah agama atas dorongan Noor. Ia merupakan pekerjaannya ketika masih seorang Ahmad di awal perkenalan mereka. Noor sering menghadiri kuliah agama yang disampaikannya namun semua tetamu yang hadir tak pernah mengenali dirinya sebagai isteri Hamid. Mereka lebih senang menjalani hubungan tertutup, menutup kemesraan mereka dari pandangan umum. Suatu hari, sewaktu perjalanan pulang ke Coolibah selepas meluangkan waktu berdua di rumah Noor yang terletak di Bandung, kesihatan Hamid terganggu. Ternyata perjalanan itu menjadi perjalanan terakhir mereka berdua kerana setiba di Coolibah, Hamid meninggal dunia. Hamid dimakamkan di halaman belakang berdekatan biliknya. Noor menjalani hari-hari penuh duka selepas pemergian Hamid. Bagi Noor tiada cinta manusia lagi yang ingin dimilikinya selepas Hamid. Noor hanya mahu mengembali rasa cinta hakiki kepada sang Khalik.

Saya menemukan reviu pembaca di goodreads yang meluahkan rasa benci dengan buku ini. Setelah membacanya sendiri, saya faham kenapa ada pembaca yang tidak menyukainya. Namun bersesuaian dengan komen juri Hadiah Sastera MASTERA 1999, buku ini memang selayaknya menang:




Hal yang  menarik tentang buku ini secara peribadi:

Titis Basino berjaya mempamerkan emosi wanita berusia yang bertentangan dengan sifat-sifat stereotaip dalam penulisan tradisi.

Dari awal membaca buku ini, pembaca diperkenalkan dengan watak Noor yang sedang dalam perjalanan menunaikan ibadah haji. Dia hadir tanpa mahram, sesuatu yang sebenarnya tidak diperbolehkan pada zaman itu. Walaupun berusia 50-an, watak Noor digambarkan masih berjiwa muda bahkan fizikalnya juga tidak menggambarkan usianya. Buku ini menceritakan sudut pandang juga suasana hati Noor. Selain tetap tegar dan kuat menjalani hidup seorang diri setelah suaminya meninggal dunia, Noor seorang yang sentiasa bersifat tenang, bijak, ceria dan berkeyakinan diri. Dalam buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik menyatakan, paparan kejiwaan pada watak Noor ini ialah cerminan latar pengalaman dan suasana psikologi pengarangnya sendiri dalam menempuh realiti kehidupannya. Titis Basino mengarang cerita ini setelah dia berstatus janda.



Berbeza dari cerita kebanyakan yang memiliki watak utama dengan perilaku terpuji serta jalan cerita yang bermoral.

Kecurangan seringkali dianggap suatu tindakan yang tidak bermoral dalam masyarakat. Tahun 2023 sendiri memperlihatkan bagaimana banyaknya isu kecurangan terjadi dalam kalangan artis, influencer, dan orang awam yang mengundang amarah masyarakat lebih-lebih lagi para netizen di media sosial. Dalam novel ini, Titis Basino bukan sekadar berani membawakan tema ini dalam karyanya tetapi juga memanipulasinya bagi menentang ciri-ciri strereotaip di mana dia membawakan kisah kecurangan yang terjalin antara seorang hajah dan pembimbingan rohani yang memimpin rombongan haji dengan latar Tanah Suci semasa ibadah haji (dalam buku yang pertama). Ia menggambarkan bagaimana kecurangan juga boleh terjadi dalam kalangan mereka yang memiliki pengetahuan agama. Disinilah Titis dikatakan berjaya memecahkan tradisi. Cinta sememangnya tak pernah mengenal waktu dan tempat, perbezaan usia mahupun status. 

Dari beberapa buku yang saya pernah baca sebelum ini, tema kecurangan seringkali membawakan sudut pandang wanita yang dicurangi. The Waiting Years oleh Fumiko Enchi misalnya. Begitu juga dalam filem pendek Kamila Andini, Sendiri Diana Sendiri (2015) dan filem Athirah/ Emma' (2016), Filem-filem ini mengangkat bagaimana ketabahan hati para wanita berhadapan konflik kecurangan suami mereka dan bagaimana mereka tetap meneruskan kehidupan. Sementara dalam filem Eric Rohmer,  Love in the Afternoon (1972) membawakan tema kecurangan dari sudut pandang seorang suami yang curang. Agak jarang tema ini dibawa dari sudut pandang pihak ketiga, si pengganggu rumahtangga orang atau dalam bahasa netizen yang biasa kita dengar, 'penyondol.' Mungkin juga ada banyak cuma saya yang jarang menemukannya. Oleh kerana itu, Titis Basino dalam buku ini membawakan sesuatu yang agak jarang saya temukan, kecurangan dari sudut pandang pihak ketiga yang digarap dengan sangat baik. 


Buku ini tak hanya memperlihatkan kejujuran Titis dalam membawakan masalah yang sering dihadapi dunia wanita  tetapi juga mampu memperlihatkan kematangannya menggunakan teknik dan gaya bertutur.

Dari buku yang pertama hingga buku yang ketiga, kita dapat menyelami pemikiran Noor yang kini menjalani kehidupan sendiri selepas kematian suaminya sementara anak-anaknya pula sudah dewasa dan menjalani kehidupan masing-masing. Noor mempamerkan watak yang kuat dan tegar menjalani hidup sendiri dan kita sebagai pembaca dapat merasai sendiri suara hati Noor. Melupakan seseorang yang memberikan banyak kenangan yang manis dan bahagia lebih sukar berbanding seseorang memberikan kenangan yang pahit. Perkahwinan Noor bersama suaminya ialah sebuah perkahwinan yang bahagia. Oleh sebab itu Noor sentiasa terkenang hal-hal yang pernah dijalani bersama suaminya walaupun ketika sedang bersama Ahmad/Hamid. Setiap kenangan yang bermain dalam fikirannya disampaikan dengan penuh kematangan sebagai suatu bentuk refleksi peribadi dan sesi berdialog dengan diri sendiri tanpa terbawa oleh emosi. 

(i)

(ii)

(iii)



"Unsur falsafah yang disampaikan secara bersahaja bukan untuk mengajarkan tetapi diselami secara halus."

Walaupun membawakan konflik yang agak 'sinetron' namun Titis tak terlalu berfokus pada konflik-konflik yang berat.  90%  lebih bercerita tentang monolog Noor dan perbualan antara Noor dan Hamid yang bagi saya cukup menarik diikuti. Mereka memiliki dinamik hubungan yang lebih terasa seperti sahabat berbanding romantisme pasangan kekasih. Perbualan yang lebih jujur, terbuka tanpa perlu menutupi apa-apa. Dari hal-hal yang sederhana sehinggalah hal ehwal agama dan Tuhan. Walaupun Noor digambarkan sebagai seorang wanita berusia yang masih dengan kehidupan sosial yang tak memperlihatkan ciri-ciri seorang muslimah, pemikirannya tetap seorang yang penuh dengan pengalaman  dan kefahaman hidup yang mendalam dan masih tahu menjaga batas-batas agama. Kadang  terasa aneh menyedari buku ini membawa tema yang tak bermoral namun pembaca akan menemukan banyak perbualan tentang ketuhanan yang baik untuk difahami dan diteladani. 

Positivisme dalam Kecurangan 

Biasanya kalau seorang lelaki muda berminat pada wanita yang lebih tua seringkali dikaitkan dengan tujuan dan niat yang tertentu yang tidak baik lebih-lebih lagi apabila wanita tersebut seorang yang lebih berharta. Namun watak Ahmad/Hamid dalam buku ini benar-benar meminati Noor dengan cinta yang ikhlas atas alasan Noor wanita yang berbeza dari wanita yang lain disebabkan pengalaman hidup, kematangan dan caranya berfikir. Ahmad bahkan membuktikan dirinya boleh setanding dengan Noor apabila rela mengubah dirinya menjadi Hamid, seorang usahawan yang berjaya yang tak  pernah mengambil kesempatan terhadap kekayaan Noor. Hubungan gelap yang dijalani disucikan dengan ikatan perkahwinan yang sah dalam buku yang ketiga. Perkahwinan mereka bertahan sehingga Hamid meninggal dunia. 

Titis Basino menelanjangkan secara halus kekerdilan jiwa lelaki

Namun begitu, sisi positivisme dalam kecurangan ini tetap tak dapat menutup kenyataan bahawa watak Ahmad/Hamid bukanlah ciri-ciri lelaki/suami yang baik. Masih haus dengan kehidupan duniawi dan dengan mudahnya melupakan isteri dan anak-anaknya. Boleh dikatakan kebanyakkan karya Titis Basino sebelum ini juga mengangkat konflik dunia wanita yang berani mengkritik sikap lelaki yang pengecut, ragu-ragu dan tidak setia. Titis Basino sendiri menyedari karyanya agak kurang digemari oleh para kritikus sastera. Dalam satu artikel, Titis berkata; 
"Kritikus sastra kita itu kan umumnya laki-laki. Mereka boleh mencela, boleh memaki apa saja mengenai karya saya. Itu karena mereka kaget, saya mengejek dan membuka kedok mereka sebagai laki-laki yang pengecut, ragu-ragu, dan tidak setia."Titis Basino.

Untuk memahami sebuah karya pembaca perlu  mengenali penulisnya terlebih dahulu. Kerana dalam setiap karya sentiasa ada serpihan diri si penulis. Membaca biodata dan kehidupan Titis Basino dalam artikel, karya trilogi ini bukanlah lahir dari pengalamannya sendiri kerana Titis memiliki kehidupan perkahwinan yang bahagia. Kebanyakkan karyanya lahir dari pemerhatiannya sepanjang menguruskan rumah penginapan suaminya di Puncak Pass (Villa Coolibah) dan kerjaya suaminya sebagai pengusaha hotel. Kecurangan khususnya dalam kalangan individu kenamaan sesuatu yang biasa terjadi. 

Di satu sisi, buku ini menjadi ruang bebas buat Titis untuk menumpahkan segala kegelisahannya sebagai seorang wanita, isteri dan janda. Karya ini mengajarkan bagaimana wanita tidak seharusnya meletakkan seluruh jiwa, dunia dan kebahagiaan diri mereka sepenuhnya kepada suami dan anak-anak walau bagaimana kasih dan sayang yang mendalam terhadap mereka. Kerana suami dan anak-anak tetaplah pinjaman. Seandainya pinjaman itu perlu dikembalikan kepada pemilikNya, wanita tetap harus bangkit sendiri dengan  jiwa dan kebahagiaan yang masih tersisa buat diri sendiri. 

Saya tak menemukan banyak gambar Titis Basino di alam maya bahkan tak dinyatakan bahawa dia telah meninggal dunia. Saya mengetahuinya dari salah satu post Faisal Tehrani yang pernah berkongsi gambar dari album lama sewaktu berguru dengan tokoh besar sastera Indonesia, salah satunya Titis Basino. 



Satu ayat kesukaan saya dalam buku ini, 

 

"Aku lebih senang berlari di dunia yang penuh kebuasan ini dengan manusia yang selaras dengan nuraniku, seliar peribadi Hamid." - ms. 464

 

Kita selalu meletakkan kesempurnaan dan kebaikan seseorang sebagai alasan untuk diri mereka dicintai. Namun untuk sebuah hubungan yang saling melengkapi, adalah lebih 'membumi' jika kita meletakkan ketidaksempurnaan seseorang itu mendahului kesempurnaan mereka. Insan yang memiliki ketidaksempurnaan yang sempurna buat diri kita. 




Comments

Post a Comment