Selamat Tinggal.


Saya teruja sekali bila mendapat perkhabaran bahawa Tere Liye bakal meriliskan buku baru tahun ini. Bulan September lalu, Tere Liye berkongsi beberapa pilihan ilustrasi kulit buku yang bakal menghiasi novel tersebut untuk diundi pembaca. Ternyata ilustrasi undian saya mendapat vote tertinggi. 




Ilustrasi ini antara yang stand out berbanding yang lain. Usai membaca novel ini, saya semakin merasakan ia pilihan yang tepat  untuk mewakili keseluruhan cerita. Selepas novel Tentang Kamu, novel ini merupakan novel kedua Tere Liye yang saya baca tahun ini dan ulasan ini merupakan ulasan untuk novel Selamat Tinggal versi 'unedited version' di Google Play. Ia telah pun diriliskan sejak bulan Mei lalu.



Selamat Tinggal

"Kata menarik dalam bahasa Melayu, salah satunya 'tinggal.' Kata itu bisa bermaksud tinggal menetap atau tinggal pergi. Satu kata memiliki dua arti yang seratus delapan derajat terbalik, tergantung konteksnya." 

Sintong Tinggal merupakan seorang mahasiswa jurusan Fakulti Sastera yang telah 7 tahun berada di universiti namun masih gagal menyelesaikan skripsi (kajian akhir) dan bergraduasi. Walaupun hampir drop out, pihak dekan dan pensyarahnya masih menaruh kepercayaan dan memberi peluang buat Sintong meneruskan pengajian. Alasannya, Sintong pernah menjadi mahasiswa paling cemerlang di fakulti tersebut hinggakan tulisan-tulisannya dimuatkan dalam koran nasional (surat khabar tempatan), berjaya menuliskan cerita pendek yang menarik, juga esei, artikel, resensi dan sebagainya. Dia dilihat sebagai mahasiswa yang ghairah dan berpotensi besar menjadi penulis berjaya. Namun entah kenapa, sejak tahun ketiga dan seterusnya, segalanya berubah. Grednya menurun, tulisan-tulisannya tidak lagi sebagus sebelumnya, sering bertengkar dengan pensyarah dan kerap kali menukar tajuk skripsi. Akhirnya, Sintong digelar 'mahasiswa abadi' di kampusnya sementara sahabat-sahabatnya yang lain telah pun bergraduasi, memiliki pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. 

Sintong berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan. Sepanjangan pengajian, semua keperluan dan bayaran  ditanggung sepenuhnya oleh pak cik dan mak ciknya. Mereka merupakan pemilik sebuah toko (kedai) buku bajakan (buku-buku cetak rompak/ciplak) yang diberi nama Berkah. Sebagai membalas budi, Sintong bekerja separuh masa di toko mereka. Toko tersebut terletak berhampiran dengan kampusnya dan sering menjadi tumpuan mahasiswa baik mereka yang mahu mencari novel, kamus hinggalah buku-buku rujukan kuliah. Walaupun tidak berkualiti seperti versi original, harga yang ditawarkan lebih murah. Pekerjaan tersebut tak hanya membuat Sintong terkenal sebagai mahasiswa abadi di kampusnya, tetapi juga penjual buku bajakan. 

Suatu hari, dalam lambakan buku-buku bajakan di Pasar Senen, Sintong tanpa sengaja menemukan sebuah buku yang ditulis oleh seorang penulis besar yang dikatakan hilang dalam sejarah literasi nasional bernama Sutan Pane. Sintong mengenali nama tersebut kerana ia pernah dibincangkan oleh pensyarahnya semasa kuliah. Buku tersebut bahkan belum diterbitkan, ia merupakan versi pra-cetak dan dipercayai salah satu dari lima karya misteri dari penulis yang dikatakan menghilang sebelum Peristiwa 1965 itu. Berminat menjadikan Sutan Pane sebagai kajian dalam penulisan skripsi akhirnya membawa Sintong menjejaki sejarah hidup dan pemikiran seorang Sutan Pane melalui orang-orang yang pernah mengenali juga tulisan-tulisan yang pernah ditulisnya. 



Hal menarik tentang novel ini;


  • Tere Liye antara penulis popular yang telah pun menghasilkan banyak novel. Dari beberapa karya beliau yang saya pernah baca, ini pertama kali saya membaca novel beliau yang mengangkat latar kampus dan kehidupan ‘anak-anak kuliahan’ (pelajar universiti). Sebagai pembaca, saya dapat menggambarkan bahawa kehidupan dan budaya kampus di Indonesia sama sahaja seperti di universiti-universiti Malaysia. Untuk menjadi seorang mahasiswa berkualiti, penting untuk bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kampus, bukan sekadar penglibatan dalam pelajaran di dewan kuliah sahaja. Dalam novel ini, penglibatan Sintong dalam sidang redaksi kampus antara hal yang banyak mencungkil bakat penulisannya dan memberi pengalaman-pengalaman bermanfaat termasuklah mendaki banyak gunung.
  • Novel ini menggunakan latar masa kini, maka ada banyak hal yang menurut saya sangat realistik and quite relatable. Anak-anak muda dengan sosial media, golongan ibu-ibu dengan budaya ‘pamer’, influencer dengan jutaan followers, youtuber terkenal si tukang cover lagu orang, dan juga budaya stalk sosial media untuk mengenali seseorang. Benar-benar menggambarkan tren dunia hari ini. Walaupun tak semua diceritakan dari sudut positif, namun berkat sosial media jugalah Sintong berjaya menjejaki orang-orang yang pernah mengenali Sutan Pane, sang penulis yang menghilang.
  • Membaca novel ini memberikan saya gambaran bahawa isu bajakan (cetak rompak, tiruan, ciplak) sepertinya suatu yang hal tak asing lagi di Indonesia. Di Malaysia pun banyak juga barang-barang bajakan (ciplak) tapi saya tak pernah lagi menemukan buku-buku ciplak yang dijual dalam bentuk fizikal. Dalam novel ini, Tere Liye benar-benar mengangkat isu bajakan dan mengkritiknya secara serius terutama melibatkan buku-buku bajakan. Level buku-buku bajakan di Indonesia sampai tahap dijual di dalam toko (kedai) dan saya pernah terbaca seorang traveler Malaysia yang bercuti di sana sempat berkunjung ke kedai buku bajakan di Indonesia. Ia benar-benar ada. 
  • Saya tak pasti sekiranya hal ini boleh dianggap menarik atau tidak. Yang pasti, sesiapa sahaja yang membaca novel ini akan ‘terciduk’ kerana Tere Liye membahas dan mengkritik habis-habisan banyak golongan dalam buku ni. Golongan pemerintah korup, penerbit buku yang hanya mahukan keuntungan, penjual barang-barang bajakan, pembeli dan pembaca barang-barang bajakan, mahasiswa yang belajar menggunakan buku bajakan, para influencer dengan kehidupan penuh kemunafikan, anak muda kurang produktif yang banyak di hadapan skrin dan lain-lain. Golongan yang kononnya tak pernah membaca buku bajakan dan merasa sok suci sekalipun akan terciduk sebab definisi bajakan ternyata cukup luas. Fotokopi nota dari sebarang buku rujukan juga merupakan bajakan walaupun hanya untuk kegunaan kita sendiri. Apa lagi menonton filem streaming melalui website illegal. Download lagu directly from youtube. Termasuklah cover lagu orang lain untuk meraih pendapatan. Juga membeli selipar adidas atau crocs tiruan. Itu semua tergolong sebagai bajakan. Namun, segala hal yang dibahas dan dikritik dalam buku ini tak lain hanyalah untuk menimbulkan kesedaran dan membuka mata pembaca. 
"Namanya juga menjual merk, desain, prestise, maka nilai tambahnya tinggi. Seharusnya jika penduduk kita tidak mampu membelinya, mereka bisa menggunakan produk lokal. Toh banyak produk lokal yang tidak kalah kualitasnya, hanya soal merk saja yang tidak terkenal. Mungkin kerana penduduk kita suka pamer, simbol kesuksesan. Di negara dengan karakter konsumer suka pamer, produk tiruan laku keras."
  •  Selain buku-buku yang bercerita tentang buku, perpustakaan dan hal-hal berkaitan dunia bacaan, saya juga suka buku-buku yang bercerita tentang dunia penulisan. Ada banyak kata-kata tentang penulis dan dunia penulisan yang cukup menarik, memberi semangat dan membuka mata dalam novel ini. Tak mampu menanda bookmark secara fizikal, maka saya mencatatkan saja dalam buku. 
  • Semestinya ada kisah cinta dalam buku ini, namun saya tak mau membahas lebih. Cukuplah kata-kata patah hati ini, mungkin relatable buat mereka yang pernah merasakannya. 
“Sungguh menyedihkan menyaksikan ketika cinta pertama kita ternyata tertolak, kerana orang kita cintai, telah memiliki cinta pertamanya lebih dulu.”

“Dia terpesona, tertipu. Bahkan dalam perkara perasaan, kadangkala hati kita bisa mengkhianati, mengirim kesimpulan yang keliru.”

  • Saya menyukai semua watak dalam buku ini. Sintong, Jess, Bunga, Melati, Slamet, Ucok dan tak lupa, Babe Na'im, pemilik rumah kost (rumah sewa) dimana Sintong tinggal bersama penyewa yang lain. Warga rumah kost antara yang mengindahkan novel ini. Terasa manis sekali bila dapat pemilik rumah kost yang baik hati, sporting dan kawan-kawan serumah yang harmoni seperti sebuah keluarga.
  • Saya sengaja tak membahas lebih tentang Sutan Pane, watak besar dalam novel ini. Bimbang terspoil lebih banyak. Apa yang dapat disimpulkan, Sutan Pane adalah gambaran penulis yang lahir di era nasionalisme tahun 1960-an. Seorang penulis produktif yang tulisannya selalu muncul dalam surat khabar dan majalah di era itu. Pemikirannya tajam, menarik dan penuh inspirasi. Seorang yang neutral, berani mengkritik sebarang parti mahupun organisasi tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

  • "Sutan Pane mencemaskan nasib bangsa. Apa yang akan diwariskan oleh pemerintah masa itu? Pejabat-pejabat yang mementingkan kelompok sendiri? Menggunakan sentimen kelompoknya untuk menggapai kekuasaan? Lantas menjadi pemimpin yang korup dan penuh pencitraan. Jika itu terjadi, maka 50 tahun, 100 tahun kemudian, nasib bangsa ini hanya akan jatuh di tangan elit politik yang itu itu saja, bergantian mereka mengangkangi rakyat."

    Satu sifat yang sama antara Sutan Pane dan Sintong, mereka insan yang teguh dengan prinsip yang dipegang. Dan itu antara clue kepada jawapan persoalan besar novel ini, mengapakah Sutan Pane menghilang dari dunia literasi secara misteri? Saya kagum. 


Dalam banyak pengajaran yang disampaikan dari novel ini, tiga pengajaran yang cukup terkesan buat saya secara peribadi;

1. "Ternyata tidak perlu kaya untuk bahagia, Tidak perlu terkenal, hebat, untuk bahagia." Tak semua influencer dengan jutaan follower yang sering pamer segala hal itu bahagia. Dan kita boleh saja duduk di sebelah orang yang tak keren (hebat) tanpa menyedari merekalah penulis hebat yang baru saja kita baca tulisannya. Menjadi misterius itu selalu lebih menarik, kan? 

2. Terkadang perjalanan kita untuk mencapai kejayaan itu ditakdirkan lebih panjang berbanding orang lain. Dan hal itu tak selalu  sia-sia. Kesabaran kita pasti akan menghadiahkan nikmat kejayaan yang lebih besar kelak. Asal kita tak pernah berputus asa.

3. Kerjaya seorang penulis bukan untuk mereka yang mengejar kekayaan. Menjadi penulis bukan untuk mereka yang ingin populariti. "Tulislah sesuatu yang perlu dibaca, bukan kerana ingin dibaca."



Keluruhannya, novel ini cukup menarik. Segala pendapat dan kritikan yang ditulis dalam buku ini seperti membaca suara hati Tere Liye sendiri. Tere Liye adalah penulis popular yang karyanya juga popular dalam kalangan pembaca Malaysia. Namun populariti tak selalu hal yang menguntungkan, kerana disebabkan karyanya yang popularlah menjadikan karya-karya beliau antara yang paling banyak dibajak. Maka, dimana lagi tempat terbaik menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan hati seorang penulis kepada pembaca melainkan karyanya sendiri. 

Akhir kata, selamat membeli buku ini bila diterbitkan nanti. Saya juga pasti akan memiliki versi fizikal kelak. Novel ini perlu dibaca. 

Comments

  1. Review yang keren, kak!

    ReplyDelete
  2. Kak maaf, jadi sebenarnya sutan pane itu penulis real atau cuma karakter fiksi ya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sutan Pane cuma karakter fiksi.

      Delete
  3. Anonymous25.1.21

    Novel yang bagus. Di halaman 146, tepat terletaknya card novel, saya baru sadar kalau salah satu kata "Tinggal" itu nama lengkap Sintong. Karena sebelumnya terlalu fokus dengan judulnya. Ternyata ada 2 makna
    1) "Selamat Tinggal", ucapan selamat kepada Sintong Tinggal karena selama 7 tahun ia telah melewati banyak kejadian.
    2) "Selamat Tinggal", ucapan perpisahan pada hal² pada keburukan, sesuai yang telah dituangkan pada bacaannya.

    Saat baca novel itu, diriku terasa masuk ke dalam alur ceritanya. Merasakan tulisan apa ku baca, hingga pikiranku terasa traveling.

    ReplyDelete
  4. Tulisan Tere Liye Emang nyindir nih. Mungkin ini salah satu bentuk perlawanan Tere Liye dan juga sekaligus harapannya yang mungkin belum tercapat dalam memandang masa depan penulis di Indonesia. Salut sih dia berani mengambil sudut pandang berbeda dari kebanyakan tema yang ada.

    ReplyDelete
  5. Anonymous29.7.21

    Review nya kecee !

    ReplyDelete
  6. Baru banget baca bukunya. And i love how you review buku ni. No spoiler. Luvvv sangatlah

    ReplyDelete

Post a Comment