Kutukan Dapur/ Kitchen Curse ; Eka Kurniawan.



Cinta Tak Ada Mati merupakan kumpulan cerpen Eka Kurniawan yang pernah diterbitkan oleh Gramedia tahun 2005 dan diterbitkan sekali lagi dengan kulit buku yang baru. 




Buku ini menampilkan 13 cerpennya yang pernah terbit dalam majalah, surat khabar, web dan jurnal sepanjang tahun 2002 hingga 2011. Kutukan Dapur merupakan cerpen pertama dalam buku ini dan  cerpen kesukaan saya. 


Manna dan Salwa


Cerpen ini dibuka dengan ayat 57 dalam Surah Al-Baqarah yang ada menyebut tentang manna dan salwa. Diceritakan dalam surah ini, manna dan salwa merupakan nikmat kurniaan Allah swt kepada Bani Israil sewaktu tersesat di sebuah padang pasir ‘at-Tih’ setelah Nabi Musa berjaya membawa mereka keluar dari Mesir menuju Palestin. Mereka berada di padang pasir ini selama empat puluh tahun dan sepanjang tempoh itu mereka mengalami pelbagai penderitaan dan kepanasan. Lalu Allah swt melindungi mereka dengan awan supaya mereka dapat berteduh dari panas dan dikurniakan pula makanan berupa manna dan salwa.

Manna ialah suatu makanan manis berwarna putih yang melekat pada batu-batu dan daun-daun kayu. Rasanya sedap semanis madu dan jika dimakan mereka akan berasa kenyang. Salwa pula sejenis burung puyuh yang terbang rendah dan mudah ditangkap untuk disembelih. Dengan nikmat makanan ini, Allah swt mengingatkan kaum Bani Israil supaya tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.



Namun pada  ayat 61, Allah berfirman,


Ayat ini menjelaskan bagaimana kaum Bani Israil ini bukannya bersyukur sebaliknya mereka meminta pula makanan berupa sayur-sayuran, timun, bawang putih, kacang dal serta bawang merah yang lebih rendah mutu dan kualitinya setelah diberikan makanan yang terbaik dan berkhasiat. Dengan alasan bosan dengan makanan yang telah diberikan. Dalam artikel yang saya baca, situasi ini disamakan dengan situasi masa kini yang dijadikan lawak jenaka tiktok; bila ibu dah masak makanan yang sihat, kita pula memilih untuk makan maggi.


Plot cerpen ini sebenarnya tiadalah kaitan sangat dengan kisah dalam surah ini.  Mungkin saja Eka Kurniawan mendapat inspirasi menulis cerpen tentang makanan selepas terbaca surah ini. Ini antara surah di dalam Al-Quran yang ada menyebut nama makanan di dalamnya.


Sejarah gelap dalam Kutukan Dapur

Cerpen Kutukan Dapur menceritakan tentang watak utama, Maharani yang mengunjungi sebuah pameran tentang sejarah rempah di sebuah muzium. Membaca info-info yang tertulis, dia bukan saja belajar tentang makanan, kuliner, sejarah, hubungan dan kekuasaan tetapi turut terpesona tatkala mengetahui bahawa wujud seorang wanita bernama Diah Ayu dalam sejarah yang pernah menjadi pahlawan bukan dengan senjata tetapi dengan hanya menguasai pengetahuan tentang rempah ratus masakan. 

Diceritakan dalan sejarah, Diah Ayu dijual oleh ayahnya kepada orang Belanda. Keistimewaan yang dimilikinya bukan  kecantikkan tetapi dia pandai memasak dan mahir dalam ilmu mengolah rempah masakan. Ketika zaman itu, memiliki seorang tukang masak yang handal ialah kebanggaan bagi keluarga Belanda. Mereka sering melakukan jamuan makan malam untuk menyombongkan tukang masak mereka sebagai simbol kemakmuran. Oleh sebab itu, banyak wanita pribumi yang diculik dan diperjualbelikan.

Kepakaran Diah Ayu dalam mengolah rempah ratus bukan sekadar membuatkan dia mampu menghilangkan berahi sang suami Belandanya dengan masakan, dia juga secara senyap mampu membuat adunan yang membunuh orang-orang Belanda dengan cara yang sangat wajar. Kepakaran itu diajarkan pula kepada pelayan-pelayan lain sehingga mencetuskan pemberontakan besar. Hanya dengan sup halia, Diah Ayu dan para pelayan lain membuatkan tahun 1878 menjadi tahun gelap bagi sejarah kolonial.

Dari kisah sejarah Diah Ayu itu, Maharani menemukan cara untuk membunuh suaminya. Dengan masakan dapur sebagai sebab kematian tanpa mengundang sebarang kecurigaan. Harapan Maharani hanya satu, dia ingin bebas dari ancaman dapur dan tempat tidur. 

 
Hal yang menarik tentang cerpen ini;

  • Watak Diah Ayu hidup di zaman kolonial, manakala Maharani hidup di masa kini. Kedua-duanya saling bertemu dalam muzium sejarah tersebut bukan dalam bentuk pertemuan secara langsung sebaliknya Diah Ayu hadir sebagai seseorang yang memberi ilham kepada Maharani. Ilham tentang bagaimana cara untuk membunuh suaminya. Walaupun berlatarkan dua zaman berbeza, Diah Ayu dan Maharani masing-masing berada dalam situasi yang sama. Diah Ayu berada dalam belenggu kolonialisme Belanda manakala Maharani berada dalam belenggu patriarki yang telah menjadi darah daging dalam kehidupan keluarga dan struktur sosialnya. 

  • Cerpen ini bertemakan  muzium, sejarah, makanan dan dapur; hal-hal yang saya suka. Eka menyatupadukan fakta dengan fiksi  sehingga meyakinkan pembaca bahawa watak Diah Ayu ini bukan sekadar kisah fiksi. Selepas tiga tahun, membaca ulang cerpen ini dengan pengetahuan-pengetahuan baru yang saya miliki membuatkan saya menyedari ada sebahagian fakta dalam cerpen ini bukan sekadar diada-adakan. Misalnya cerita tentang lelaki muda yang diselamatkan oleh kapal Portugis dan dilupakan sejarah pada awal cerpen ini, walaupun tak dinyatakan namanya, ia mengingatkan saya pada Enrique De Malacca, manusia pertama yang mengelilingi dunia bersama pelayar Spanyol. Saya teringat sewaktu berkunjung ke pameran Skola Gambar Enrique De Malacca di Ilham Gallery tahun lepas yang  banyak bercerita tentang sejarah Enrique dengan kepulauan rempah.
  • Saya suka karakter wanita yang kuat dan berani melawan keterbatasan. Cerpen ini menghadirkannya dalam watak seorang Diah Ayu. Selain mengingatkan saya pada Dewi Ayu dalam novel Eka lain yang saya suka, Cantik Itu Luka, cerpen ini turut mengingatkan saya pada watak Marlina dalam filem Marlina, Si Pembunuh dalam Empat Babak (2017) yang saya pernah tonton usai membaca esei ulasan Azrin Fauzi tentang filem ini dalam Sipena II.


    "Ruang dapur bukan sahaja menjadi ruang kerja, malah ruang rahsia seorang wanita. Di sinilah Marlina pantas mengatur gerak untuk meracun mati lelaki-lelaki ‘lapar’ di ruang tamu dengan sup ayamnya." - Marlina, Dalam Renungan Ke Luar Babak.




Dapur, makanan dan kuliner sememangnya seringkali menjadi simbol resistensi wanita yang terikat dengan sistem patriarki. Namun cerpen ini mengangkat bagaimana ilmu dapur menjadi satu bentuk perlawanan wanita pada sistem yang menjerat. Cerpen ini juga menunjukkan bagaimana dapur bukan lagi penjara bagi wanita. Pengetahuan tentang makanan dan rempah ratus mampu menjadikan wanita memiliki nilai yang tersendiri.



Kumpulan cerpen Cinta Tak Ada Mati telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 2019 oleh Benedict Anderson, Maggie Tiojakin, Tiffany Tsao, dan Annie Tucker. Kitchen Curse dipilih sebagai tajuk utama buku terbitan Verso Books ini. Untuk membaca cerpen penuh boleh dibaca di sini. <Kutukan Dapur>





Comments