Hello; tentang memori dari sebuah rumah lama.


Sekitar 2015, tahun akhir di kampus yang disibukkan dengan AR (Action Research, kajian akhir pelajar IPG), saya lebih kerap ke perpustakaan. Perpustakaan menjadi tempat eskapisme yang menawarkan ‘healing’ percuma waktu tu. Saya selalunya akan pergi sendiri sebab waktu kesukaan saya ke sana ialah petang hari Jumaat. Waktu pelajar lain yang tinggal berdekatan kampus pulang ke rumah. Waktu kawan-kawan saya yang lain biasanya melunaskan tidur panjang mereka yang tertangguh. Dan yang saya paling suka, petang Jumaatlah perpustakaan kampus saya biasanya lengang. Meluangkan waktu di perpustakaan bukanlah untuk menyiapkan kajian pun tapi lebih kepada nak menyelongkar rak buku kegemaran saya, rak buku Pengajian Melayu yang selalu mempertemukan saya dengan buku-buku DBP terbitan lama dan langka.


Satu hari saya rasa down sangat dan tak bersemangat nak melakukan apa-apa. Singgah ke perpustakaan, saya menemukan satu buku cerpen bertajuk Gadis, koleksi cerpen-cerpen pilihan yang terbit tahun 1992, tahun kelahiran saya. Ada satu cerpen yang kebetulan dituliskan menggunakan nama saya bertajuk Pesan Panjang untuk Ana karya Aminhad. Cerpen yang ditulis dalam bentuk epistolari (surat) itu berisi pesan-pesan semangat dari seseorang yang ditujukan kepada watak bernama Ana. Cerpen tu cerpen yang biasa saja tapi entah kenapa, momen tu terasa sangat surealis. Seperti menerima surat dari seseorang yang tak dikenali di masa lalu. Dibaca pada waktu yang tepat, ketika mana saya berharap ada orang yang memberikan kata-kata semangat yang sama buat saya. Saya ada kongsikan sedikit isi cerpen tersebut dalam entri ini.


"..there is nothing more important in the world than the truth you can find in writing, and there is nothing more powerful than discovering something about yourself in something that is not real, or finding a piece of yourself within the lines on a page."

- Rachel Sharer.


Beberapa hari lepas saya baru selesai membaca novel terbaru Tere Liye yang rilis bulan April lalu. Saya bukanlah fans Tere Liye sangat tapi saya selalu ikuti  karya-karyanya terutama yang bertemakan slice-of-life seperti novel ini. Terasa aneh ketika menyedari novel ini kebetulan menggunakan nama Ana sebagai karakter dan bercerita tentang hal-hal yang saya suka. 


Hello

Versi ebook di Google Play Books.


Novel dibuka dengan gadis bernama Ana yang di usia  muda lagi dia sangat berprestasi. Selepas menyelesaikan pengajian dalam bidang seni bina tiga tahun lalu, Ana memilih bekerja sendiri dengan menawarkan khidmat sebagai tukang bangunan. Bermula dengan projek kecil-kecilan lama-kelamaan kliennya bertambah. Dia akhirnya membuka syarikat seni bina dan memiliki puluhan tukang serta beberapa staf ofis. Salah satu kejayaannya melibatkan projek seni bina rumah bergaya tropis di lereng bukit dan tersenarai dalam penghargaan Rumah Tropis Terbaik di Dunia yang membawa namanya muncul dalam majalah-majalah design dan seni bina internasional. Ana digambarkan sebagai gadis independen yang  sejak kecil dia lebih suka membina sesuatu berbanding bermain anak patung seperti kanak-kanak lain. Namun Ana bukanlah watak utama dalam novel ini tetapi kehadirannya penting di setiap plot dalam kisah novel ini. 


"Di proyek itu, aku membangun rumah dari nol, jadi cerita masa lalunya tidak relevan. Kali ini, kita akan merenovasi rumah tua dengan semua kenangannya. Itu memiliki pendekatan yang berbeda.” - ms. 234

Watak utama novel ini ialah Ibu Hesty, seorang wanita dalam lingkungan usia 40-an yang menjadi klien Ana. Dia meminta khidmat kepakaran Ana untuk mengubah suai rumah lama keluarganya. Berbeza dari klien-klien sebelumnya, projek melibatkan rumah keluarga Ibu Hesty ini memerlukan Ana untuk mengubah suai sebuah rumah yang penuh dengan memori masa lalu. Rumah tersebut menyimpan kenangan perjalanan hidup Ibu Hesty dari zaman kanak-kanak bersama keluarganya. Dan yang lebih istimewa, rumah tersebut pernah  menjadi saksi bisu perjalanan cinta pertama Ibu Hesty dengan seseorang yang bernama Tigor. 

 

"Rumah tidak pernah semata-mata tentang bangunan fisiknya. Bukan soal ubin, warna cat, genteng, kusen, melainkan emosi, perjalanan spiritual, dan jiwa-jiwa yang terlibat di dalam bangunan tersebut. Rumah adalah saksi bisu perjalanan manusia." - ms. 6


Pandangan peribadi tentang novel ini;

  • Jujur, I judge a book by it's cover. Dan kaver novel ni antara contoh kaver yang kalau saya nampak di kedai saya tak akan beli. Namun ini karya Tere Liye dan  Tere Liye ni antara penulis mapan dengan fan base yang kuat. Saya respek  sebab dia tak terpengaruh sangat dengan trend "kena buat cover buku unik dan up-to-date dulu baru orang akan beli" sebab tu dia masih kekal dengan jenis ilustrasi novel macam ni. Penulis yang memiliki  fan base yang kuat, dia buat kaver apa pun pembaca tetap akan beli. 
  • Seingat saya Tere Liye dah lama tak menulis novel genre cinta. Tiga novel terakhirnya yang saya baca (Tentang Kamu, Selamat Tinggal dan Janji) bukan bertemakan cinta. Jadi novel ni kira comeback Tere Liye dengan genre ini. 
  • Dengan plot tipikal "cerita sinetron beratus episod jam 2 petang." Cinta berbeza darjat antara Hesty, anak seorang bangsawan dengan anak orang gaji di rumah keluarganya, Tigor. Tapi saya tak kecewa sangat sebab saya tak berharap apa-apa dari mula membaca novel ini. Di bab prolog lagi Tere Liye sendiri dah mengingatkan agar pembaca "𝙅𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙩𝙚𝙧𝙡𝙖𝙡𝙪 𝙗𝙚𝙧𝙝𝙖𝙧𝙖𝙥 𝙗𝙖𝙣𝙮𝙖𝙠 𝙨𝙖𝙖𝙩 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙖𝙘𝙖 𝙠𝙞𝙨𝙖𝙝 𝙞𝙣𝙞. 𝙆𝙖𝙧𝙚𝙣𝙖 𝙠𝙚𝙩𝙖𝙝𝙪𝙞𝙡𝙖𝙝, 𝙨𝙪𝙢𝙗𝙚𝙧 𝙠𝙚𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠𝙗𝙖𝙝𝙖𝙜𝙞𝙖𝙖𝙣 𝙗𝙚𝙨𝙖𝙧 𝙙𝙞 𝙙𝙪𝙣𝙞𝙖 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 : 𝙗𝙚𝙧𝙝𝙖𝙧𝙖𝙥."
  • Saya sempat rasa bosan di beberapa bab awal namun saya tetap meneruskan pembacaan sebab saya suka kisah yang membawa pembaca bernostalgia dengan masa lalu. Untuk membantu Ana mengubah suai rumah, Ibu Hesty berkongsi memori tentang setiap sudut rumah dan  membawa pembaca kembali ke era 80-an, 1998-1990. Era sebelum teknologi moden. Kehidupan sebelum internet dan smartphone. Atau istilah yang orang selalu kata, the good old days. When love is lovely and deep. 
  • Kisah cinta Hesty dan Tigor bukanlah kisah cinta pandang pertama sepertimana kebanyakan novel-novel romantis Tere Liye sebelum ini. Melalui watak mereka, Tere Liye menghadirkan kisah cinta yang lahir dari hubungan persahabatan. Mereka rapat sejak lahir, teman sepermainan di zaman kanak-kanak, partner in crime di zaman remaja sehinggalah membenihkan rasa cinta di usia 18.  Cinta yang lahir dari hubungan persahabatan selalunya berbeza dengan cinta yang lahir dengan seseorang yang kita baru kenal. Dalam hubungan persahabatan, dua individu saling mengenali sisi diri mereka yang sebenar sama ada yang baik juga yang buruk. Disebabkan itu, hubungan Hesty dan Tigor dalam novel ini boleh dikatakan 'deep', lahir disebabkan terbiasa bersama. Namun badai, konflik dan kesalahfahaman hadir dalam hubungan mereka sehingga berlanjutan dalam satu tempoh yang sangat lama. 
  • Saya sebenarnya sejenis yang cepat cringe bila baca novel genre cinta/romance sebab tu genre ini bukan genre kesukaan saya. Namun sisi kematangan karakter Hesty dan Tigor dalam menghadapi  liku-liku hubungan mereka sedikit sebanyak menghilangkan rasa cringe saya sepanjang membaca novel ini. 

Tentang kenapa watak Ana penting saya serahkan kepada pembaca lain untuk baca sendiri novel ini. Saya tak nak spoil lebih banyak. Secara peribadi saya tak rasa ini novel terbaik Tere Liye jika dibanding dengan tiga novelnya yang saya baca sebelum ini. Namun saya tetap menikmatinya sebagai bacaan ringan yang menghangatkan jiwa.

"Ketika kita tidak punya pilihan selain menerima apa pun yang telah terjadi, kita akan memiliki definisi kesedihan yang berbeza. Tapi belasan tahun ini, aku belajar banyak mengendalikan kesedihan itu." - ms. 302



Comments