Serpihan Kenangan Zaman Muda Ibu
I wish I had met my mom when she was a 16-year-old. I would have loved to see her as the woman she was before she became my mother. |
Ibu saya suka bersembang. Kalau duduk dengan dia pasti ada saja yang nak dibualkan. Dari resepi masakan, produk kesihatan yang dilihat di Tiktok, juga tentang drama Cina yang ditonton. Dalam berbual tu kadang ada juga terselit kenangan dari zaman muda. Dalam banyak-banyak kenangan ibu ada satu yang selalu buat saya tersenyum. Walaupun selalu diulang-ulang, saya tak pernah jemu mendengar tentang kenangan zaman remaja ibu yang pernah tinggal di atas perpustakaan.
Sejak kecil ibu seorang yang independen sebab datuk dan nenek meninggal dunia ketika ibu masih di usia kanak-kanak. Ibu membesar bersama adik-beradik dan saudara-mara belah keluarga ayah di daerah kecil Kuala Penyu. Ibu menghabiskan zaman sekolah sehingga Tingkatan 3 di daerah tersebut. Semasa di Tingkatan 4, ibu salah seorang dari tiga orang pelajar disekolahnya yang terpilih untuk menyambung pelajaran ke Sabah College Jesselton (kini dikenali sebagai Maktab Sabah). Sabah College ketika itu merupakan sekolah elit yang menyediakan pendidikan menengah berkualiti dalam bahasa Inggeris kepada pelajar yang berpotensi. Ibu yang asalnya dari daerah kecil kemudian berpindah ke bandar Kota Kinabalu yang ketika itu masih dikenali dengan nama Jesselton.
Sepanjang belajar di Sabah College ibu tak tinggal di asrama. Ibu dijaga oleh seorang saudara dari keluarga belah ayah (datuk saya) yang bekerja dan tinggal di Kota Kinabalu. Dia bertugas sebagai Chief Librarian dan rumahnya terletak di bangunan kedai yang sama dengan perpustakaan dan muzium Sabah ketika itu. Saya hampir tak percaya bahawa perpustakaan dan muzium dahulu hanya menumpang bangunan kedai sehinggalah menemukan kebenaran cerita ibu dari hasil geledah wikipedia dan chatgpt.
Comments
Post a Comment