Teruntuk diri sendiri, khususnya.

Bismillah


Kata guru saya dahulu, kesan ibadah yang diterima Allah adalah apabila wujudnya perubahan. Sekiranya beribadah namun sikap kita masih tidak berubah, maka hati kita hakikatnya belum menerima cahaya. Namun perubahan yang dimaksudkan itu bukan  menuntut kita untuk berubah menjadi perwatakan malaikat, kerana setiap manusia itu lemah, tidak dapat lari daripada dosa. Sebaliknya ia akan mewujud kehambaan dalam diri sendiri dan perasaan itu hakikatnya hanya diri kita sendiri yang merasakannya dan hanya Allah yang mengetahuinya. Jika benar Allah dalam hati seseorang, maka ia akan membenihkan tauhid yang hakiki lalu mengeluarkan bunga-bunga akhlak dan adab yang baik. InsyaAllah.


Mungkin, hati saya sendiri pun belum menerima cahaya tersebut. Semestinya ia suatu proses yang panjang kerana masih banyak yang perlu diperbaiki sebenarnya, pada diri sendiri khususnya. Namun, jangan pernah lelah dalam mendapatkan cahaya tersebut, kerana kata Jalaluddin ar-Rumi; "Jika engkau belum mampu berdoa dengan khusyuk, maka tetaplah persembahkan doamu yang kering, munafik dan tanpa keyakinan; kerana Tuhan, dengan rahmat-Nya akan tetap menerima mata wang palsumu."  






Salah satu cara Allah mendidikmu adalah ketika kamu beribadah dan berdoa demi mendapatkan keinginan nafsumu. Maka Allah tidak mengkabulkannya. Hingga kamu diajarkanNya keikhlasan beribadah, dan berdoa hanya untukNya kemudian dia berikan segala apa yg tidak pernah terlintas dalam benakmu.
- Sidi Rohimuddin 

Mengejar sesuatu tanpa ada rasa kebergantungan yang hakiki kepada Allah adalah sebagian daripada nafsu.Tanda memperoleh sesuatu kerana nafsu adalah ketika mana kita mendapatkannya, kita tidak berasa puas bahkan banyak penyesalan. Tiada cara yang lebih baik daripada berserah diri dan menyerahkan segalanya kepadaNya. Bukankah segalanya dari Allah? Ingatkanlah saya bila saya terlupa. 




---
Sejujurnya usia-usia yang mendewasakan ini membuatkan saya kadangkala bimbang untuk menuliskan sesuatu bersifat agama. Bukan hanya kerana takut tidak mampu untuk melaksanakan apa yang diperkatakan, tapi lebih lagi kerana bimbang apabila  di luar sana sudah terlalu ramai orang yang berbicara tentang agama  hingga akhirnya, ia hanya sekadar menjadi cerita kosong, bahan retweet, reblog, dan share. Dakwah bukan sekadar itu sebenarnya. Dakwah itu perlu lebih `hidup` di alam realiti. Pada diri sendiri dan kehidupan khususnya.


Namun, tetaplah menyampaikan walau hanya satu ayat tidak kira sama ada secara tulisan mahupun lisan kerana mungkin satu ayat itu lebih diterima Allah apabila ia lahir dari hati yang ikhlas berbanding ibadah-ibadah  lain yang kadangkala kering dan munafik.

"Didoakan Allah akan merahmati orang-orang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku kerana aku mungkin tidak tahu jika tiada yang memberitahu."

Comments