Hartini; Novel Roman Melayu Popular Zaman 60-an.




Sebuah karya itu benar-benar luar biasa apabila saya masih terkurung dalam dunia dan wataknya, lama selepas helaian terakhir berlalu. Itulah hal yang saya rasakan selepas membaca novel ini. Seandainya FIXI Retro tak menerbitkannya semula, saya mungkin tak pernah mengetahui bahawa ada juga novel roman Melayu klasik yang sebaris dengan novel Hamka, Tenggelamnnya Kapal Van De Wijck.



Beberapa fakta menarik tentang novel ini dan penulisnya;


credit: Bakhtiar Yusoff
  • Terbit pertama kali pada tahun 1967, Hartini merupakan antara karya awal genre roman Melayu.
  • Aziz Afkar atau nama sebenarnya Abdul Aziz @ Hussin bin Ismail merupakan penulis kelahiran Pasir Panjang, Kuala Terengganu yang aktif dalam penulisan cerpen, rencana dan novel.
  • Hartini diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur yang pada waktu itu editor yang menangani penerbitannya ialah Sasterawan Negara ke-5, Arena Wati. Beliau juga yang mencadangkan agar nama pena "Aziz Afkar" yang digubah dari kata dasar "fikir."
  • Pernah dicetak ulang sebanyak 14 kali (11 kali dengan Pustaka Antara, 3 kali oleh Creative Enterprise pada tahun 1990-an). 
  • Pernah tercetus kontroversi pada tahun 1995 apabila novel ini dijadikan telemovie tanpa keizinannya. Kes dibawa ke mahkamah sehingga beroleh kemenangan.
  • Telemovie Hartini sempat ditayangkan semasa hari raya kelima tahun 1995 merupakan arahan Erma Fatima di mana Umie Aida melakonkan watak Hartini, Amli dilakonkan oleh Nasir Bilal Khan dan Azimah oleh Raja Azura. Sempat mendapat pujian penonton namun tiada sebarang jejak telemovie ini selepas hak tayangan ditarik balik.
  • Novel ini sempat hilang dari edaran umum sehingga menjadi buku langka dengan jualan semula mencecah harga RM200-RM400. 
  • Aziz mendirikan rumahtangga dengan seorang penulis Singapura, Kamariah Awang pada tahun 1976 dan dianugerahkan 5 orang cahaya mata. Selain menulis, tugas hakikinya adalah sebagai seorang kontraktor.
  • Aziz Afkar meninggal dunia pada tahun 2007.




Hartini


“Mulutnya akan kelihatan begitu manis bila ia ketawa atau berkata-berkata. Serta sangat pengasih dan penghiba pula kelakuannya, dan sangat suka kepada buku-buku cerita yang bercorak penderitaan dan kekecewaan.” - ms. 11
 
Berlatarkan tahun 1960-an, Hartini seorang penuntut maktab perguruan di Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Digambarkan sebagai seorang gadis moden yang berperwatakan lembut dan budiman, Hartini yang suka membaca buku suatu hari membaca sebuah novel yang berjaya menyentuh perasaannya. Novel tersebut ditulis oleh penulis bernama Amli, seorang yang berbakat besar namun dihimpit oleh kekangan hidup. Awal perkenalan melalui tulisan tanpa Hartini menyangka ternyata rumah Amli hanya beberapa langkah dari tempat tinggalnya di Pasir Panjang itu. Apabila mengetahui si penulis novel yang bagus itu hidup miskin dan hanya menjual telur itik, dia berasa sangat kasihan dan ingin sekali membantu.

Hartini dan Amli menjalinkan hubungan persahabatan umpama ikatan saudara. Walaupun sangat menyayangi Amli, Hartini tak pernah berani mengakuinya. Dia menunjukkan kasihnya dengan membantu Amli menjadi penulis terkenal dan keluar daripada kemiskinan. Hartini hanya mahu melihat Amli berjaya dan dihormati. Ternyata  apabila Amli sudah semakin terkenal, ramai pula gadis yang mula mengejarnya.

Amli juga sebenarnya mencintai Hartini namun malu untuk meluahkan perasaan kerana menganggap dirinya tidak setaraf. Dia hanyalah anak kampung yang miskin sedangkan Hartini seorang pelatih guru yang pintar. Walaupun cintanya sangat mendalam, dia tetap tidak berani bersuara bahkan setelah dia menjadi penulis yang berjaya dan dikenali. Wujudnya salah faham, pihak ketiga dan jarak yang memisahkan menambah liku buat mereka benar-benar melafazkan cinta. 




Hal yang menarik bagi saya tentang novel ini;

  • Novel ini boleh dianggap sebagai salah satu karya klasik “slow-burn romance” dalam sastera Melayu dimana cinta antara Hartini dan Amli tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia tumbuh perlahan melalui bantuan, pengorbanan, dan perhatian kecil bukan kata-kata manis atau adegan romantik yang jelas. Kedua-duanya saling menyayangi tetapi langsung tidak meluahkan perasaan. Kita sebagai pembaca dibawa merasai ketegangan emosi secara senyap antara watak yang sehingga ke beberapa bab akhir tetap menahan diri dari meluahkan rasa hati mereka. Beberapa reviu pembaca yang saya temukan menyatakan rasa tidak puas dengan kisah cinta novel ini dan itu sesuatu yang boleh difahami kerana latar cerita ini dibina  berbeza dari dunia moden hari ini yang lebih bersifat langsung dan terbuka. 
  • Cinta pada zaman Hartini hidup dalam budaya sopan-santun Melayu lama, masyarakat desa yang penuh adat di mana meluahkan perasaan dianggap sesuatu yang sensitif dan memerlukan keberanian moral. Suasana cinta Melayu lama ini digambarkan penuh penahanan diri dan sarat makna. Hubungan Hartini dan Amli tidak terhalang oleh pihak luar, tetapi oleh salah faham, kerendahan hati dan rasa malu untuk meluahkan perasaan secara terus terang.
  • Saya jarang membaca novel berlatarkan negeri di Pantai Timur apalagi Terengganu, rasanya ini yang pertama. Suka dengan gambaran kehidupan guru pelatih muda dengan suasana desa  yang penuh dengan keindahan alam dan pantai. Salah satu babak di mana Hartini pertama kali melihat Amli ialah semasa menyaksikan pertandingan hafalan Al-Quran yang menjadi satu aktiviti masyarakat pada zaman itu. 
  • Membaca buku ini mengajak pembaca bernostalgia dengan tradisi berkirim-kirim surat kerana sebahagian besar perbualan antara Hartini dan Amli berlaku di dalam surat. Ia menggambarkan keindahan klasik yang tidak lagi wujud dalam cinta moden hari ini. Pembaca dibawa mengimbau kehidupan masyarakat di zaman yang tidak tergesa-gesa dimana menulis surat memancarkan kesantunan dan kesabaran. Setiap perkataan dipilih dengan berhati-hati, perasaan yang ditapis bukan diluah secara kasar atau tergesa-gesa. Menghantar surat bermakna ada jarak yang mencipta rindu, menebalkan lagi rasa cinta yang terpendam antara dua watak dalam buku ini. 
  • Salah satu babak paling menyentuh dalam novel ini ialah saat Hartini menerima surat daripada Amli yang memaklumkan bahawa dia akan bertunang dengan Azimah, sahabat baiknya sendiri. Berita itu meremukkan hati Hartini. Hatinya segera dipenuhi duka hingga dia mula membayangkan segala kemungkinan pahit yang bakal menimpa dirinya. Bukan kerana ia nyata, tetapi kerana hati yang terluka sering membina bayangannya sendiri. Aziz Afkar  menulis proses emosi ini dengan teliti, seolah memahami bagaimana fikiran wanita bergerak saat ditimpa kecewa.
ms. 183

ms. 184

  • Karya yang benar-benar baik bukan sahaja membuat kita terpikat pada jalan ceritanya, tetapi juga pada cara cerita itu dihadirkan iaitu melalui bahasa, nada, dan kehalusan gaya penulisan. Novel Hartini ini sering dipuji kerana bahasanya tidak terlalu tinggi hingga sukar difahami, tetapi cukup puitis untuk meninggalkan kesan. Setiap ayat seolah-olah disusun dengan kesantunan dan ritma Melayu lama. Bahasa menjadi “jiwa” kepada cerita dimana penggunaan bahasa kias, gerak hati, dan simbol yang membuat pembaca merasai cerita ini,  bukan sekadar membaca.



ms. 299




Saya sebenarnya jarang meminati novel roman Melayu namun novel Hartini akan masuk dalam senarai novel kesukaan saya. Bagi saya novel ini berjaya membuktikan bahawa penulis lelaki juga mampu menghasilkan novel cinta yang halus, emosional, dan penuh sensitiviti, sekali gus mematahkan stereotaip bahawa karya roman hanya sinonim dengan penulis wanita. Hakikatnya roman yang berkualiti boleh lahir daripada mana-mana jantina, asalkan penulisnya jujur dalam menyelami hati manusia.



Comments